Penubuhan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah
(ESSCOM) membabitkan lima daerah di pantai timur Sabah dan ia terdiri daripada
Sandakan, Tawau, Kunak, Kudah dan Lahad Datu. Dengan penubuhan ESSCOM ini akan
membabitkan penyelarasan kerjasama antara tiga komponen, iaitu penduduk
setempat, pasukan tentera dan pihak polis bagi membanteras ancaman pengganas.
Jika diperhalusi ESSCOM bukanlah sesuatu yang asing bagi
Malaysia kerana ketika Sarawak berhadapan dengan ancaman komunis pada tahun
1970-an, Kawasan Keselamatan Rajang (RASCOM) secara khusus diujudkan untuk
berhadapan dengan ancaman tersebut.
Sudah pasti ada yang mempersoalkan mengapa baru kini
kerajaan menubuhkan ESSCOM sedangkan ancaman keselamatan memang sudah lama ujud
seperti beberapa siri penculikan yang didalangi oleh kumpulan pengganas dari
selatan Filipina.
Perlu ditekankan bahawa selama ini sememangnya ujud
beberapa struktur keselamatan khas khusus untuk menangani isu keselamatan Sabah
yang dianggap begitu mencabar dan unik. Mencabar kerana perairan terbuka
sepanjang 1,400 kilometer begitu sukar untuk diawasi dan unik kerana komposisi
penduduk Sabah yang mempunyai sejarah asal usul begitu menarik.
Operasi Padanan & Sipadan Island Resort atau lebih
dikenali dengan nama singkatan Ops Pasir adalah salah satu struktur keselamatan
yang diujudkan untuk berhadapan dengan ancaman khusus iaitu penculikan
pelancong terutama sekali di pulau terpencil. Ops Pasir mula diperkenalkan pada
tahun 2000 dan diuruskan oleh Markas Angkatan Bersama, Angkatan Tentera
Malaysia (MAB-ATM).
Begitu juga dengan organisasi keselamatan lain seperti
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan
Jabatan Imigresen mempunyai peranan tertentu demi menjamin keselamatan perairan
Sabah.
ESSCOM ditubuhkan bukan kerana fungsi ATM, PDRM, APMM
dan Imigresen tidak efektif atau untuk mengambil alih tugas tetapi sebenarnya
untuk memantapkan lagi semua operasi yang dilaksanakan oleh entiti organisasi
tersebut.
Selama ini setiap aktiviti organisasi tersebut
melaksanakan tugas masing-masing secara berasingan kerana setiap entiti
tersebut mempunyai arahan pusat (central command) yang berbeza. Timbul beberapa
kekangan terutama sekali dari segi kepantasan berkongsi maklumat risikan kerana
masing-masing mempunyai strategi dan kepentingan yang berlainan di antara satu
sama lain.
Betapa pentingnya penyelarasan arahan pusat
diserlahkan lagi apabila Ops Pasir ATM dikendalikan oleh MAB kerana untuk
menyelaraskan tugas antara tiga cabang perkhidmatan utama mereka iaitu tentera
darat, laut dan udara.
Amerika Syarikat (AS) umpamanya telah belajar dari
kesilapan kerana tidak mempunyai penyelarasan perkongsian maklumat risikan di
antara Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan Agensi Penyiasatan Pusat (CIA) yang
mengakibatkan kegagalan mengesan plot serangan pengganas yang berlaku pada 11
September 2001.
Kini mereka menubuhkan satu entiti khas yang dipanggil
Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (Homeland Security) sebagai asas penyelarasan
semua aktiviti keselamatan AS.
Dengan adanya entiti Homeland Security dengan diketuai
oleh Setiausaha yang lebih popular dikenali sebagai Czar keselamatan, semua
aktiviti umpamanya oleh FBI dan CIA dapat diselaraskan. Konsep ini bukan
sesuatu yang asing dan ESSCOM juga mempunyai maksud yang serupa.
Sehubungan itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri
Hishammuddin Hussein berkata, satu mesyuarat diadakan semalam bagi merangka
strategi bagaimana mahu membabitkan orang ramai, terutama masyarakat setempat
dalam ESSCOM.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) berpendapat benteng
pertahanan pertama mestilah masyarakat setempat, sebab itulah anggota RELA,
Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK) serta Ketua Kampung digerakkan untuk usaha ini.
“Mereka ini boleh menjadi mata dan telinga pasukan
keselamatan negara selain berperanan membendung penyebaran khabar angin, sekali
gus memberi keyakinan kepada rakyat Sabah bahawa negeri itu selamat.
“Kita dah kenal pasti beberapa kawasan bagi penubuhan
ESSCOM. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, akan membuat pengumuman
mengenainya dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di sini semalam.
Katanya, KDN sudah mengambil perhatian mengenai
keperluan kabin, balai, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) serta
lima batalion yang perlu ditempatkan di kawasan berkenaan.
Penubuhan ESSCOM diumumkan Perdana Menteri 7 Mac lalu,
ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras pengganas di Kampung
Tanduo, Lahat Datu dan kini pada peringkat akhir pelaksanaan.
Dalam pada itu, Hishammuddin juga memaklumkan Ketua
Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman, akan melancarkan unit rondaan bermotor
pasukan polis di Kota Kinabalu hari ini dan di Sandakan pada hari berikutnya
dalam usaha memberi keyakinan kepada penduduk Sabah bahawa negeri itu selamat.
Diharap dengan penubuhan ESSCOM ini tidak akan berlaku
lagi pencerobohan pengganas dan keselamatan perairan Sabah akan lebih terjamin.
No comments:
Post a Comment