Hari ini, debat telah menjadi trend. Debat di antara pemimpin-pemimpin politik sepertimana yang diamalkan di Amerika mula menular ke Malaysia, negara dengan masyarakat yang suka meniru apa saja. Namun, orang Malaysia kadangkala tidak tahu tujuan sesuatu perkara itu dibuat dan hanya meniru secara buta tuli.
Masalah mengenai debat ahli-ahli politik ini, yang menjadi tumpuan bukan isu sangat tetapi soal menonjolkan diri dan mencari publisiti. Ini kerana, debat dilihat sebagai alat terbaik untuk meningkat atau memulihkan populariti seseorang. Lihat sahaja bagaimana puak-puak pembangkang masih menyorak yang Lim Guan Eng menang debat dengan Chua Soi Lek sedangkan dari segi inti atau hujah Lim Guan Eng ternyata kosong dan tidak berkredibiliti langsung.
Malang bagi sesebuah negara apabila masyarakat gagal melihat bahawa kepetahan berdebat bukan bukti yang seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang baik. Kebanyakan tokoh-tokoh pemimpin hebat yang terakam dalam sejarah bukanlah seorang pendebat yang baik, tetapi pemikir yang serius di mana idea-idea mereka boleh dibaca dalam buku-buku tulisan mereka.
Pemimpin yang petah bercakap selalunya hanya mampu menaikkan semangat rakyat tetapi untuk tujuan yang kabur. Sukarno, misalnya walaupun bijak meniupkan semangat tetapi akhirnya kecundang juga kerana tidak mampu membentuk Indonesia yang sejahtera dan makmur melalui kepetahannya bercakap. Malah, Idi Amin iaitu diktator Uganda yang kejam juga adalah seorang yang petah bercakap dan mematahkan hujah tetapi ternyata beliau menjadikan negaranya sebuah neraka dunia.
Sebaliknya, Ghandhi, Mandela, malah Tun Dr. Mahathir sendiri yang telah diiktiraf sebagai pemimpin bertaraf dunia walaupun lantang dan berani, tetapi mereka bukanlah pendebat. Idea- idea mereka dapat dibaca, dilihat, dirasai dan disentuh dan bukan didengar di pentas debat.
Sudah menjadi kelaziman bagi manusia yang petah bercakap itu untuk kurang berfikir dan kurang bekerja. Malah Islam juga tidak menggalakkan kita lebih bercakap kerana ia mampu mengalpakan, selain menambahkan dosa. Kerana itulah tokoh-tokoh agung, lebih banyak mendengar, berfikir dan bekerja, daripada bercakap.
Hakikatnya, petah bercakap bukanlah kriteria utama seorang pemimpin yang baik. Jika kita ingin mencari pemimpin dengan cara menilainya berdebat maka kita mungkin akan membuat kesilapan sebagaimana Indonesia telah tersilap dengan Sukarno, Uganda tersilap dengan Idi Amin atau Filipina tersilap dengan Estrada, seorang pelakon yang bijak menarik hati ramai dengan bercakap. Jika pendebat boleh menjadi pemimpin, maka tentu ramai sekali budak-budak Universiti termasuk para graduan separuh masak, yang boleh diletakkan di kerusi Perdana Menteri.
Seorang pemimpin perlu ada karisma dan karisma terbentuk dari pandangannya yang jauh, kematangannya dalam menilai sesuatu perkara, keikhlasannya dalam bekerja, pemikirannya yang bernas dan kesungguhannya dalam memastikan segala idea-ideanya terlaksana. Semua ini adalah jauh lebih penting dari kepetahannya untuk berdebat.
Perdana Menteri yang baik tidak harus terjebak dalam perdebatan tanpa tujuan yang pasti, kerana mencari publisiti bukan salah satu dari tugas utamanya. Jika beliau perlu mempertahankan apa-apa polisinya, menjelaskan aspirasinya atau menggariskan idea-ideanya, beliau boleh saja memastikan akhbar-akhbar mencetaknya dan televisyen mewar-warkannya.
Beliau tidak perlu melakukannya dengan berdebat di televisyen semata-mata kerana musuhnya tidak ada kerja.
Walaubagaimanapun, kita faham kenapa seluruh jentera pembangkang termasuk media-media mereka amat teruja dan bersungguh-sungguh ingin mengumpan Dato' Seri Najib agar berdebat dengan Anwar Ibrahim iaitu kerana ceramah, malah konvensyen PKR juga, sudah tidak mendapat sambutan lagi. Kita faham yang Anwar amat terdesak perlukan publisiti sekarang ini. Dan kita juga faham bahawa Anwar sudah ketandusan isu untuk mengasak kerajaan.
Maka, soal debat antara dirinya dengan Perdana Menteri perlu dicanangkan, sekadar untuk mencipta isu supaya namanya tidak tenggelam terus.
Kita harap agar Perdana Menteri tidak melayan dan membuang masa dengan orang seperti Anwar. Kami perlukan Dato' Seri Najib untuk bekerja bukan untuk berdebat. Biarkan Anwar berdebat seorang diri atau dengan cermin kerana memang itu sajalah kerjanya sejak dipecat sehingga sekarang.
Rakyat cukup maklum bahawa walaupun Anwar petah bercakap, beliau tidak tahu bekerja. Kerana itulah ceramahnya sudah kurang sambutan selama ini, kerana rakyat sudah muak dengan cakap-cakapnya. Janganlah dipaksa kami mendengar lagi cakapnya di televisyen melalui rancangan debat atau apa saja, kerana kami sudah tidak sanggup lagi mendengar suaranya.
Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone
No comments:
Post a Comment