Manifesto BN bertemakan "Menepati Janji Membawa
Harapan" diakui ramai antara yang terbaik walaupun tidak bersifat populis
tapi impak positif pelaksanaannya kelak bakal memberi manfaat besar kepada
pelbagai peringkat anggota masyarakat.
17 perkara utama meliputi 150 komitmen penting yang
sedang dan akan terus dilaksanakan sebagaimana termaktub dalam Manifesto BN
merupakan satu bukti jelas keprihatinan BN dalam menghalusi denyut nadi rakyat.
Inti patinya lebih realistik, lengkap dengan matlamat
hala tuju dan merangkumi hampir segenap bidang dari hal agama, ekonomi,
keselamatan, pendidikan, perumahan dan sebagainya.
Penambahan insentif BR1M umpamanya dari RM500 kepada
RM1,200 untuk ketua keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah ia tidak dilakukan
sewenang-wenangnya, sebaliknya setelah diambil kira kajian menyeluruh kesan
positifnya dalam merancakkan ekonomi negara.
Ini memberi gambaran jelas betapa penyediaan Manifesto
BN dilakukan dengan penuh persediaan dengan mengetepikan soal populariti
sebagai sandaran. Fokus Manifesto BN lebih kepada meningkatkan khidmat bakti
kepada rakyat setelah mengambil kira keperluan semasa dan akan datang.
Berbeza sekali dengan Manifesto PR yang dilakukan dalam
keadaan tergesa-gesa dan perubahan kandungannya dilakukan berkali-kali selepas
dilancarkan, seolah-olah tiada keseriusan dan kurangnya komitmen untuk
merealisasikannya.
Misalnya janji royalti untuk Kelantan hanya dimasukkan
selepas Manifesto PR siap dicetak manakala pelbagai janji penghapusan cukai dan
tol pula dilakukan tanpa mengambil pertimbangan soal implikasi kepada kedudukan
kewangan negara.
Janji bulan bintang yang dinukilkan dalam Manifesto PR
tampak jelas lebih kepada matlamat mengejar populariti tanpa mengukur baju di
badan sendiri, tidak realistik kerana terlalu melangit dan penuh fantasi.
Tapi ia tidaklah menghairankan sangat kerana sudah
menjadi pegangan PR bahawa manifesto bukannya satu perjanjian, jadi soal
realistik atau pun logik bukannya satu perkiraan besar bagi mereka.
Yang penting bagi PR, selagi janji manis itu dirasakan
boleh mempopularkan mereka demi meraih undi sokongan selagi itu mereka galak
menabur janji. Ini nyata berbeda dengan
BN yang tahu berpijak di bumi nyata dan bijak mengukur baju di badan sendiri.
No comments:
Post a Comment