Sudah lebih seminggu berlalu sejak berakhirnya Himpunan
Kebangkitan Rakyat (HKR #KL112) yang berlangsung di Stadium Merdeka Sabtu lepas, namun hingga kini khalayak umum masih tercari-cari jawapan kenapa
kehadiran masyarakat Cina di HKR #KL112 merosot dengan agak ketara.
Keadaan luar biasa itu jauh berbeza bila
dibandingkan dengan penyertaan besar mereka semasa demonstrasi Bersih 3.0 pada
April 2012 yang diketuai bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan di
mana hampir separuh pesertanya adalah keturunan Cina.
Mungkinkah benar majoriti masyarakat Cina kini
sudah beralih arah setelah menyedari pakatan pembangkang, PR hanyalah satu
kerjasama longgar yang berpaut pada dahan rapuh yang tidak menjamin perubahan
yang lebih baik berbanding BN?
Persoalan ini menarik perhatian ramai kerana
senario selepas PRU 12 2008, menyaksikan majoriti pengundi Cina dilihat lebih
dekat dengan PR dan mereka dianggap sebagai aset utama yang membolehkan PR
membina kekuatannya untuk berdepan dengan BN.
Bila mana HKR #KL112 yang dipengerusikan Timbalan
Presiden PAS, Mat Sabu memperlihatkan senario berbeza di mana amat ketara
kurangnya penglibatan orang Cina dari DAP dan PKR, ia tidak hanya menyebabkan
khalayak umum tercenggang kehairanan malah dikalangan pimpinan PR sendiri garu
kepala kepeningan.
Untuk merungkai persoalan ini, kompilasi info dari
beberapa sumber dalaman PR yang menggariskan ringkasan faktor penyebab
kegagalan HKR #KL112 menarik penglibatan besar orang Cina mungkin boleh memberi
gambaran sebenar kenapa berlakunya keadaan sedemikian.
Pertama, kejadian 'silap pengiraan' undi semasa
pemilihan CEC DAP seperti diumumkan pada minggu pertama tahun 2013 nyata
memberi impak besar dalam menggugat kepercayaan masyarakat Cina terhadap
integriti dan kredibiliti PR khususnya DAP.
Kedua, beberapa hari sebelum menjelang tahun baru
2013, PR melalui NGO proksinya yang didominasi penyonong Cina DAP dan PKR telah
melancarkan kempen Mogok Lapar Anti Lynas yang kemudiannya menjadi bahan lawak
orang ramai apabila peserta dan penganjurnya makan senyap-senyap di lobi hotel
dan restoran berhampiran.
Ketiga, penglibatan ramai anggota keluarga dan
saudara mara terdekat dalam kepimpinan tertinggi DAP, PKR dan PAS dilihat oleh
khalayak umum khasnya bagi majoriti orang Cina adalah amalan yang tidak sihat
yang boleh memudaratkan negara.
Manakala faktor keempat dan paling besar impaknya
ialah ketidaksediaan Cina DAP dan Cina PKR untuk mengiktiraf penglibatan utama
PAS dalam menggerakkan HKR #KL112.
Pada mereka, kepimpinan Ambiga dalam menjayakan
Bersih 3.0 dilihat lebih meyakinkan hala tujunya berbanding HKR #KL112 yang
diketuai pemimpin kanan PAS, Mat Sabu yang bercampur baur dan kabur matlamat
penganjurannya.
Ini merupakan manifestasi ketidakyakinan orang Cina
DAP & PKR terhadap kemampuan PAS untuk mengetuai dan mengurus tadbir
sesuatu program besar atau lebih tepat lagi ia adalah signal dan bukti
penolakan terhadap kepimpinan yang diterajui oleh orang Melayu.
Justeru itu, suka atau tidak, pahit atau kelat
sekalipun, PAS terpaksa menerima hakikat kedudukannya dalam PR akan kekal
sebagai keldai tunggangan selagi ramai orang Cina dalam DAP dan PKR meragui
keupayaannya dan menolak kepimpinan orang Melayu dalam menentukan arah tuju PR.
No comments:
Post a Comment