Followers

Untuk Makluman

Segala pendapat dan pandangan penulis blog adalah pandangan peribadi tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah pergi dan juga BUKAN MEWAKILI SUARA dan PANDANGAN RASMI PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN SEGAMBUT DAN PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA.

Thursday, May 24, 2012

Selepas peraturan BAFIA dicabul, mana tindakan lanjut...

SUATU ketika dahulu, negara dikatakan berada di bawah pemerintahan kuku besi kerana pihak berkuasa bertindak pantas dan tegas terhadap anasir jahat mahupun yang berniat jahat.

Malahan, di kalangan warga media sendiri tidak dikecualikan daripada tindakan jika didapati melanggar perundangan negara seperti Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau mana-mana undang-undang lain dalam hasil karya mereka.

Bagaimanapun, kini terdapat golongan tertentu yang cuba mengambil kesempatan terhadap ketelusan dan keterbukaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan cuba berselindung di sebalik pendekatan kesederhanaan kerajaan untuk menghalalkan perbuatan yang nyata sekali satu jenayah.

Jika sebelum ini profesion guaman dilihat tercalar akibat penglibatan sebilangan anggota dalam agenda politik, kini tiba pula giliran industri kewangan menerima nasib serupa.

Jenayah mendedahkan maklumat sulit perbankan dan kewangan individu mahupun syarikat telah beberapa kali dilaporkan berlaku bukannya atas kepentingan ramai tetapi melibatkan agenda politik.

Umpama 'niat manghalalkan cara' beberapa anggota parti politik pembangkang dilaporkan telah mencabul Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) 1989 apabila mendedahkan maklumat rahsia seteru mereka dan perkara itu juga disyaki melibatkan orang dalam institusi kewangan sendiri.

Dalam usaha melepaskan diri daripada dipertanggungjawabkan terdapat pula gerakan menghalalkan perbuatan membocorkan rahsia kewangan itu kononnya atas dasar mendedahkan kepincangan, dan demi kepentingan umum.

Walaupun terdapat banyak saluran disediakan termasuk oleh Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendedahkan maklumat berlakunya kepincangan, pihak terbabit tetap memilih untuk menyebarkannya kepada media dan umum demi menimbulkan kekeliruan serta syak wasangka.

Sejauh mana alasan 'kepentingan umum' dapat diterima demi menghalalkan perbuatan melanggar undang-undang untuk kepentingan peribadi pihak atau golongan tertentu sahaja?

Adakah sekadar menghalalkan pendedahan maklumat sulit pemimpin dan kenamaan sahaja atau mungkin rahsia mana-mana rakyat negara ini juga boleh dikongsi dengan masyarakat dunia?

Sama ada individu yang mendedahkan mahupun orang dalam indusrti kewangan yang dikatakan terlibat, adakah mereka akan diambil tindakan setelah menjatuhkan kredibiliti warga perbankan dan institusi kewangan negara?

Bagi Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J. Solomon, sebarang maklumat pelanggan bank tidak boleh didedah tanpa kebenaran kepada mana-mana pihak luar kerana semua itu adalah rahsia sulit.

"Pekerja bank yang memegang mana-mana jawatan sekalipun tidak boleh beri maklumat pelanggan kepada orang luar. Nube mahu dakwaan penglibatan seorang kakitangan bank dalam kes kebocoran maklumat kewangan baru-baru ini disiasat sama ada benar atau berlaku secara lain (kecurian)," Katanya.

Tegasnya, jika ada bukti kukuh penglibatan kakitangan bank, ia tidak boleh diterima sama sekali kerana telah ditetapkan dibawah BAFIA maklumat pelanggan itu perlu dirahsiakan.

Beliau turut menjelaskan, pihak bank masing-masing mempunyai prosedur tindakan tersendiri dalam menguruskan kejadian tersebut jika terbukti kakitangan mereka terlibat.

"Nube hanya akan membantu kakitangan bank itu jika didakwa tanpa bukti kukuh tetapi pihak kesatuan tidak akan bersetuju dengan perbuatan mendedahkan rahsia itu jika terdapat bukti kukuh.

"Terdapat prosedur dalaman dan juga mahkamah dalam situasi ini dan kita akan ikut tindakan majikan jika memang ada bukti kukuh penglibatan kakitangan tersebut," ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kesemua ahli NUBE mahupun kakitangan bank yang lain agar tidak terlibat dengan sebarang perbuatan pecah amanah sedemikian. Solomon menegaskan, selain hubungan pekerja dan majikan, kakitangan institusi kewangan juga tertakluk kepada perjanjian kolektif kesatuan dan juga undang-undang negara.

"Janganlah kerana politik kita terlibat dengan perbuatan begini, semua kakitangan perlu menjaga tanggungjawab mereka kepada pelanggan. Kita tidak boleh terlibat dengan sesuatu yang bercanggah dengan polisi sedia ada, walau apa pun ideologi politik kerana ini amanah daripada pelanggan," jelasnya.

Beliau turut menasihatkan mana-mana kakitangan bank yang terlibat kepincangan atau salah laku, termasuk perbuatan membocorkan maklumat agar melaporkannya kepada majikan atau saluran yang telah disediakan.

"Jika takut ataupun pekara itu melibatkan kakitangan berjawatan lebih tinggi, mereka juga boleh melaporkan kepada NUBE atau Bank Negara dan identiti mereka akan dirahsiakan. Tidak perlu risau untuk tampil ke depan bersama bukti yang kukuh jika nampak atau tahu sesuatu yang tidak kena berlaku," tegasnya.

Tambahahnya, perbuatan mendedahkan rahsia kewangan mana-mana individu mahupun syarikat tanpa kebenaran pemiliknya perlu disekat dengan segera kerana ia umpama penyakit berjangkit yang mudah merebak.

"Kita perlu halang segera perbuatan sebegini kerana bukan sahaja akan menjejaskan imej bank yang terlibat malahan semua industri perbankan dan institusi kewangan negara." katanya.

Tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam juga berharap Bank Negara bertindak pantas dan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam melanggar peruntukan BAFIA dan mendedahkan nama-nama individu mahupun syarikat tanpa kebenaran.

"Peruntukan BAFIA kita kena ikut, jika berlaku kesilapan atau tidak ikut maka keadaan akan menjadi teruk. Jika bank negara tidak ambil tindakan tegas, orang tidak akan pedulikan BAFIA lagi kelak dan keresahan orang ramai juga pasti sukar untuk dikawal." jelasnya.

Beliau berpendapat, tahap keyakinan terhadap sistem perbankan dan institusi kewangan tempatan juga boleh menurun ada perbuatan terebut, seterusnya menjejaskan pelaburan domestik dan juga dari luar.

"Banyak implikasinya. Kes-kes melanggar undang-undang perlu diambil tindakan pantas dan tegas, jika tidak orang akan ingat bank negara dipengaruhi orang politik. Semua agensi mempunyai sistem kawalan mereka sendiri. Bank negara juga jangan lemah dan ikutlah sistem sedia ada untuk bertindak," ujarnya.

Tambahnya, orang ramai juga kini sedang tunggu dan lihat perkembangan isu berkenaan serta mula mempersoal kenapa belum ada tindakan diambil pihak berkuasa.

Tegasnya lagi, jika tidak bertindak dengan segera, kejadian mendedahkan maklumat rahsia perbankan dikhuatiri akan menjadi semakin teruk kelak.


Sumber: Utusan Malaysia

UNDILAH BARISAN NASIONAL ### VOTE FOR BARISAN NASIONAL

No comments:

SOAL HATI: ANTARA TUNTUTAN & IDAMAN