JOHOR BAHRU : Pakatan pembangkang gagal menunaikan
lebih daripada 85 peratus janji kepada rakyat yang 'ditabur' mereka dalam
manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi
berkata, berdasarkan kajian yang dibuat, kerajaan negeri di bawah kepimpinan
pakatan pembangkang hanya berjaya menunaikan tidak lebih 15 peratus daripada
keseluruhan janji yang dibuat.
"Mereka sudah diberi peluang untuk memerintah
negeri tetapi tidak dapat melaksanakannya, macam mana kononnya mereka mahu
diberi peluang menuju ke Putrajaya?" katanya pada sidang akhbar selepas
merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Pulai di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat
di sini hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur
Jazlan Mohamed dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Terbau, Datuk Abdul Halim
Suleiman. Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata, kerajaan di bawah
kepimpinan Barisan Nasional (BN) sehingga kini sudah berjaya menunaikan lebih
daripada 87 peratus janji yang dibuat sejak pilihanraya umum pertama 1959
ketika di bawah Parti Perikatan.
Beliau mengakui terdapat kelemahan sebanyak 13 peratus
dalam menunaikan janji yang dibuat dan tidak mustahil pekara itu akan dibawa ke
Pilihan Raya Umum Ke 13 tidak lama lagi dan meminta rakyat menilai sendiri
serta menolak parti yang disifatkan sebagai pembohong kerana tidak menunaikan
manifesto pilihan raya.
Katanya, kerjasama tiga parti dalam pakatan pembangkang
adalah ibarat perkahwinan mutaah yang bersifat sementara kerana mereka hanya
memerlukan satu sama lain pada waktu pilihanraya dan hubungan tersebut tidak
bertahan lama disebabkan agenda masing-masing yang berbeza.
"Kita lihat seperti mana yang berlaku di Pulau
Pinang, DAP cuba menguasai lebih daripada dua pertiga kerusi di sana selain
mahu menjadi parti tunggal di negeri itu.
"Adalah lebih baik PKR dan PAS meninggalkan DAP
dan menjadi entiti berasingan kerana mereka tidak jujur dalam menterjemahkan
kesepakatan yang terjalin dan kaedah yang sama juga akan dilakukan jika mereka
menguasai Putrajaya," Katanya lagi.
#Petikan Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment