Jangkakan ramai ada sesuatu yang tidak kena di sebalik
pemecatan Ustaz Nasharudin Mat Isa dari Majlis Syura PAS ternyata benar apabila
surat pemberitahuan hanya diposkan kepada bekas Timbalan Presiden PAS itu pada
30 Januari 2013 dan diterimanya pada 6 Februari 2013.
PAS mengumumkan pemecatan itu pada 26 Januari 2013
melalui kenyataan media oleh Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Nik Zawawi Nik
Salleh yang menyatakan Ustaz Nasharudin telah dipecat sebagai ahli Majlis Syura
semasa badan tertinggi PAS itu bermesyuarat pada 13 Januari 2013.
Jika kenyataan Nik Zawawi betul bermakna perjalanan
parti itu ternyata agak bercelaru dan tidak terurus kerana mengambil masa yang
agak lama untuk menyampaikan keputusan parti kepada ahlinya.
Entah apa jenis kelayakan yang diambil kira sebelum
Nik Zawawi dilantik sebagai Setiausaha, langsung tidak efisien kerja buatnya.
Bukannya beribu keping surat yang perlu dihantar, hanya sekeping sahaja itu pun
berminggu-minggu mengambil masa.
Sehari dua sebelum pemecatan itu diumumkan, kelibat
Ustaz Nasharudin dilihat menyertai rombongan bersama Perdana Menteri, Dato'
Seri Najib Tun Razak di Gaza, Palestin telah menimbulkan kecurigaan dan rasa
tidak senang di kalangan pemimpin PAS.
Dilihat kronologi yang berlaku dalam tempoh itu, memang
jelas kelihatan ada sesuatu yang tidak kena. Bak kata pepatah ada udang di
sebalik batu. Pemecatan itu dilakukan memang disebabkan adanya agenda
tersembunyi dan alasan kononnya Ustaz Nasharudin 'kerap tidak datang mesyuarat'
hanyalah bertujuan untuk mengabui mata khalayak sahaja.
Tambahan pula Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat
selaku Pengerusi Majlis Syura Ulama PAS yang sering kali ponteng mesyuarat dan
kalau datang pun kerap pulang awal, tidak pula dipecat walau sepatutnya sudah
lama diambil tindakan berikutan ketidakberkesanan pimpinannya.
Tak mustahil hakikat sebenarnya pemecatan itu
dilakukan secara tergesa-gesa dan tidak pun dibincangkan dalam mesyuarat Majlis
Syura PAS pada 13 Januari 2013, sebaliknya ia hanya diputuskan melalui
perbincangan tidak rasmi antara pimpinan PAS selepas gambar Ustaz Nasharudin
dan PM di Palestin disiarkan media perdana.
Walau apa senario sekalipun, tatacara pemecatan
keanggotaan Ustaz Nasharudin dalam Majlis Syura Ulama PAS itu sendiri tidak
menepati prosedurnya apabila Ahli Parlimen PAS Bachok itu tidak dipanggil untuk
membela diri atau setidak-tidaknya diberi surat tunjuk sebab.
Jelas sekali ia satu bentuk kezaliman dan amat tidak
Islamik, amat bertentangan sekali dengan seruan keadilan yang sering
diwar-warkan parti itu di pentas-pentas ceramah politik.
Lebih sedekad lalu apabila Anwar Ibrahim dipecat dari
jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO disebabkan masalah
moral, ramai pemimpin dan penyokong PAS tampil mempersoalkan pemecatan tersebut
yang dikatakan zalim dan tidak Islamik.
Walhal tindakan pemecatan itu tidak pun dilakukan
secara semberono tanpa usul periksa sebaliknya Anwar telah diberi peluang untuk
membela diri dalam Majlis Tertinggi UMNO malah tidak dihalang melantik pasukan
guaman sendiri bagi menghadapi perbicaraan di Mahkamah.
Sekarang terbukti PAS adalah sebenar-benarnya parti
yang zalim dan tidak Islamik serta telah bertindak secara kuku besi. Memang
jelas PAS telah menzalimi Ustaz Nasharudin dan ianya berlaku hanya selang setahun
selepas bekas Naib Presiden PAS, Dr Hasan Ali dipecat tanpa bicara dari parti
itu.
Belum memerintah negara sudah terbiasa dengan kelakuan
buruk dan asyik menzalimi orang lain, andai diberi peluang memerintah negara
tidak sukar dibayangkan kezaliman yang bakal PAS laksanakan terhadap pihak lain
yang tidak sealiran dengannya.
No comments:
Post a Comment