Anggota Pas kini dalam kebingungan kerana sikap 'flip
flop' pemimpin-pemimpinnya berhubung isu penggunaan kalimah ALLAH oleh orang
bukan Islam.
Mereka merasa pemimpin Pas telah mempermainkan isu
kalimah ALLAH yang berubah-ubah sehingga memalukan parti.
Pendirian terbaru Pas mengingatkan mereka bagaimana
dalam isu penguatkuasaan syarat-syarat Lesen Kedai Gunting Rambut Majlis
Perbandaran Kota Bharu terhadap Orang Bukan Islam, kerajaan Pas Kelantan tunduk
menikus kepada tekanan Dap.
Peraturan yang sudah dikuatkuasakan selama 20 tahun
boleh diketepikan dalam tempoh dua hari sahaja oleh Dap.
Inilah igauan ngeri yang dialami oleh ahli-ahli Pas
kerana sikap pemimpin mereka yang pentingkan politik lebih daripada agama.
Pada 8 Januari lalu di sidang media pemimpin Pakatan
Rakyat Presiden Pas, Abdul Hadi Awang menyatakan orang kafir bukan sahaja boleh
menyebut nama ALLAH tetapi juga boleh di terjemahkan ke dalam Al-Kitab.
Tidak sampai seminggu berlalu, Pas bertukar nada pula
apabila Majlis Syura Ulama parti itu membuat keputusan melarang terjemahan
'God' atau 'Lord' di dalam kitab Injil Melayu kepada ALLAH tetapi membenarkan
penyebutanya.
Kalau dahulunya Mursyidul Am, Nik Aziz Nik Mat
bersetuju dengan keputusan parti itu membenarkan penggunaan kalimah ALLAH di
dalam Al-Kitab berdasarkan pendirian yang dibuat pada tahun 2010 tetapi
sekarang ia pula lantang melarangnya.
Beberapa minggu sebelum ini Nik Aziz berkata
membenarkan orang kafir menggunakan kalimah ALLAH di dalam kitab agama mereka
adalah sebahagian daripada usaha dakwah dan mendekatkan ajaran Islam dengan
golongan itu.
Sebenarnya Nik Aziz secara tidak langsung menghina
risalah dakwah Rasulullah SAW kerana meletakkan kepentingan orang kafir lebih
daripada keutamaan orang Islam.
Pada saat bangsa Melayu berpecah kepada tiga kumpulan
politik dek kerana Pas dan PKR gilakan kuasa, Nik Aziz tidak sekali pun
menyentuh mengenai betapa pentingnya umat Melayu bersatu.
Sepatutnya dakwah menjurus kepada perpaduan sesama Islam
perlu diutamakan oleh Nik Aziz tetapi beliau memilih untuk berdamping rapat
dengan orang bukan Islam.
Bak kata pepatah, kerana di hutan disusukan, anak di
riba mati kelaparan!
Kali ini Nik Aziz berdalih pula apabila beliau berkata
bahawa penggunaan kalimah ALLAH oleh orang bukan Islam akan membawa kepada
kekeliruan.
Bukankah dalam hal ini UMNO lebih konsisten daripada
Pas kerana selama ini UMNO berpendirian bahawa ALLAH hanya eksklusif kepada
Islam dan melarang ia digunakan di dalam Al-Kitab kecuali di Sabah dan Sarawak?
Pas 'flip flop' dan Nik Aziz juga 'flip flop' bukan
sebab alasan agama tetapi demi kepentingan politik mereka.
Perubahan pendirian Pas yang bertukar-tukar sekelip
mata membuktikan Islam hanya digunakan sebagai buah dadu atau soldadu dalam
permainan catur parti itu.
Apabila bersesuaian dengan nafsu politiknya dan
memberi keuntungan undi dan pengaruh, Islam akan ditunggangi.
Apabila peti undi Pas tergugat, dengan mudah sekalim
Islam di campak ke luar tingkap malah turut dikorbankan.
Begitulah yang berlaku dalam isu kalimah ALLAH,
disebabkan takut bangkangan Dap dan hilang sokongan daripada pengundi Cina dan
kumpulan Kristian, Pas merelakan ALLAH dipermainkan.
Kini apabila anggota parti rata-rata tidak bersetuju
dan membantah pendirian parti mereka, Nik Aziz dan kuncu-kuncunya dalam Majlis
Syura Ulama boleh mengubah keputusan mereka untuk mengambil hati ahli-ahli
parti pula.
Jadi Islam bagi Pas boleh di tendang ke sana ke sini
asalkan Nik Aziz, Abdul Hadi dan pemimpin-pemimpin lain tidak hilang kedudukan
politik mereka.
Namun sikap berbolak balik yang dipamerkan oleh Pas
dan Nik Aziz akan memberim impak besar kepada imej dan kredibiliti parti itu
dikalangan Dap dan PKR.
Sekiranya Pas boleh menjadi seperti sesumpah yang
boleh menukar warna politiknya mengikut selera dan keadaan, tidak mustahil jika
berkuasa parti itu juga boleh mengingkari janji taat setia yang dibuat dengan
PKR dan Dap.
Jika sekarang Pas mengikat janji sehidup semati dengan
kedua-dua sekutu politiknya, apakah tidak mungkin Pas juga boleh menikam
belakang Dap dan PKR dalam keadaan terdesak dan apabila merasa ia sudah cukup
kuat dan tidak memerlukan sekutunya?
No comments:
Post a Comment