Menjulang bangsa, mengisi wawasan
UCAPAN Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Noraini Ahmad pada Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita UMN) 2007 di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Selasa, 6 November, 2007
Bismillahir Rahmanir Rahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Perwakilan dan Pemerhati yang dikasihi
PENGENALAN
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana kita dapat sekali lagi berkumpul di atas semangat silatulrrahim dan perjuangan demi memperkasakan kedudukan politik, ekonomi, sosial dan pendidikan orang Melayu pada hari yang mulia ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW
Bersyukur juga kita ke hadrat Illahi kerana perhimpunan kita kali ini diadakan ketika usia kemerdekaan Negara sudah mencecah 50 tahun, dan sepanjang tempoh separuh abad ini begitu banyak limpah nikmat pembangunan serta kemajuan yang telah kita kecapi hasil pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan UMNO sebagai tonggak utamanya.
Tidak lupa kita panjatkan kesyukuran kerana Pergerakan Puteri UMNO yang dilancarkan pada 3 Ogos 2001 kini sudah berusia enam tahun dibawah lembayung parti UMNO yang terus subur, segar dan relevan kepada orang Melayu.
Memandangkan kita masih berada di bulan Syawal mulia, saya mengambil peluang ini mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua perwakilan yang hadir.
IMBASAN 2007
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Tempoh setahun lalu menyaksikan negara dilanda pelbagai ujian. Paling diingati ialah peristiwa negara dilanda banjir besar yang menenggelamkan hampir seluruh selatan tanah air. Ribuan keluarga terjejas, jutaan harta benda musnah. Puteri turut merasa sedih dengan kejadian yang menimpa. Seluruh jentera sukarelawan Puteri seluruh negara telah digerakkan bagi membantu mereka yang ditimpa bencana. Seawal hari kejadian, Puteri hadir menghantar keperluan bantuan kepada mangsa.
Pejabat Puteri UMNO Malaysia dijadikan pusat pengumpulan barang-barang untuk didermakan. Hasil sumbangan ahli-ahli Puteri diseluruh negara serta orang ramai, agihan dapat dilakukan secara berterusan. Puteri turut membawa bersama Pasukan Perubatan dalam misi bantuan ini. Klinik kesihatan bergerak diujudkan untuk memberi rawatan percuma kepada mangsa banjir.
Tidak bernokhtah setakat itu, Puteri mengadakan program Gotong Royong Perdana sebagai usaha meringankan tenaga bagi sama-sama melakukan kerja-kerja pembersihan. Dengan kesedaran bahawa ujian ini turut melunturkan semangat serta emosi mangsa, Puteri mengambil inisiatif menganjurkan program kaunseling yang memfokuskan kepada pelajar sekolah dan ibu bapa.
Hasilnya, saudara-saudara kita yang terjejas di Johor, Melaka, Negeri Sembilan serta Pahang mendapat manfaatnya.
Setahun yang lepas juga, kita telah melalui tiga pilihanraya kecil di DUN Batu Talam, Machap dan Ijok yang telah menyaksikan jentera Puteri turun padang. Tahniah kerana telah bekerja kuat, berkorban masa serta tenaga sekaligus membantu Barisan Nasional untuk menang besar kerusi yang dipertandingkan.
Ibarat tak lekang dek panas, tak lapuk dek hujan, sejak ditubuhkan hinggalah sekarang, Puteri juga tak pernah kering dengan pelbagai program bukan sahaja untuk manfaat kira-kira 300,000 ahlinya malah menyusur sehingga ke akar umbi, meliputi seluruh anggota masyarakat tanpa mengira tua, muda, remaja, kanak-kanak sekolah sehinggalah ke anak-anak di bangku tadika dan masih kecil.
Hasil kesungguhan dan komitmen semua ahli kita mampu melaksanakan apa jua program sama ada berteraskan pendidikan, sosial, ekonomi, kebajikan, sukan dan rekreasi dengan jayanya ke arah mendekatkan lagi pergerakan ini dengan anggota masyarakat di segenap peringkat.
Alhamdulillah kita juga bersyukur kerana usaha sukarelawan ini sentiasa mendapat sokongan padu pelbagai pihak, daripada jabatan dan agensi kerajaan, sehingga ke sektor swasta serta badan-badan korporat.
Puteri juga telah berjaya menganjurkan Majlis Malam Amal Tautan Kasih bersama Yayasan Harapan Kanak-kanak Malaysia dan dihadiri Yang Berbahagia, Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Timbalan Presiden UMNO. Hasil daripada program ini digunakan untuk mengisi Tabung Prihatin Puteri UMNO yang dilancarkan oleh Datin Seri pada perhimpunan tahun lalu.
Dalam perhimpunan pada tahun lepas, Puteri telah menawarkan diri untuk menjadi sukarelawan dalam program Permata. Sukacita dimaklumkan bahawa Puteri kini mendapat amanah untuk menjadi sukarelawan didalam program membaca pada anak-anak Permata diseluruh negara.
Kita juga telah menganjurkan pelbagai program termasuk Pelancaran Mekar ICT bersama DBKL, Bicara Tokoh, Jom Fiesta!, Program Semarak Gemilang, Bowling persahabatan, Pertandingan Futsal, dan yang terbaru adalah pelancaran komuniti siber (Jalinz) oleh YAB Presiden UMNO baru-baru ini.
Bermotokan Generasi Wanita Prihatin, Puteri adalah satu-satunya sayap parti yang telah sama-sama menyertai majlis pertemuan antara Mariam Johari yang berusia 86 tahun dengan anak-anaknya yang telah terpisah selama 64 tahun angkara desakan dan himpitan hidup dizaman penjajah dengan menguruskan pemergian mereka ke Korea.
Dalam kesibukan melaksanakan program kebajikan, pendidikan dan sosial, kita tidak mengabaikan tanggungjawab politik. Jentera pilihan raya Puteri siap sedia untuk menghadapi pilihan yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Malah banyak kerja bersama akar umbi sudah dilaksana dan terus dilaksana. Misalnya, kita telah menganjurkan Kursus Persiapan Jentera Pilihanraya, Kursus Pemantapan Jentera Pilihanraya, taklimat pemantapan biro penerangan, Bengkel Pemantapan Aktiviti Jom Baca!, Kursus Penulisan Siber, kursus ‘gallop poll’ dan pelbagai lagi.
Ahli-ahli juga fokus untuk turun ke akar umbi mencari rakan seusia kami yang masih belum mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihanraya. Alhamudulillah, berkat usaha berterusan ini majoriti generasi wanita muda yang belum berdaftar telah didaftarkan.
Sesungguhnya saya amat terharu dengan semangat ahli-ahli Puteri, yang bekerja tanpa mengharapkan upah atau ganjaran. Dalam usia pergerakan kita yang hanya berusia 6 tahun, kita sekali lagi berjaya memaksimakan sumbangan wanita melayu muda kepada masyarakat.
Semuanya dapat dilakukan kerana prinsip yang kita dokong selama ini – bekerja untuk rakyat, bangsa, agama dan negara, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran atau balasan. Inilah tanda terima kasih daripada Puteri kepada kepimpinan UMNO yang berwawasan dan telah banyak berkorban untuk kepentingan orang melayu sejak merdeka.
Tahniah saya ucapkan kepada Exco dan Ketua Puteri negeri yang aktif dalam menggerakkan aktiviti biro dan program negeri masing-masing. Begitu juga sumbangan semua ahli di Peringkat Pusat, Bahagian dan Cawangan yang tidak menang tangan membantu menjayakan setiap aktiviti yang telah dirancangkan. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli Puteri yang telah bersungguh-sungguh bekerja sehingga kita menang besar dalam semua pilihanraya kecil yang lepas.
Puteri ingin mengulangi ikrar kami untuk terus berdiri teguh di belakang kepemimpinan YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presiden UMNO dan Timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Wanita muda di dalam UMNO ini akan sama-sama memastikan kita menang besar dalam pilihanraya yang akan datang.
MEMBINA NEGARA BANGSA
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Cabaran bagi membina negara bangsa dalam arus dunia tanpa sempadan amat kritikal dan penting. Kita jangan sesekali menaruh niat dan hasrat untuk membina generasi muda dalam kerangka pemikiran dan cabaran masa lampau.
Kita perlu menyediakan mereka untuk menghadapi realiti dan cabaran baru. Pelajar kita mesti diasuh dengan nilai keinsafan yang bersifat glokal, berani dan kompetitif, bijaksana tetapi tidak kurang ajar, patriotik dan menyayangi negara. Kita kena berpegang kepada pepatah di mana bumi di pijak, di di situ langit di junjung.
Puteri membantah sekeras-kerasnya tindakan seorang pelajar Malaysia di Taiwan yang menggunakan nama samaran Namewee, yang mempersendakan agama Islam dan bangsa Melayu menerusi lirik lagu Negaraku dan Kawanku yang diciptanya sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak terutama orang Melayu di Negara ini.
Puteri juga menolak sama sekali permohonan maaf pelajar terbabit kerana perbuatannya bukan saja keterlaluan, malah biadap dan kurang ajar.
Lebih dahsyat lagi selepas perbuatan biadap Namewee itu, kita telah dikejutkan dengan insiden seorang remaja Melayu membakar bendera negara, Jalur Gemilang dalam satu kejadian rusuhan di Kuala Terengganu pada 8 September lalu.
Kita terkejut, terkilan dan marah dengan kejadian itu yang dikatakan berpunca daripada kegagalan pembangkang mendapat permit polis bagi mengadakan satu perhimpunan. Sesungguhnya ia adalah isu nasional membabitkan maruah dan jati diri masyarakat Malaysia dan orang Melayu.
Puteri berpendapat, perkara ini tidak mungkin akan berlaku jika semangat patriotisme dan semangat politik kepartian tidak dicampuradukkan hingga semangat kemerdekaan serta kenegaraan terhakis dan dipinggirkan.
Puteri juga menyelar sekeras-kerasnya perbuatan ganas membakar Jalur Gemilang dan menganggap ini sebagai tindakan kelompok pengkhianat bangsa dan negara. Ini mencabul maruah Malaysia sebagai negara berdaulat yang bebas dan merdeka.
Perbuatan itu juga turut mencalar imej negara. Apa pandangan orang luar melihat gelagat rakyat kita sendiri yang memalukan membakar Jalur Gemilang, perbuatan yang tak boleh diterima oleh akal. Nama negara tercatat di peta dunia dan segala tingkah laku kita diperhatikan dunia luar. Ketika tidak ada rakyat mana-mana negarapun sanggup membakar bendera negara mereka sendiri, rakyat di negara kita pula yang sanggup berbuat demikian.
Perbuatan mereka yang terlalu taksub dengan politik kepartian hingga sanggup membakar bendera negara, tidak harus dimaafkan apa lagi ketika negara menyambut kemerdekaan negara yang ke-50.
Puteri UMNO sehubungan itu mendesak supaya tindakan setegas-tegasnya diambil terhadap pengkhianat terbabit, apa lagi perbuatannya bukan saja dipaparkan di media cetak malah turut dipaparkan menerusi rakaman video, yang sering diulang menerusi kaca televisyen.
Kita tidak harus bertolak ansur terhadap sesiapa sahaja yang memperlekehkan soal agama, maruah bangsa dan kedaulatan negara. Setiap warga Malaysia harus tanggungjawab sepenuhnya atas sikap dan kejahilan yang telah ditonjolkan oleh mereka.
ISU PENDIDIKAN & MODAL INSAN
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Sejak dari awal penubuhan, isu pendidikan sentiasa dekat di hati Puteri dan dalam setiap program yang dilaksanakan keutamaan diberikan kepada isu yang membabitkan soal survival pendidikan anak-anak Melayu.
Puteri amat insaf dan menyedari bahawa pendidikan adalah asas dan tonggak penting dalam membina modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang ke arah mencapai matlamat negara maju 2020, seterusnya ke arah Malaysia yang lebih gemilang pada 2057.
Pendidikan awal amat penting dalam pembentukan modal insan berilmu dan sekaligus akan menyumbang ke arah pembendungan gejala sosial . Ia adalah satu proses jangka panjang tetapi transformasi dan pembentukan keperibadian diri seharusnya dimulakan dari awal lagi.
Kita harus membangunkan modal insan yang selari dengan zaman dan Puteri dengan ini menyokong penuh Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010. Puteri UMNO juga menyokong penuh Bajet 2008 khususnya pemansuhan yuran tahunan sekolah rendah dan menengah sepenuhnya dan Skim Pinjaman Buku Teks diperluaskan kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.
Sesungguhnya pendidikan percuma yang diketengahkan kerajaan dalam bajet berkenaan adalah pendekatan yang dilaksanakan oleh negara maju. Ia membuktikan kerajaan kita sentiasa memelihara kebajikan rakyat.
Betapa bertuahnya kita punya kerajaan yang sanggup memberikan pendidikan percuma untuk semua. Tidak harus lagi ada keluh kesah di kalangan ibu bapa selepas ini, tiada lagi alasan untuk anak keciciran kerana orang tua tidak mampu, tidak harus ada kes anak ponteng sekolah kerana ibu bapa gagal jelaskan yuran serta tidak harus wujud jurang pendidikan antara penduduk desa dan kota, malah tidak harus wujud lagi cerita ‘antara dua darjat’ dari segi pendidikan bagi anak si kaya dan si miskin.
Ini kerana kerajaan kita telah menyediakan akses kepada semua rakyat untuk mendapat pendidikan secara sama rata, selari dengan pendekatan membangunkan modal insan bagi membawa Malaysia ke arah Malaysia Maju 2020 dan Malaysia yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang menjelang 2057.
Dalam konteks pendidikan tinggi, Puteri memandang masalah kehilangan tenaga pakar ke luar negara menjadi semakin meruncing. Kita kena lebih tegas dan pastikan mereka, terutama yang dibiayai dengan pinjaman membayar balik kos pembelajaran sebaik tamat belajar. Sekiranya mereka gagal untuk pulang berkhidmat, pembayaran balik dengan kadar penalti yang lebih tinggi haruslah ditetapkan mengikut kadar semasa.
Dalam usaha untuk menggalakkan pelajar menyambung pembelajaran di dalam Negara, usaha untuk memperkasakan universiti awam di Negara ini perlu dilakukan. Ini adalah kerana kajian reputasi akademik IPTA yang dijalankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mendapati tidak ada universiti dalam negara yang mencapai tahap terbilang atau bertaraf dunia.
Puteri mencadangkan penstrukturan semula universiti-universiti awam sedia ada di negara ini dilakukan bagi memperkasakan IPT berkenaan supaya muncul sebagai universiti terbaik di dunia.
Puteri ingin mencadangkan supaya satu jawatankuasa kecil dibentuk, yang akan menjadi tulang belakang dalam mencari tenaga pengajar bertaraf dunia dan menjadikan universiti kita sebagai universiti contoh, sejajar dengan matlamat kita untuk menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan bertaraf antarabangsa.
Harus diingat, apabila kita diiktiraf sebagai hub pendidikan serantau maka diharap universiti ini akan dapat membangun dengan sendiri, tanpa memerlukan subsidi daripada kerajaan. Mungkin kos awal ke arah itu dianggap besar dan membebankan, tetapi kita perlu melihat kesan jangka panjang yang sememangnya berbaloi dalam usaha meletakkan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan tinggi paling unggul di dunia.
Pada masa sama kita juga perlu lebih kompetitif dalam membayar gaji serta memandang serius isu kenaikan pangkat tenaga akademik tempatan supaya mereka tidak berhijrah khususnya ke luar negara. Cara ini secara tidak langsung akan mengukuh dan memantapkan lagi tahap pendidikan di negara ini.
Usaha lain yang dapat dilihat adalah melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara 2007 yang dilancarkan baru-baru ini. Puteri mengalu-alukan tujuh teras yang menjadi pemangkin kecemerlangan pendidikan tinggi Negara khususnya cadangan penubuhan Universiti Apex.
Kita maklum bahawa apabila menyebut Universiti Apex, maka sudah tentulah universiti itu memiliki keunggulan dan ketinggian darjatnya. Universiti Apex tersohor melalui keupayaannya menjadi rujukan, memiliki pensyarah yang terbilang, sangat kompetetif, memiliki penyelidikan hebat serta pengambilan pelajar dillakukan secara penilaian komprehensif.
Justeru, misi untuk mencapai cita-cita ini mesti direalisasikan. Walaubagaimanapun, Kerajaan haruslah benar-benar melihat bagaimana mekanisma penubuhan universiti Apex ini dilakukan
Adakah kerajaan mahu menubuhkan universiti baru atau memilih universiti sedia ada untuk ditarafkan sebagai Apex? Kerajaan mesti memastikan terma dan model rujukan, serta rangka kerja jawatankuasa agar universiti Apex yang dicadangkan bersesuaian dengan acuan tempatan.
Kerajaan juga perlu memastikan bahawa peningkatan kualiti universiti tempatan lain turut ditingkatkan agar bertaraf dunia.
Puteri juga berharap agar universiti Apex yang diilhamkan ini nanti mampu berdiri diatas kaki sendiri dan tidak membebankan kerajaan.
Secara tidak langsung, ini akan melahirkan pelajar berkualiti bertaraf dunia.
Saya juga ingin menyentuh mengenai Kajian yang dibuat oleh Malaysian Institute of Economic Research (MIER) yang cukup membimbangkan kita. Ketika negara dijangka mencatat peningkatan ekonomi sekitar 6.5 peratus pada tahun ini – wujudnya scenario "jobless growth" (pembangunan ekonomi tanpa penyediaan peluang pekerjaan), satu fenomena yang menuntut perhatian kita semua.
Menurut MIER ini berdasarkan kepada fakta bahawa dalam kita mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik pada tahun ini, pasaran mencatatkan kekurangan hampir 200,000 peluang pekerjaan berbanding tempoh sama tahun lalu.
Punca utama keadaan ini berlaku ialah wujudnya peralihan nilai kerja daripada buruh yang tidak berintensifkan kemahiran kepada buruh yang berintensifkan kemahiran-teknologi dan ilmu pengetahuan. Peralihan ini tidak sahaja berlaku di Malaysia, malah negara maju seperti Amerika Syarikat.
Justeru Puteri UMNO mendesak supaya kita mengkaji semula proses penyediaan modal insan di Negara ini secara total dan holistik. Kita perlu mengenalpasti segala kelemahan dan kelebihan di kalangan anak-anak kita, generasi muda kita. Kita harus meneliti penawaran dan permintaan dalam pasaran dan mencari langkah pembetulan yang tepat.
Puteri tahu bahawa untuk melahirkan professional mengambil masa dan jika kita fokus kepada satu bidang pada satu masa, kita akan menghadapi masalah lambakan graduan menggangur pada masa depan.
Sukacita juga Puteri UMNO mencadangkan supaya Kementerian Sumber Manusia menjalankan kajian terperinci untuk mengenal pasti bidang yang sesuai dan diperlukan bagi tempoh bukan sahaja lima tahun, malah 10 tahun dan 20 tahun akan datang. Sasaran kita tidak seharusnya menjurus kepada keperluan masa kini, tetapi perlu melangkau lebih jauh dengan melihat keperluan di masa depan.
Di sini juga, Puteri menggesa supaya idea penubuhan institut buruh yang dilaung-laungkan dua tahun lalu dilaksanakan supaya negara dapat melahirkan bilangan professional setimpal dengan kehendak pasaran kerja semasa dan badan ini juga boleh bergabung dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pengajian Tinggi dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan.
Apa yang boleh dilakukan sebagai contoh, jika 20,000 ahli bioteknologi diperlukan dalam masa lima tahun akan datang, maka pihak Kementerian Sumber Manusia harus memberi maklum balas kepada institut berkenaan dan sekaligus mendapat kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dalam mengagihkan bilangan pelajar ke jurusan berkenaan. Apabila bergelar graduan kelak, mereka ini akan mengisi kekosongan pekerjaan yang diperlukan itu.
Selepas 50 tahun, kita harus memperbaharui tekad, meningkatkan lagi kesungguhan, menggandakan lagi usaha dan berani untuk melangkah lebih jauh, mencatat kejayaan lebih besar di peringkat antarabangsa.
Hanya dengan tekad dan kesungguhan sebegini kita mampu merealisasikan impian 2057 Presiden parti yang mahu apabila negara merayakan 100 tahun kemerdekaannya pada 2057, rakyat dan bangsa Malaysia akan mencapai kejayaan yang tidak pernah difikirkan.
Impian 2057 juga mensasarkan pelajar dan profesor negara ini mampu menguasai universiti terkemuka dunia, manakala universiti tempatan akan menjadi pusat kecemerlangan untuk cendiakawan antarabangsa.
Pokok pangkalnya semua ini bertunjangkan ilmu, pendidikan dan jati diri yang tinggi. Kita hanya akan berupaya merintis kecemerlangan yang tidak pernah diimpikan dengan berpaksikan modal insan yang cemerlang.
Rata-rata laporan yang kita baca mendedahkan mengenai kejayaan pelajar perempuan melepasi meritokrasi sehingga pelajar perempuan lebih ramai daripada lelaki di institut pengajian tinggi (IPT) negara ini. Mengikut statistic Kementerian Pengajian Tinggi 2006 kemasukan pelajar perempuan mengikut gender adalah 62%, manakala lelaki 38%. Manakala jumlah pengeluaran graduan pula adalah perempuan 65% manakala lelaki 35%.
Di sini Puteri ingin mengajak golongan lelaki supaya sama-sama bersaing secara sihat dan tidak mempertikaikan soal merit. Kecemerlangan pelajar perempuan seharusnya menyuntik semangat kepada pelajar lelaki untuk bersaing secara sihat, bukan mempertikaikan pemilihan jumlah pelajar perempuan yang ramai di IPT.
Puteri juga mahu supaya lebih banyak peluang memegang jawatan tinggi dibuka kepada golongan perempuan yang memenuhi kelayakan diperlukan dan pemilihan tidak harus dibuat berdasarkan jantina pemohon.
Sudah ada suara-suara yang mempertikaikan bahawa sistem merit yang diamalkan sekarang menjadi punca utama ketidakseimbangan antara pelajar perempuan dan lelaki di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Malah penilaian berdasarkan 10 peratus markah dalam aktiviti kokurikulum juga tidak membantu menambah bilangan pelajar lelaki kerana pelajar perempuan juga aktif dalam pelbagai aktiviti terbabit ketika di sekolah. Lebih mengejutkan pelajar perempuan sudah semakin berani memasuki bidang teknikal termasuk kejuruteraan menyebabkan mereka mula mendominasi hampir semua jurusan di IPT.
Maka mulalah timbul pelbagai cadangan termasuk cadangan supaya sistem kuota perlu digunakan dalam beberapa bidang kritikal supaya lebih ramai lelaki dapat menyertai bidang seperti pertanian, kejuruteraan dan pelbagai bidang lain yang memerlukan tenaga serta masa yang maksimum.
Ketandusan pelajar lelaki di IPT semakin membimbangkan apabila pelajar wanita mula mendominasi hampir semua jurusan, malah pusat pengajian serta bidang yang selama ini popular dikalangan lelaki juga menunjukkan pertambahan mendadak pelajar wanita setiap tahun.
Puteri bertegas bahawa lelaki harus menjadikan meritokrasi sebagai cabaran. Persaingan secara sihat untuk mendapat tempat di mana-mana IPT harus diteruskan kalau kita mahu melahirkan modal insan yang benar-benar cemerlang.
DASAR LANGIT TERBUKA
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Globalisasi sedang melanda kita. Dunia semakin hilang sempadannya. Dasar langit terbuka yang kita amalkan mengundang pelbagai ancaman. Anak-anak kita terdedah kepada pelbagai cabaran baru - termasuk budaya asing yang boleh menjajah minda. Internet menjadi sungai besar yang mengalirkan sekian banyak kebaikan tetapi juga berisi kotoran dan najis.
Semua ini adalah petanda kemajuan, namun yang buruknya ialah ia menjadi punca pada banyak masalah yang membabitkan, nilai, budaya, cara hidup dan lebih penting lagi kepercayaan beragama kita.
Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan yang bertemakan "Membina Tamadun Menjulang Martabat Bangsa" menekankan kepada `usaha untuk memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.'
Presiden UMNO turut menyentuh mengenai perlunya rakyat berminda kelas pertama yang bermaksud mereka berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral.
Masyarakat itu harus tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agama.
Identiti nasional kita harus kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. Penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) bertujuan memberikan penekanan pada soal memperkukuh budaya integriti dalam masyarakat.
Untuk melahirkan masyarakat yang berintegriti, terasnya ialah pada keluarga. Untuk menyedarkan makna integriti dalam masyarakat, asasnya ialah nilai yang harus tertanam pada peringkat paling rendah - peranan institusi keluarga, sekolah dan persekitaran.
Anak-anak kita ibarat buluh yang harus dilenturkan dengan betul. Kita dapat melihat di sekeliling kita bagaimana kesan daripada kemajuan, globalisasi dan teknologi telah mengubah nilai dalam masyarakat kita. Mahu tidak mahu kita harus mengakui bahawa kita berdepan dengan `backlash' daripada kejayaan kita sendiri. Perihal wujudnya pelbagai bentuk masalah sosial dalam masyarakat hari ini sebahagian besarnya disebabkan oleh nilai negatif yang mula melanda.
Kita kadangkala lupa bahawa `adat Timur' atau `budaya Timur' itu tidak terbina dalam seratus tahun, tetapi ribuan tahun. Budaya ini meletakkan rasa hormat dan budi bahasa pada kedudukan paling tinggi. Budaya ini memuliakan adat, menghormati orang tua, menyanjung kebijaksanaan dan lebih penting lagi dicorakkan oleh pegangan agama yang kuat.
PATRIOTISME
Kita harus mengkaji sejauh manakah keberkesanan sistem pendidikan negara selama ini dalam menyuntik semangat cintakan tanah air yang mendalam terhadap diri pelajar.
Selain itu, komitmen pendidik dan ibu bapa dalam menyumbang tenaga ke arah pendidikan bersepadu dan menjadikan pemimpin negara sebagai contoh adalah ramuan utama membakar semangat baru kepada generasi masa kini.
Pelajar cemerlang ini merasai bahawa mereka tidak akan berjaya sehingga ke tahap ini tanpa wujud kerjasama padu dan penuh iltizam daripada semua pihak, terutama kesan daripada pelan pendidikan dirancang Kementerian Pelajaran, yang holistik dan penyediaan kemudahan prasarana persekolahan yang cukup selesa.
Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika berucap di hadapan mahasiswa yang menuntut di Osaka, Jepun antara lain menyatakan mahasiswa harus bersedia berkhidmat kepada negara apabila tamat pengajian adalah suatu amanat cukup besar dan bermakna.
Dengan semangat patriotik yang tertanam pada diri pelajar cemerlang, mereka bukan saja akan berkhidmat kepada Negara bahkan mereka akan mencari peluang bagaimana memberikan perkhidmatan secara percuma kepada golongan memerlukan. Inilah yang diharapkan kerajaan daripada usaha meningkatkan modal insan ke dalam jiwa generasi selepas merdeka. Walaupun mereka tidak dapat membuktikan perjuangan menentang penjajahan seperti dilakukan tokoh pejuang terdahulu, itu tidak menghalang niat murni mereka.
Matlamatnya masih sama, cuma berbeza pendekatan dengan membalas jasa dan berbakti kepada negara dalam bentuk modal insan adalah bukti patriotisme yang mendalam dalam jiwa mereka selama ini dan mahu dikenang juga sebagai ikon pasca kemerdekaan.
Usaha meningkatkan semangat patriotik kepada pelajar ke luar negara perlu diteruskan agar negara tidak kerugian dari segi penyediaan tenaga kerja profesional.
Puteri juga mencadangkan supaya diwujudkan guru-guru pakar dalam bidang patriotisme kerana ini lebih praktikal. Kita mahu rakyat Malaysia lebih cintakan negara, harus ada semangat kekitaan dalam semua bangsa Malaysia, bukannya sikap individualistik.
Kita juga mahu lihat kerjaya polis dan askar tidak hanya disertai majoriti orang Melayu, tetapi juga disertai kaum lain. Kita perlu menghakiskan sama sekali semangat dan identiti kenegerian serta perkauman. Sesungguhnya proses membina negara belum lagi selesai dan masih ada banyak halangan yang perlu kita lepasi.
MASALAH SOSIAL
Seluruh negara telah dikejutkan dengan kes menyayat hati yang menimpa anak kecil kita, Nurin Jazlin Jazimin, 8. Moga keluarganyanya terus tabah dalam meneruskan kehidupan. Puteri merakamkan menyatakan perasaan kesal, geram dan marah dengan penjenayah terbabit dan mahu hukuman setimpal dikenakan terhadapnya.
Peningkatan kes jenayah di negara ini cukup membimbangkan Pergerakan Puteri UMNO dan khalayak masyarakat secara keseluruhan. Kes tembak menembak, rompakan, pengedaran dadah dan syabu, bunuh dan culik kanak-kanak antara yang sering dipaparkan media kebelakangan ini.
Siasatan kes adik Nurin Jazlin Jazimin, 8, yang dibunuh kejam belum lagi dapat diselesaikan setakat ini. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan membuat kenyataan bahawa ibu bapa patut dipersalah sepenuhnya dalam setiap kes kehilangan kanak-kanak dan remaja yang melarikan diri dari rumah kerana tugas menjaga anak-anak bukannya terletak di bahu polis tetapi merupakan tanggungjawab hakiki yang perlu dilaksanakan oleh setiap ibu bapa.
Statistik Orang Hilang /Jumpa Seluruh Negara yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menunjukkan sebanyak 759 kes kanak-kanak dan remaja hilang dilaporkan dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 34 kes membabitkan kanak-kanak berusia sembilan tahun ke bawah, 66 kes (10-13 tahun) dan 659 kes membabitkan remaja berusia 14 hingga 17 tahun.
Statistik itu juga menunjukkan remaja perempuan Melayu paling ramai dilaporkan hilang iaitu 497 orang diikuti remaja lelaki Melayu sebanyak 119 orang. Golongan ini adalah tenaga muda yang seharusnya berada di bangku sekolah, diberikan pendidikan sebaik mungkin, dididik menjadi modal insan berguna.
Statistik juga menunjukkan pada tahun lepas, sebanyak 1,485 kes kanak-kanak hilang dilaporkan dengan 900 kanak-kanak berjaya ditemui semula manakala pada tahun 2005, sebanyak 1,803 kes dilaporkan dan 1,254 daripadanya ditemui semula. Pada tahun 2004, terdapat sebanyak 2,405 kes dilaporkan. Sejumlah 1,752 kes kanak-kanak ditemui semula dan sebanyak 653 kes belum dapat dikesan.
Usaha menjejaki mereka yang dilaporkan hilang juga tidak boleh bergantung kepada polis semata-mata sebaliknya semua anggota masyarakat perlu memberi kerjasama.
Sepanjang 2006 juga, jumlah kanak-kanak hilang yang dilaporkan ialah 1,485 dan 900 berjaya ditemui kembali. Bagaimanakah nasib anak yang tidak diketahui nasibnya itu? Anak adalah kurniaan Allah yang sangat besar bagi setiap pasangan. Sifat kanak-kanak adalah rapuh, senang percayakan orang, tidak boleh mengurus dan menyelamatkan diri apabila berdepan dengan bahaya.
Mereka perlu dilindungi daripada segala bentuk kekerasan, penderaan dan keganasan. Kanak-kanak hari ini adalah modal insan negara masa depan. Masyarakat perlu memainkan peranan, bersikap lebih prihatin, mengambil tahu dan sama-sama menolong menjaga kanak-kanak walaupun mereka bukan anak atau keluarga kita.
Mengikut Seksyen 33 Akta Kanak-kanak ibu bapa atau penjaga boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun kerana membiarkan anak-anak mereka tanpa pengawasan berpatutan.
Tapi sejauh manakah kita menguatkuasakan akta yang ada setakat ini? Puteri di sini mendesak supaya perkara ini diberi perhatian dan tindakan sewajarnya harus diambil terhadap ibu bapa yang cuai kerana keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa sepenuhnya. Walau bagaimanapun, masyarakat secara keseluruhan perlu sama-sama memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing.
Di sini, Puteri juga mencadangkan supaya kita mempraktikan undang-undang lebih tegas dalam menangani kes jenayah seks terhadap kanak-kanak. Hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap pesalah terbabit.
Pada masa sama kita juga boleh mencontohi negara barat seperti New Zealand yang mana ibu bapa yang membiarkan anak-anak berusia bawah 12 tahun berjalan berseorangan boleh dikenakan hukuman.
Ibu bapa juga harus memberikan pendidikan agama secukupnya kepada anak-anak sejak kecil dan selalu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan; mengingatkan akan-anak supaya tidak mudah terpedaya dan mengikut orang yang tidak dikenali; menetapkan mengenai apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh anak dan tanamkan sikap sentiasa ambil tahu pergerakan anak-anak serta sentiasa memastikan anak bawah umur tidak keluar berseorangan diri dan harus ditemani setiap masa.
Tidak dinafikan, selain masalah sakit jiwa, mereka yang terbabit dalam keganasan seksual terhadap kanak-kanak ini juga terpengaruh dengan pengedaran bahan lucah secara berleluasa.
Puteri mendesak supaya usaha membanteras bahan lucah di pasaran diperhebatkan. Pengedaran buku, novel dan majalah berunsur seks, lucah, porno dan sadis serta cakera padat (CD) lucah harus dibanteras sehingga ke akar umbi.
Kita kesal kerana selain di pasaran terbuka bahan bacaan berunsur lucah yang mendatangkan keburukan dan boleh merosakkan minda generasi muda ini dikatakan turut dijual di pasaran tertutup.
Bayangkanlah remaja kita terdedah dengan bahan bacaan lucah yang bukan saja mudah didapati, malah dijual pada harga murah. Ia akan memberi kesan negatif kepada pembinaan akhlak dan jati diri, sekaligus menimbulkan keresahan masyarakat, terutama ibu bapa mengenai pemikiran anak mereka yang dicemari bahan bacaan tidak berfaedah.
Justeru, kanak- kanak dalam lingkungan umur remaja seharusnya diberi perhatian serius kerana mereka mempunyai dorongan yang kuat untuk meniru orang lain. Masa bersama keluarga agak kurang dan pengaruh rakan sebaya lebih kuat. Mereka sering terikut dengan rentak peredaran zaman.
Media massa, termasuk televisyen, akhbar, majalah dan buku bersifat hiburan dan lucah sering dijadikan bahan tontonan atau bacaan yang akhirnya mempengaruhi jiwa dan pemikiran, malah keseluruhan cara hidup mereka.
Pada peringkat inilah, pemantauan ibu bapa, sekolah, masyarakat dan orang perseorangan amat perlu bagi membanteras gejala sosial yang boleh mempengaruhi jiwa remaja.
Program Rakan Remaja dan pelbagai kegiatan berfaedah yang membabitkan golongan muda, harus dipertingkatkan bagi faedah golongan sasaran, sekali gus mengelakkan mereka daripada terjebak dalam masalah sosial.
Kita juga kena ingat, usaha ke arah melahirkan sebuah masyarakat berilmu, cemerlang, gemilang dan terbilang tidak akan tercapai sekiranya pola pembacaan di kalangan masyarakat masih bertumpu kepada bahan picisan dan murahan seperti ini. Ia langsung tidak membantu perkembangan intelektual remaja dan pelajar kita.
Bagi menangani permasalahan ini kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu memainkan fungsi lebih aktif bagi membanteras pengedaran bahan sebegini hingga ke akar umbi. Pemilik dan penerbit majalah yang tidak mempunyai permit, nama pencetak dan beroperasi tanpa lesen, harus dikenakan tindakan setegas mungkin.
Kerajaan juga perlu lebih tegas dan konsisten dalam menyaring buku dan majalah sebelum diedarkan di pasaran. Bagi yang di luar pengetahuan kerajaan dan pihak berkuasa, angkara perbuatan pengedar gelap atau pengedar haram pula, tanggungjawab terpikul di bahu seluruh anggota masyarakat untuk sama-sama memainkan peranan, kena ambil tahu, buat aduan segera, supaya tindakan dapat diambil.
Dalam pada itu, kualiti kehidupan dan kemudahan seperti buku dan perpustakaan di luar bandar perlu ditambah. Puteri juga kesal kerana masih ada kawasan luar bandar di negara ini yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam.
Justeru kita mencadangkan supaya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Perpustakaan Negara dapat menganjurkan program dan aktiviti bersepadu yang melibatkan penyertaan ibu bapa dan anak-anak.
PENYALAHGUNAAN ICT/BLOG
Kita akui perkembangan bidang teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) memberi kebebasan kepada sesiapa saja untuk berkomunikasi menerusi internet. Apa saja bahan tulisan, gambar atau rakaman video, boleh dimuat untuk disiarkan dalam laman web atau blog.
Apa yang membimbangkan kita ialah penyalahgunaan kebebasan tanpa dibendung membawa implikasi negatif kepada kebebasan beragama, kestabilan politik dan perpaduan kaum. Atas nama kebebasan, sesetengah laman web membenarkan fitnah, pembohongan, maki hamun, penggunaan kata-kata kesat, keji dan bersifat perkauman disiarkan tanpa mengambil kira kesannya kepada pembaca atau pihak yang terbabit.
Puteri kecewa kerana penyalahgunaan ICT dan laman blog yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga berani menghina dan menghasut rakyat untuk menentang pemimpin negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, selain menghina agama rasmi negara ini, iaitu agama Islam.
Puteri menyarankan supaya pelbagai akta berkaitan seperti Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Rahsia Rasmi serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dikuatkuasakan sepenuhnya. Tindakan pengendali laman blog yang boleh mencetuskan ketegangan di kalangan kaum dan agama.
Kita juga ada Akta Fitnah 1975 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Media 1998, yang bertujuan mengawal untuk kebaikan jangka panjang pengguna komunikasi dan media bagi memastikan keselamatan maklumat dan rangkaian boleh dipercayai serta berintegriti. Beberapa peruntukan dalam akta berkenaan juga menjadi asas kepada pemantauan blog yang menyalahi etika penulisan. Sudah tiba masanya langkah penguatkuasaan lebih tegas dilaksanakan.
Kita juga kesal dengan tindakan laman blog yang membangkitkan isu rasuah membabitkan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR), kerana ia mampu menjatuhkan keyakinan masyarakat terhadap agensi penguatkuasa undang-undang negara. Ia juga mampu menjejaskan kemasukan pelabur asing ke Malaysia kerana ia bukan saja menimbulkan kerisauan terhadap isu rasuah, malah menyebabkan mereka bimbang terhadap keselamatan di sini.
Sepatutnya, evolusi ICT yang berlaku di negara ini akhirnya untuk mendidik masyarakat kita terutama generasi muda dan merapatkan jurang digital.
Apa yang merisaukan kita, ramai anak muda kita sekarang suka duduk di depan skrin komputer melayari internet, sehingga skrin komputer menjadi dunia hakiki mereka untuk mendapatkan maklumat tanpa mengira kesahihan maklumat diterima.
Jika kita tidak tangani masalah ini pada hari ini, pembentukan minda anak muda kita akan terus terpesong kerana terlalu bergantung kepada sumber maklumat tidak tepat.
Satu lagi masalah budaya masyarakat kita sendiri ialah terlalu mudah terpengaruh dengan maklumat diterima tanpa mengira ia fitnah atau hakiki, mereka lebih cepat terpengaruh dengan benda yang buruk dan perkara
dianggap sensasi.
Internet dan alam siber sebenarnya boleh diibaratkan sama dengan dadah. Dadah jika digunakan sebagai ubat adalah untuk kebaikan, tetapi jika disalahgunakan akan merosakkan diri. Begitu juga internet, jika digunakan untuk kebaikan, bagi menimba pengetahuan, maka ia akan memanfaatkan, tetapi jika sebaliknya, ia boleh merosakkan.
Justeru, suka Puteri menyarankan supaya diwujudkan garis panduan lebih jelas mengenai apa yang boleh dan tidak boleh disiarkan menerusi laman web serta laman blog dengan satu peraturan ditetapkan mengenai tindakan tegas yang boleh diambil jika melanggar peraturan berkenaan.
Polisi tidak akan efektif seandainya penggubal gagal memberi kefahaman kepada pengguna akhir atau 'end user' mengenai perkara disyaratkan. Berdasarkan beberapa kes serta bimbang kejadian sama berulang, maka sudah sampai masanya kita merangka undang-undang khas bagi menangani isu berkenaan.
Kita kena ingat dan sedar bahawa sejauh manapun kebebasan dunia maya, setiap penggunanya perlulah bertanggungjawab dan patuh pada etika kesusilaan. Kita harus bertanggungjawab terhadap apa saja maklumat yang kita ingin kongsi bersama dengan khalayak. Memang sukar menentukan dan mengawal etika dan susila seseorang, tetapi di sinilah letaknya kredibiliti dan nilai akal individu itu.
Medium yang seharusnya digunakan untuk menyebarkan maklumat berguna kepada khalayak ramai ini, tidak seharusnya disalahgunakan oleh segelintir pengendali blog tidak bertanggungjawab, untuk kepentingan peribadi dengan menyebarkan maklumat tidak betul, berunsur fitnah, berbaur hasutan dan provokasi ke arah negatif.
Kita mendokong kebebasan bersuara, tetapi ia bukannya kebebasan membabi buta sehingga sesiapa saja boleh mengatakan apa saja termasuk memfitnah. Adalah wajar jika blog digunakan untuk berkongsi maklumat berguna dan dijadikan medium yang boleh mewujudkan persefahaman antara satu sama lain.
Tidak salah untuk menyuarakan pendapat, tetapi biarlah kena dengan caranya. Apa yang penting, isu yang dibincangkan di blog seharusnya tidak melampaui batas atau menyentuh sensitiviti perkauman, kepercayaan, keperibadian atau perkara yang boleh mengundang pertelingkahan dan hasutan.
Di sini, Puteri mendesak supaya tindakan tegas dikenakan terhadap pengendali laman web dan blog tidak bertanggungjawab. Jika berpegang atas dasar kebebasan atau kemanusiaan menyebabkan tindakan penguatkuasaan tidak dilaksanakan segera, tentunya ia akan menjejaskan generasi muda yang majoritinya melayari laman web dan forum blog.
Biar sejauh manapun kebebasan dunia maya, setiap penggunanya perlulah bertanggungjawab dan patuh pada etika kesusilaan.
Harus diingat, jika tidak dipantau sebaik mungkin ia akan menyebabkan mentaliti generasi sekarang dan akan datang dipengaruhi unsur negatif. Seharusnya kita tidak terbawa-bawa dengan keterbukaan dan dunia tanpa sempadan hingga melupakan nilai murni yang sepatutnya disemai dalam diri anak muda kita.
Kecanggihan teknologi harus dimanfaatkan sebaik mungkin. Kita lihat sahaja Cuba, 50 tahun tersisih tapi akhirnya berjaya mengeluarkan bahan perubatan terbaik, perkhidmatan kesihatan terbaik dan penyelidikan perubatan yang terbaik. Kena ada system kawalan dan pemantauan. Kita juga boleh tengok di Singapura, mereka mengawal dengan melarang anak-anak melepak di pusat beli-belah pada waktu malam.
ISU PENYALAHGUNAAN SMS/MMS
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Pengguna telefon bimbit di negara ini menghantar lebih 11.7 bilion khidmat pesanan ringkas (SMS) sepanjang Januari hingga Mac lalu, meningkat 4.3 bilion berbanding 7.4 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), dalam laporan Fakta dan Angka Terpilih bagi suku pertama 2007 menyebut angka itu hampir separuh daripada keseluruhan 33.2 bilion SMS yang dihantar pemilik telefon bimbit di negara ini tahun lalu.
Berdasarkan angka pemilik telefon bimbit yang kini berjumlah lebih 20.8 juta, purata setiap pengguna menghantar 563 SMS sepanjang tempoh Januari hingga Mac lalu, meningkat 201 berbanding purata pada tempoh sama 2006.
Berdasarkan perangkaan 2005, Malaysia adalah negara yang mempunyai jumlah pengguna telefon mudah alih kedua tertinggi di ASEAN, iaitu 74.1 bagi setiap 100 penduduk, mengatasi Brunei (56.3), Filipina (39.5), Thailand (26.1), Indonesia (21.1), Laos (10.8), Vietnam (10.7), Kemboja (7.6) dan Myanmar (0.3).
Singapura mempunyai jumlah pengguna telefon bimbit tertinggi di Asean bagi setiap 100 penduduk iaitu 101.4. Ini bermakna hampir semua rakyatnya mempunyai alat telekomunikasi itu dan ada yang memiliki lebih daripada satu.
Kadar pemilikan telefon bimbit di Malaysia adalah lebih tinggi berbanding negara maju seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang masing-masing hanya mencatat 74 dan 67.6 bagi setiap 100 penduduk. Hong Kong mencatat jumlah pemilikan telefon bimbit tertinggi bagi setiap 100 penduduk iaitu 122.6, diikuti United Kingdom (102.2), Taiwan (97), Australia (91.4), Korea Selatan (71.4), manakala China (29.9).
Adalah amat jelas, ketika ramai rakyat mengeluh mengenai kenaikan harga barang dan kos sara hidup, mereka masih mampu berbelanja besar untuk membeli telefon bimbit dan membayar caj SMS. Secara purata, seorang pengguna telefon bimbit menghantar lebih empat SMS sehari dan jika dihitung jumlah keseluruhan pengguna telefon bimbit di negara ini, lebih 80 juta SMS dihantar sehari.
Lebih perit kebanyakan rancangan di televisyen sekarang menggalakkan penggunaan SMS menerusi program mereka. Malah program untuk kanak-kanak pun mengajak penonton menghantar SMS.
Akibatnya ada ibu bapa terkejut apabila menerima bil telefon bimbit hujung bulan, bayaran sms sahaja mencecah bukan sahaja ratusan, malah ribuan ringgit.
Puteri mendesak supaya perlu diwujudkan garis panduan lebih ketat untuk memastikan stesen televisyen tidak sewenang-wenangnya memperkenalkan program yang mengajak penonton menghantar sms terutama bagi program kanak-kanak. Kita jua harus mewujudkan garis panduan bagi memastikan SMS tidak sewenang-wenangnya disalahgunakan.
Kita tidak mahu jika anak-anak kita dari awal terdedah dengan unsur negatif seperti ini , duapuluh tahun akan datang, apabila mereka membesar, mereka akan berani untuk ‘explore’ lebih dari itu. Malah sms dan mms juga disalahgunakan untuk penghantaran bahan dan gambar lucah.
ISU PEKERJA ASING
Masalah kebanjiran pekerja asing di negara ini bukan perkara baru, namun kebelakangan ini ia semakin hangat diperkatakan. Sehingga 30 September lalu, dianggarkan lebih 2.2 juta pekerja asing berada di negara ini dan daripada jumlah itu dianggarkan 500,000 masuk secara haram.
Baru-baru ini pula, hampir 50,000 rakyat asing didapati melanggar peraturan pemberian kemudahan visa sejurus tiba (VOA) yang diperkenalkan September tahun lalu, apabila tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan untuk mencari peluang pekerjaan.
.
Baru-baru ini juga, hampir 50,000 rakyat asing didapati melanggar peraturan pemberian kemudahan visa sejurus tiba (VOA) yang diperkenalkan September tahun lalu, apabila tinggal di negara ini melebihi tempoh dibenarkan untuk mencari peluang pekerjaan.
Daripada jumlah itu, warga Indonesia mencatat bilangan tertinggi dengan 57.5 peratus, Nepal (11 peratus), Bangladesh (8.8 peratus), India (tujuh peratus) dan lain-lain (15.7 peratus).
Dari segi sektor pekerjaan pula, 35.9 peratus bekerja di sektor perkilangan, perladangan (17 peratus), pembantu rumah (15.8 peratus), pembinaan (14 peratus), perkhidmatan (9.5 peratus) dan pertanian (7.7 peratus).
Angka itu merumuskan pekerja asing dalam pelbagai sektor di negara ini kini lebih ramai daripada masyarakat India, iaitu kaum ketiga terbesar di Malaysia. Di dalam isu kebanjiran pekerja asing ini, ramai juga di kalangan mereka yang menjadi mangsa majikan dan teraniaya.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan isu lambakan 3,000 pekerja asing warga Bangladesh yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) September lalu, ia berpunca daripada sikap ejen dan majikan yang mengambil mudah peraturan Imigresen.
Pada 4 Oktober lalu, kerajaan mengambil tindakan drastik membekukan pengambilan pekerja asing Bangladesh berikutan terlalu banyak masalah, termasuk gejala sosial dan manipulasi ejen negara itu membabitkan wang berbilion ringgit. Pada masa ini, dianggarkan 300,000 pekerja Bangladesh berada di negara ini.
Kehadiran pekerja asing menyebabkan rakyat Malaysia kehilangan peluang pekerjaan di bumi sendiri. Sebabnya majikan suka mengambil pekerja asing sama ada yang datang secara sah atau sebaliknya kerana upah lebih rendah, selain kesanggupan bekerja bagi suatu jangka masa panjang, kesanggupan kerja di persekitaran kurang selesa.
Di sini Puteri mencadangkan supaya kajian terperinci dibuat bagi mengupas punca sebenar permasalahan ini dan jika perlu syarat-syarat pekerjaan bagi sektor yang membabitkan banyak pengambilan tenaga kerja asing hendaklah dikaji semula.
Syarat pekerjaan seperti upah, persekitaran tempat kerja ‘lebih selamat, faedah sampingan dan sebagainya perlu dikaji dan disesuaikan supaya rakyat tempatan terutama anak muda boleh mengisi kekosongan dalam pelbagai sektor sokongan ini.
Puteri berpendapat kemasukan pekerja asing tidak mahir ke Malaysia bukan lagi perkara yang boleh dipandang remeh. Kebergantungan kepada tenaga asing tidak mahir dan aturan ekonomi berasaskan sumber manusia tidak bermutu akan menjejaskan nilai ekonomi itu sendiri. Kebergantungan kepada pekerja asing tidak mahir akan memberi beban kepada pasaran kerana kurang keupayaan bersaing ekonomi Malaysia.
Negara berasaskan buruh seperti China dan India mempunyai ramai penduduk menyebabkan tumpuan guna tenaga cenderung kepada asas buruh kerana secara dasarnya penawaran tenaga buruh dari dalam negara sendiri ini murah.
Jika pergantungan kepada buruh tidak mahir dikekalkan, perkembangan teknologi akan terbantut, permintaan kepada mesin dan jentera tidak berkembang. Selain itu, usaha penyelidikan dan pembangunan tidak akan
mendapat tempat kerana tiada kepentingannya.
Puteri ingin mendesak supaya tindakan drastik diambil bagi mengurangkan pengambilan pekerja asing ke Negara.
MAHU SUARA ORANG MUDA LEBIH DIDENGARI.
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Setiap orang berhak menyuarakan pendapat dan memperoleh hak bersuara tanpa mengira usia, latar belakang dan pendidikan. Bagaimana pun, suara generasi muda pada hari ini masih kurang didengari berbanding golongan dewasa disikapkan pandangan yang skeptikal.
Keadaan ini juga boleh mewujudkan tanggapan negatif kepada masyarakat mengenai kemampuan diri golongan muda untuk bersuara sedangkan mereka jarang memperoleh hak sewajarnya. Hakikatnya golongan muda juga matang mengendalikan sesuatu isu dan mereka boleh melontarkan pendapat yang juga bernas. Cara berfikir juga mungkin lebih baik daripada orang dewasa.
Puteri mendesak supaya suara generasi muda lebih didengari dalam apa jua aspek. Keupayaan dan potensi generasi muda tidak harus ‘dibunuh’ atau ‘dicantas’. Puteri menuntut lebih banyak ruang dan peluang harus diberikan kepada generasi muda dari awal kerana merekalah yang bakal menjadi pemimpin pelapis di masa depan. Berilah generasi muda ini kepercayaan agar kita mampu belajar seterusnya memacu kejayaan negara.
EKONOMI
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Belanjawan 2008 yang bertemakan 'Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran' mencerminkan hasrat kerajaan untuk memastikan kejayaan Negara terus berkembang dan dinikmati oleh semua rakyat menerusi tiga strategi utama – meningkatkan daya saing Negara, memperkasa pembangunan modal insan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Belanjawan tahun depan juga begitu menekankan pengukuhan perpaduan yang cuba digembleng melalui beberapa usaha nasional merangkumi pembangunan koridor ekonomi, pembangunan pendidikan, pembangunan yang seimbang antara Bandar dan luar Bandar, pembangunan usahawan, kebajikan dan kesihatan.
Begitu juga usaha meningkatkan taraf hidup Bumiputera turut ditekankan. Sebagai penduduk majority di Negara ini, usaha membela nasib Bumiputera dianggap sebagai misi nasional dan bukannya rasisme atau hanya menguntungkan satu-satu pihak kerana jika sesebuah masyarakat majority ketinggalan dari segi taraf hidupnya besar kemungkinan banyak pertikaian akan wujud.
Pembangunan seimbang antara kawasan Bandar dan luar Bandar merupakan agenda penting kerajaan bagi memastikan pembangunan tersebar luas.
Usaha kerajaan membangunkan Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur seterusnya Koridor Sabah dan Koridor Sarawak sudah pasti akan dapat memacu ekonomi Bumiputera kerana kebanyakan mereka tinggal di kawasan koridor ekonomi berkenaan.
Puteri juga mendesak supaya usahawan muda wanita turut diberi peluang untuk turut serta dalam projek-projek dalam koridor ekonomi yang sedang dan akan dibangunkan kerajaan.
Dalam konteks kawalan defisit, kerajaan memberikan tumpuan kepada projek yang dapat membasmi kemiskinan. Tumpuan ini dapat mengurangkan jurang antara rakyat yang terlalu miskin dengan yang terlalu kaya. Usaha ini sekurang-kurangnya dapat mengharmonikan keadaan.
Peruntukan besar juga diberikan kepada sektor pendidikan, pembinaan kemudahan bekalan elektrik dan air serta jalan raya, yang turut menjurus ke arah meningkatkan taraf hidup rakyat dan menghapuskan sama sekali kemisinan tegar di Negara ini menjelang 2010.
Sambil menyambut baik Bajet 2008, Puteri juga menyarankan supaya system pemantauan untuk mengukur kemajuan dan matlamat diwujudkan supaya setiap cadangan dalam belanjawan tahun depan bukan sekadar retorik semata-mata.
KEJAYAAN NEGARA
Pergerakan Puteri UMNO juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada Dr Sheikh Muzaphar Shukor, angkasawan pertama negara yang telah berjaya memikul misi ulung Malaysia ke Stesen Angkasan Antarabanga (ISS). Kejayaan beliau melakar satu lagi sejarah negara yang kini setanding negara maju yang lain.
Kejayaan beliau membuat uji kaji saintifik dengan jayanya di ISS bukan sahaja membanggakan kita sebagai warga Malaysia, malah Negara-negara lain di dunia turut memuji kemampuannya. Kejayaan angkasawan pertama Negara kita adalah hadiah paling berharga kepada sambutan jubli emas kemerdekaan Negara.
Tahniah juga diucapkan kepada Dr Faiz Khalid yang akan menerusi misi angkasawan seterusnya.
Puteri menyokong supaya program angkasawan negara diteruskan dan kita harapkan agar angkawasan ketiga yang akan mengharumkan nama negara adalah daripada kalangan wanita muda yang terpilih.
POLITIK
Perwakilan Yang Dihormati Sekalian,
Puteri percaya ilham penubuhan sayap ini telah membawa manfaat yang besar khususnya dalam meraih sokongan golongan wanita muda kepada parti.
Jesteru, kami melihat bahawa kesinambungan daripada itu, penubuhan sayap puteri dalam setiap parti komponen BN amat penting bagi melahirkan barisan jentera wanita muda yang mantap yang terdiri daripada wanita muda pelbagai bangsa dan agama. Penubuhan yang akan diterajui oleh Puteri UMNO ini adalah untuk memastikan kepentingan semua golongan wanita muda dapat sama-sama diperjuangkan agar golongan ini tidak terpinggir dalam memberikan sumbangan dan khidmat bakti kepada bangsa dan negara. Ianya juga akan memudahkan gerak kerja bersepadu dijalankan, sekaligus memperkukuhkan perjuangan generasi muda wanita dalam BN.
Di samping itu, Puteri juga ingin mencadangkan keahlian baru wanita muda berusia dibawah 35 tahun ditawarkan secara automatik menganggotai pergerakan ini. Hal demikian bertujuan bagi memudahkan pendaftaran keahlian baru, sekaligus meningkatkan jumlah wanita muda didalam UMNO. Setidak-tidaknya, parti akan memiliki lebih ramai pelapis serta barisan yang mampu meneruskan matlamat perjuangan.
Pilihan raya umum yang ke-12 juga semakin hampir. Bagi Puteri, kita telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa sahaja. Konsistensi dan keupayaan bekerja kuat inilah yang menjadi tunjang kita selama telah menghadapi pilihanraya sebelum ini.
Tugas utama terhadap hal berkaitan teknologi komunikasi dan maklumat akan terus menjadi tanggungjawab kita dalam menggempur medan pilihanraya. Kita juga tidak akan berputus asa meraih sokongan pengundi sekalipun terpaksa memanjat flat di bandaraya, berjalan di taman perumahan, menyusur kesibukan kota. Bahkan, jika perlu kita berdayung sehingga ke hulu sungai, mendaki ke puncak gunung, meredah semak dan belantara, Puteri tidak akan berhenti. Ini janji kita!
Berasaskan semangat ini, kepimpinan Puteri telah mengerahkan seluruh jentera Puteri di semua peringkat untuk memastikan kemenangan calon-calon Barisan Nasional (BN) di semua kawasan dengan majoriti lebih tinggi berbanding pilihan raya umum yang lalu.
Kepada semua ahli-ahli Puteri pula, marilah sama-sama kita melipatgandakan usaha yang sedia ada untuk terus memenangi hati pengundi. Insya-Allah Kelantanpun akan kita tawan dalam pilihan raya yang akan datang.
Tunjukkanlah kesungguhan kita. Ingatlah bahawa parti yang kita warisi adalah harta pusaka paling bernilai yang harus kita jaga supaya bangsa kita terus berkuasa.
Kepada ahli-ahli Puteri yang akan meninggalkan pergerakan ini kerana faktor usia, teruskan perjuangan dalam Wanita UMNO. Teruskanlah semangat yang ada didalam wanita.
Akhirkata, marilah kita menjadikan perhimpunan agung kali ini sebagai satu wardah untuk menyemarakkan lagi semangat perpaduan di kalangan kita.
Ingatlah bahawa Perhimpunan Agung UMNO membawa harapan bangsa. Ia pentas memperkukuhkan lagi perpaduan, meluahkan perasaan, memberi ingatan, mengemukakan cadangan dan merumus tindakan. Jadi kita manfaatkan ia sebaik mungkin dengan membincangkan isu yang benar-benar relevan dengan kepentingan anak bangsa kita.
Ingatlah bahawa Puteri adalah "Penggerak Ke Arah Membina Generasi Muda Terbilang".
Sama-samalah kita memastikan bahawa kedudukan dan jawatan yang Allah pinjamkan kepada kita tidak disalahgunakan, Insya-Allah.
Dengan doa supaya Puteri terus berwibawa dalam memikul perjuangan parti, saya akhiri dengan Wabilahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Copyright © by Portal Puteri UMNO All Right Reserved.
No comments:
Post a Comment