Tilikan pawang politik bahawa Pakatan Rakyat di Sabah
bakal berpecah dan punah semakin menjadi realiti yang pahit bagi pembangkang.
Ini berikutan beberapa perkembangan terbaru berhubung
kedudukan politik pembangkang di Sabah yang bercita-cita untuk menawan negeri
itu pada Pilihan Raya Umum ke 13 yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
Pertama adalah kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin
Ali yang mengesahkan Pakatan Rakyat telah menutup pintu perbincangan pengagihan
kerusi dengan Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan bekas Ketua Menteri Yong Teck
Lee.
Ini kerana Pakatan Rakyat mendakwa SAPP bersikap keras
kepala untuk membolot majoriti kerusi Parlimen dan DUN dan tidak mahu bertolak
ansur dengan PKR, Dap dan Pas.
Sikap parochial dan kenegerian ini menambahkan pening
kepala Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim apabila pendirian 'Sabah Untuk Sabah'
ini disokong pula oleh Parti Pembaharuan
Negeri (STAR) yang diketuai oleh Dr Jeffrey Kitingan.
Dr Jeffrey yang dikenali sebagai salah satu 'raja
lompat parti' di Sabah pernah menjadi Naib Pengerusi PKR satu ketika dulu.
Beliau meninggalkan PKR setelah bertelagah dengan
Anwar yang menyisihkannya daripada jawatan Pengerusi Perhubungan PKR Sabah lalu
menubuhkan STAR.
Situasi Pakatan Rakyat bertambah getir apabila Naib
Ketua Wanita PKR Sabah dan beberapa pimpinan lain keluar parti minggu lalu
menyebabkan Ketua Wanita Zuraida Kamaruddin terpaksa mengeluarkan kenyataan
untuk mententeramkan keadaan.
Jika Anwar tidak dapat menyelesaikan isu pengagihan
kerusi menjelang PRU13 dalam beberapa minggu lagi, nampaknya Pakata Rakyat
terpaksa berdepan dengan pertandingan 3, 4 malah 5 penjuru atau lebih di
kesemua 60 kerusi DUN dan 25 kawasan Parlimen.
Bukan sahaja ia terpaksa berhadapan dengan jentera
pilihan raya Barisan Nasional yang lengkap, efisien dan kuat tetapi juga
terpaksa menepis cabaran daripada SAPP, STAR serta barisan calo-calon bebas.
Natijahnya undi pembangkang akan bercemperai di peti
undi dan ini akan menjadi faktor kukuh yang menyumbang kepada kemenangan besar
di Sabah.
Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada tahun 2010 menjadi
bukti sikap rigid SAPP yang berkeras untuk bertanding dan akhirnya calon PKR
kalah di tangan BN.
Nampaknya senario yang sama akan mempengaruhi
keputusan PRU13 di Sabah nanti.
Faktor agama adalah penting dalam politik Sabah
terutamanya ajaran Kristian.
Kedua-dua Teck Lee dan Dr Jeffrey adalah pelopor
gerakan Kristian di Sabah termasuk juga dengan Wilfred Mojilip Bumburing yang
kini berpihak kepada Pakatan Rakyat serta memimpin pergerakan Angkatan
Perubahan Sabah (APS).
SAPP dan STAR mahu mewujudkan satu blok yang terdiri
daripada ahli-ahli Parlimen dan DUN yang beragama Kristian bagi menjayakan
agenda kristianisasi di Sabah.
Anwar sedar akan hakikat ini tetapi demi kerakusan
politiknya beliau sanggup mengadaikan kepentingan Islam di Negeri Bawah Bayu
itu.
Anwar tahu undi Melayu tidak akan membawanya kepada
impian ke Putrajaya dan kerana itu beliau rela sanggup bersekongkol dengan
parti-parti Kristian untuk mendapat sokongan.
Pendirian PKR yang pro-Kristian di sabah sudah
tentunya akan menimbulkan rasa tidak senang dan ancaman kepada Pas.
Pas kini berlaga angin dengan PKR dan Dap dalam isu
kalimah ALLAH dan isu kristianisasi di Sabah turut akan menaikkan suhu politik
dengan sekutu politiknya.
Apa hal sekali pun Dap akan tetap bersama PKR yang
mempunyai dasar terbuka terhadap agama yang lambat laun akan meletakkan Pas
dalam keadaan seperti melukut di tepi gantang.
Jika Pakatan Rakyat berkeras mahu bertanding di semua
kerusi DUN dan Parlimen ia bakal ditolak oleh pengundi Sabah sendiri yang
sentiasa merasa parti-parti Semenanjung seperti PKR, Pas dan Dap terlalu
bersikap angkuh.
Anwar beranggapan rakyat sabah mudah digula-gulakan
dengan pelbagai dakyah dan isu yang ditimbulkan terhadap BN.
Pembangkang gagal melihat realiti bahawa negeri itu
mempunyaim keinginan serta harapan yang tinggi untuk sama-sama maju setaraf
dengan negeri-negeri di Semenanjung.
Hanya BN yang berjaya memenuhi kehendak pembangunan
rakyat Sabah selama 50 tahun bersama dalam Persekutuan Malaysia.
Pembangkang hanya bermodalkan air liur dan jentera
fitnah yang sentiasa bergerak meracuni fikiran rakyat tetapi gagal untuk
menunjukkan kemampuan mentadbir atau membela nasib rakyat.
Nasib negeri Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan
Kelantan yang diperintah pembangkang sudah cukup menjadi bukti kepalsuan
janji-janji manis mereka.
Tidak perlu lagi menipu rakyat Sabah atau Sarawak
dengan manifesto yang mengandungi kata-kata kosong yang tidak bernilai dan
membawa apa-apa erti.
No comments:
Post a Comment