Saya suka untuk memulakan ucapan ini, dengan memetik
kembali bait-bait terakhir ucapan dasar saya pada Perhimpunan Agung yang lalu.
Semalam adalah perjuangan nenek moyang kita, hari ini perjuangan kita dan esok
ialah perjuangan cucu cicit kita. Dengan wadah perjuangan yang kita ada,
suburkanlah wasilah keikhlasan dan terokailah hikmah kebijaksanaan.
Kita sudah memahami wadah, wasilah dan hikmah yang
kita miliki. Hari ini sudah tiba detik dan masanya, untuk kita sama-sama
meneroka tentang apa itu JUANG dan
setiap jalur makna yang terangkum di dalam rohnya.
Angka 28. Tahukah anda Surah ke 28, adalah Surah
Al-Qasas menceritakan peristiwa lahirnya Nabi Musa a.s sehingga baginda
menentang kekejaman Firaun. Ini kisah juang. Pada tanggal 28 Februari, Tun
Mahathir dengan semangatnya menggagaskan Wawasan 2020 ke arah memacu negara
maju. Ini kisah juang. Dan pada tanggal 28 Julai juga saksi apabila berkibarnya
panji UMNO buat pertama kali di angkasaraya. Ini juga kisah juang. Dan hari
ini, 28 November 2012 sebuah lagi kisah juang akan kita lakar bersama.
JUANG,
WANITA DAN POLITIK
Sidang perwakilan sekalian,
Juang.
Roh kalimah ini hidup dalam setiap makhluk Tuhan sebagai sebuah fitrah. Juang
adalah pengembaraan meneruskan survival hidup sehabis daya. Juang adalah
semangat keramat manusia yang sanggup mempertaruhkan nyawa. Juang adalah kelana
di bumi Tuhan mencari makna kehidupan.
Di zaman Nabi Sulaiman a.s, seekor semut di atas
sebuah batu di padang pasir menyedarkan baginda, betapa juang untuk hidup
berlaku di mana-mana, kerana rezeki Tuhan sukar dijangka. Di zaman Nabi Ibrahim
a.s, seekor burung kecil yang cuba memadamkan api membakar baginda, mengajar
satu makna, juang bukan tentang berapa besar kita, tetapi berapa besar usaha
kita. Di belantara, pepohonan yang merebut air dan cahaya mengajar kita, juang
adalah persaingan untuk kekal mandiri, biarpun kekuatan dan kelemahan kita
berbeza.
Manusia dilahirkan untuk berjuang. Dilantik menjadi
khalifah di muka bumi Allah, diberikan semangat untuk bangkit mempertahankan
prinsip, mempertegak hak dan menjunjung maruah. Maka, setiap daripada kita,
baik tua atau muda, lelaki atau wanita semuanya tertakluk kepada fitrah
semulajadi manusia, berjuang untuk meneruskan kehidupan.
Daripada pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan
sehinggalah kepada manusia terakhir di penghabisan zaman, persamaan
tanggungjawab antara manusia adalah perjuangan.Dengan juang kita menggerakkan
idea, dengan juang kita melahirkan kehebatan, dan dengan juang kita menyusun
bata ketamadunan. Kerana itulah Mahatma Gandhi pernah berkata.
Politik dan perjuangan tidak boleh dipisah-pisahkan.
Politik itu perjuangan dan perjuangan itu politik. Di situ akan lahir makna
kesucian dalam berjuang.
Surah Al-Baqarah ayat 30, surah Al-Mulk ayat 14 dan
surah Ali-Imran ayat 59, semuanya bercerita tentang manusia pertama bernama
Adam. Betapa agungnya kaum ini, dimuliakan Tuhan, tidak dicipta kemudian dan
pemberi tulang rusuk keperluan. Namun, menikmati syurga tanpa teman tidak lama,
sedih, sepi, sunyi, diubati dengan kehadiran hawa yang mendampingi dan
menemani. Bersaksikan Tuhan bermaharkan cinta dan janji setia, mereka
dinikahkan. Lengkap sebuah kehidupan dan bahagia berpanjangan. Daripada
pasangan manusia pertama ciptaan Tuhan ini sehinggalah kepada manusia terakhir
di penghabisan zaman, persamaan tanggungjawab antara manusia hanya satu,
perjuangan.
Wanita, bukan sekadar peneman, bukan sekadar
penghilang duka, dan bukan sekadar pelengkap kehidupan. Tetapi wanita merupakan
tunjang kepada perjuangan lelaki.
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
Oleh sebab itu, di sebalik kejayaan Mahatma Gandhi,
ramai yang tidak mengetahui keunggulan wanita bernama Kasturbai Makhanji.
Seorang isteri yang memberi sokongan dan dorongan tidak berbelah bahagi walau
suami dikurung dalam jeriji besi.
Bagi Gandhi jika tidak kerana isterinya maka usaha
memerdekakan bangsa tidak akan pernah berjaya.
Sebab itu di sebalik kegigihan keenam-enam Perdana
Menteri mencorakkan kejayaan negara, jangan dilupa pada wanita-wanita ini.
Bermula dari Toh Puan Sharifah Rodziah, Tun Rahah, Tun
Suhaila, Tun Dr Siti Hasmah, Tun Endon, Tun Jeanne hinggalah Datin Paduka Seri
Rosmah.
Kesemua wanita-wanita ini adalah pembakar semangat
pemimpin-pemimpin nombor satu negara untuk mencipta jaya. Itu kisah wanita.
Politik pula jika diimani maknanya, bukan soal kuasa
dan kedudukan, bukan soal harta dan kekayaan, tetapi politik ialah perlumbaan
prinsip dan pendirian. Pendirian menegakkan hak dan meroboh kebatilan. Kerana
itu bila bicara soal perjuangan, tiada siapa yang terkecuali darinya.
Ada orang yang takut dan gentar berjuang kerana
menganggap juang ini milik orang politik. Itu tidak benar. Ada orang yang
enggan masuk campur dalam perjuangan kerana menganggap pandangan mereka tidak
akan diterima. Itu tidak benar. Ada orang yang menganggap perjuangan hanyalah
semata kerana keuntungan duniawi. Itu tidak benar.
Kerana perjuangan jika diimani roh dan semangatnya
yang sejati, setiap dari kita akan mengerti dan memahami, ini soal
tanggungjawab, survival dan fitrah manusiawi. Dari jutaan manusia di dunia,
tiada seorang pun terkecuali darinya.
Perjuangan ialah tanggungjawab setiap manusia. Sebagai
khalifah di muka bumi Allah.
Sidang perwakilan sekalian,
Jika kita selak lembaran sejarah bagaimana
keterlibatan wanita dalam peperangan dunia memberi erti yang besar dalam
perubahan tamadun manusia. Disebalik kelembutan Maharani Fu Hao memimpin bala
tentera Dinasti Shang dalam satu siri peperangan setelah berperang beratus
tahun telah berjaya menewaskan dan menawan kawasan Yi, Qiang dan Ba, mencipta
sejarah menyatukan rakyat Cina buat pertama kali. Kehebatan wanita Aceh, Cut
Nyak Dhien dan Cut Nyak Meutia menentang Belanda pada hujung kurun ke-20
berjaya menyatukan hati-hati anak bangsa. Bagi mereka had dan berbeza gender
bukanlah satu halangan untuk kehadapan memimpin bala tentera berjuang bukan
untuk mereka tetapi buat rakyat jelata
Tetapi percayalah, juang bukan milik saya seorang.
Juang bukan milik anda seorang.
Ia juga bukan hanya milik pemimpin yang mempunyai
kuasa.
Tetapi juang ialah milik kita semua, ia milik semua
rakyat ia adalah tanggungjawab setiap daripada kita yang masih bernyawa. Inilah
tanggungjawab yang akan ditanya Tuhan selepas kematian.
SEBUAH
KEBANGKITAN
Warna sejarah bangsa sudah banyak mengajar dan
mencorakkan kita. Hitam, kita pernah melalui zaman kegelapan dalam cengkaman
penjajahan. Putih, warna kesucian. Zaman gemilang Melayu menakhoda nama di
pentas dunia. Merah, warna keberanian. Dari jerih payah kita menentang
penjajahan. Dan biru perpaduan. Di asas ini kita bersatu dan membina kemakmuran
dan kebahagian.
Dari kepelbagaian warna inilah, akar bangsa mengakar
pucuk negara menjalar. Dari warna-warni inilah kita mendekati makna juang yang
sebenar. Dan jika diimbau dalam sejarah, sebahagian besar dari warna-warni
dicatan oleh tangan-tangan wanita yang cekal dan kental.
Setelah sekian lama, sejak zaman berzaman WANITA
adalah lambang kesucian, sejak kecil anak-anak Melayu jiwanya ditenun budi
semangatnya disulam maruah. Benar, wanita itu kelembutan. Benar, wanita itu
kesucian. Benar, wanita itu kesopanan. Tetapi yang lebih benar dalam suci,
lembut dan sopan, wanita menggegar menongkah zaman.
Namun siapa sangka, dalam sejarah manusia yang
panjang, ada detik wanita bangkit berjuang. Kita mengenang bijaksana Tun
Fatimah sehingga menjadikan penjajah lebih hina daripada binatang. Kita angkat
kesucian Sumaiyah kerana iman sampai nyawa tergadai. Kita agungkan kehebatan
Khadijah sehingga Islam tersebar serata alam.
Wanita, di ceruk bumi manapun kita dilahirkan, sucinya
kita sehingga menggegar langit dan tanah ciptaan Tuhan.
Ini semua kisah ketokohan sejarah pemimpin wanita di
pentas dunia. UMNO, juga menyimpan sejarah yang hampir sama. 1947, lahirnya
sayap Wanita dalam UMNO. Yang dikenali sebagai Kaum Ibu dan akhirnya menjadi
Wanita UMNO. Kerana kelantangan, keberanian dan terampilnya Wanita UMNO
akhirnya parti ini percaya perlu ada sayap wanita muda. Maka 2001, lahirlah
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia. Kedua-dua sayap wanita ini adalah manifestasi
terbaik perjalanan politik yang cekal.
Hari ini jumlah keahlian Puteri mencecah 395,482.
Dengan jumlah ini, kita punya kekuatan untuk menggerakkan jentera parti. Jumlah
ini juga menjadi petanda betapa Puteri kekal relevan sebagai medium perjuangan
wanita-wanita muda. Malah 365 882 ahli Puteri telah berdaftar sebagai pengundi
dan saya percaya ini mampu memberi sumbangan besar dalam pilihan raya nanti. Di
kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua di atas
kejayaan menganjurkan Himpunan Wanita Muda Negara 2012. Kita berjaya
menghimpunkan lebih 14 000 wanita muda dari pelbagai latar belakang. Ini membawa
petanda betapa wanita muda sudah mula mendekati kita.
Sidang perwakilan sekalian,
Perjuangan mempertahankan kesucian ialah asas sebuah
ketamadunan. Zaman akan terus berubah, manusia akan terus berkembang tetapi
kesucian perjuangan ialah idealisme yang dipegang sampai bila-bila. Kerana itu
yang membezakan UMNO dan parti-parti lain di Malaysia ialah kita tertubuh
kerana prinsip dan asas juang yang jelas pada bangsa.
UMNO bukan tertubuh kerana memenuhi perjuangan
peribadi, bukan tertubuh kerana rasa hasad dan dengki.
Bukan tertubuh sebagai parti yang memendam dendam
meliar. Akhirnya yang rosak dan binasa adalah rakyat dan seluruh rasa percaya
mereka.
Soalan-soalan berkenaan ketidakyakinan manusia
sekeliling masih tetap berkumandang. Tetapi, dengan yakin dan percaya, bangun
dan suarakan kepada mereka, walau jiwa mentah tapi akal dan semangat kita tak
mudah menyerah. Kita katakan kembali warna merah jambu yang dipakai ialah
campuran merah warna pejuang dan putih kesucian diri. Kita asak kepada yang bertanya
bahawa perjuangan ialah milik semua. Kita buktikan dengan usaha yang tidak
pernah putus membantu perjuangan parti. Kita tinggalkan mesej kepada masyarakat
bahawa yang diperjuangkan Puteri ialah sebuah kesucian juang dan kita ialah
bala tenteranya. Dengan baju kurung di badan, kita pelihara kesucian bangsa dan
agama. Telekung dan selendang di kepala, kita angkat maruah dan jati diri
seorang perwirawati. Manis suara dan santun tindak ialah senjata taruhan
Puteri. Kehormatan akal dan jiwa jadi matlamat.
Perjuangan, buat kita semua Puteri-puteri bangsa ialah
kesucian yang nyawa jadi taruhan.
Dalam kebangkitan sebuah juang, tindakan ialah teras
yang menjadi tunjang. Kita boleh punya cita-cita, kita boleh punya angan-angan,
tetapi yang lebih penting kuasa yang ada pada tindakan. Kerana itu dalam wadah
politik baru, suara bukan lagi satu kuasa selagi mana tindakan tidak
membuktikan apa-apa. Tamsilan dari maksud inilah, maka asas perjuangan Puteri
seharusnya bergerak atas tindakan lebih dari sekadar cita-cita dan angan-angan.
Saya suka mengajak anda untuk menghayati satu kisah
perjuang wanita yang tulen yang percaya pada kuasa bertindak. Helen Keller,
adalah seorang pemimpin wanita di Amerika yang buta dan pekak. Dan dalam
survivalnya untuk bercakap beliau akhirnya menjadi pemidato terkemuka di dunia
yang menggerakkan perjuangan hak-hak wanita.
Kalau anda pernah menonton video ucapannya, anda pasti
akan terfikir bagaimana dengan segala kekurangan wanita ini berjuang untuk
mencapai sesuatu di dalam hidupnya.
Dan hari ini kata-katanya telah merangsang dan
mengubah dunia. Satu kata-katanya yang sehingga hari ini telah merangsang
semangat juang dan setia kawan jutaan manusia “working with a friend in the
dark, is better then working alone in the light”.
Sejarah perjuangan wanita muda telah lama bermula.
Mereka telah secara langsung menentang Malayan Union pada 1946 yang mengancam
bangsa dan negara. Walhal, wanita sebelum zaman itu, tidak pernah terlibat
dalam politik, bagi mereka dunia seorang wanita adalah isi rumah, suami dan
anak-anak. Namun, segalanya berubah.
Apabila semangat juang menentang Malayan Union membuka
mata semua.
Aishah Ghani, Ibu Zain dan Khadijah Sidek antara
figura yang menjadi perintis penglibatan wanita muda di jalan politik.
50 tahun yang lalu, nama-nama seperti ini telah
menyerahkan seluruh jiwa dan raga mereka untuk menegakkan perjuangan hak bangsa
dan negara. Ini memberikan kepada kita satu petanda dalam sejarah perjuangan
politik, wanita muda pernah merakam nama.
Hinggalah tanggal 9 April 2001, tertubuhlah Puteri
UMNO sebagai pentas perjuangan terbaik untuk wanita muda menyumbang kudrat dan
idea, memperkasa politik negara.
Pundak kita mungkin lemah kudratnya. Pundak kita
mungkin dianggap remeh. Tetapi di pundak inilah, perjuangan menemukan
rentaknya. Pergerakan Puteri UMNO perlu belajar menjadi pundak yang lebih kuat.
Selama sebelas tahun kita sudah buktikan kemampuan
kita menyokong perjuangan parti. Kita perlu bekerja lebih keras untuk masa
depan parti kerana agama, bangsa dan negara.
Siap siaga hadapi segalanya.
MENEKUNI
REALITI
Sidang perwakilan sekalian,
Politik adalah perkataan yang menjadi halwa telinga di
mana-mana sahaja kaki manusia berdiri. Politik yang berasal daripada kalimah
Greek iaitu ‘politikos’, membawa maksud daripada rakyat, kepada rakyat dan
untuk rakyat. Politik membabitkan persoalan menguruskan kelompok manusia yang
terdedah dengan pengaruh tempat dan masa. Dalam politik, untuk mengikat manusia
yang cenderung berubah ini bagi terus menyokong sebuah aspirasi, hanya
kepercayaan yang menjadi kuncinya.
Hakikatnya, kepercayaan rakyat boleh dibeli, tapi
bagaimana? Kita boleh memilih untuk membeli kepercayaan rakyat dengan wang,
janji atau dengan pengorbanan.
Dengan wang, kepercayaan akan hilang apabila wang
habis dibelanjakan. Dengan janji, kepercayaan akan lunyai apabila janji tidak
tertunai. Namun dengan bakti dan pengorbanan, kepercayaan dalam jiwa rakyat
akan kekal tersemat walau digoncang kuat. Meyakini hakikat ini, Puteri tidak
berpeluk tubuh, berdiam diri dan goyang kaki.
Program berkala tetap telah dilaksanakan meliputi
sekecil-kecil aspek hinggalah yang paling besar. Program Puteri merangkumi
aspek sosial seperti, B2R; Program Banteras Ragut Dan Rogol, Life is Precious;
kempen kesedaran pembuangan bayi hinggalah Program Sinar Kasih; Program yang
memberikan rawatan percuma untuk golongan emas.
Program-program lain termasuklah Projek Puteri
Prihatin, Ziarah Kasih, Program Back To School dan yang terbaru Program Barber
on Wheel.
Berdekad lamanya, UMNO secara umumnya dan Puteri
secara khususnya cekal meredah desa, menjelajah kota, turun ke lapangan rakyat
bagi menabur jasa. Selama 66 tahun, rakyat menganugerahkan kepercayaan untuk
parti keramat ini terus memerintah sebagai balasan setiap nikmat kebajikan,
keamanan dan kemajuan yang mereka nikmati.
Namun malang menimpa bumi bertuah, saat petualang
menggerakkan strategi paling kotor dan busuk, mereka meniupkan roh fitnah dan
memberikannya nyawa untuk menghancurkan bangsa.
Secara diam dan perlahan, fitnah menjadi santapan
harian, membunuh rasa percaya rakyat pada kerajaan.
Adakah mereka lupa firman Allah dalam surah Al-Anfaal,
ayat ke-25. Maksudnya,
“Dan jagalah diri kamu daripada berlaku dosa yang
membawa kepada bencana fitnah yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang
zalim antara kamu secara khusus (bahkan akan menimpa kamu secara umumnya) dan
ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaan-Nya.”
Makna fitnah melangkaui kesaksian palsu seperti yang
lazimnya dihadam oleh masyarakat. Fitnah juga hadir sebagai ujian kemewahan dan
kesenangan. Dalam kalangan kita, apabila diuji dengan harta dan kekayaan,
lihatlah betapa ramai yang tewas hingga tersungkur di medan juang, tidak kurang
juga yang menanti masa dikuburkan sia-sia? Di mana letaknya kita? Tepuk dada,
tanyalah nawaitu perjuangan, tanyalah iltizam tindakan. Kisah Firaun, Haman,
Qorun dan Bal’am seharusnya menyedarkan kita, betapa pangkat dan harta adalah
satu fitnah dalam bentuk ujian kemewahan, yang bisa membunuh pejuang dan membinasakan
perjuangan.
Nabi sendiri pernah memberikan amaran dalam sabdanya,
yang diriwayatkan oleh Al-Tirmidzi.
“Tidaklah 2 ekor serigala yang kelaparan dilepaskan
kepada seekor kambing, lebih merosakkan daripada kerakusan seseorang dalam
mengejar harta dan pangkat merosakkan agamanya,”
Apa yang turut mengerikan, sebenarnya kacau-bilau,
huru-hara, dan ketidaktenteraman yang melanda sarwajagat juga adalah fitnah.
Allah berfirman dalam kitab Al-Quran, Surah An-Nisa’ ayat 83.
“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita
mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau
mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri”
(orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui
oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka;
dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas
kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali
sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara
kamu).”
Sidang perwakilan sekalian,
Tanggal 3 November 2012, ketenangan yang selama ini
berdamping erat dengan jiwa rakyat direntap tiba-tiba.
Seluruh negara tergamam mendengar kenyataan Nurul
Izzah, Naib Presiden PKR yang menyatakan orang Melayu Islam berhak memilih
agama di bawah prinsip kebebasan beragama, di sebuah forum bertajuk, “Islamic
state? Which vision? Whose responsibility”. Beliau menjawab satu soalan dalam
forum itu dengan menyebut,
“there should be no compulsion in any religion
including Islam. How can anyone say (freedom of religion) only apply to the
non-Muslim, it has to be applied equally.”
Pemimpin wanita beragama Islam ini dengan
sewenang-wenangnya memetik ayat Al-Quran daripada surah Al-Baqarah ayat 256
yang berbunyi; Maksudnya;
“Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana
sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu,
sesiapa yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka
sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang
tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. ”
Pemimpin PKR ini jelas terkeliru, ‘asbabunnuzul’ atau
sebab turun ayat ini adalah kerana seorang Ansar, Abu Al-Husain dari keluarga
Bani Salim Ibnu Auf yang bertanya kepada Rasulullah tentang keinginannya
memaksa dua orang anaknya penganut ajaran Nasrani untuk memeluk Islam. Ayat ini
memberi mesej jelas, kita tidak boleh memaksa bukan Islam untuk memeluk agama
suci ini. Tetapi ayat ini tidak sesekali membenarkan dan mengizinkan orang
Islam untuk murtad, keluar dari Islam, menyamaratakan agama ini dengan yang lain
dan sekaligus memperlekehkan kebenaran agamanya
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
Telitilah dengan daya fikir yang paling tajam, sebaran
ideologi pluralisme ini bukan sahaja mengancam aqidah umat Islam, bahkan dengan
sengaja menyanggah dan mencabar Perlembagaan Persekutuan perkara 160(2), yang
meletakkan antara definisi Melayu mestilah seseorang yang beragama Islam. Lebih
menghairankan kita, kenyataan ini juga jelas bertentangan dengan hasrat PAS
untuk melaksanakan hukum hudud. Adakah mereka lupa? Antara bahagian yang
terkandung di bawah hukum hudud adalah hukuman bunuh bagi orang Islam yang
murtad? Inilah akibatnya, apabila seekor kerbau punya tiga gembala. Dua orang
bertelagah, seorang lagi bertepuk tangan, ketawa berdekah-dekah. Ketahuilah, ini
satu alamat dan petanda sebuah malapetaka.
Kerana sudah terlukis di lantai sirah, akibat fitnah,
tamadun dan pemerintahan ternama di dunia menderita taqdir yang hina. Angkara
fitnah Mendeliar dan Kitul, Sultan Mahmud membunuh Bendahara Tun Mutahir dan laksamana
Melaka di zamannya. Angkara fitnah, empayar Moghul yang didirikan Babur pada
tahun 1526 jatuh tersungkur. Angkara fitnah, khalifah Uthman Ibnu Affan
digulingkan, tamadun Islam rebah, punah dan musnah. Angkara fitnah, manusia
berbunuhan tanpa rasa bersalah. Angkara fitnah, sejarah dunia dipalit warna
permusuhan dan darah. Soalnya, inikah yang kita mahu biarkan membarah dalam
kalangan marhaen kita?
Angguklah dan katakan ya pada sebuah hakikat, politik
bersadur fitnah di akhir zaman bukan lagi asing dan ganjil, kerana fitnah
sudahpun lahir seawal zaman Qabil dan Habil.
Mendepani situasi mencabar ini, marilah kita laung dan
zahirkan teori hikmah bersandarkan tiga senjata seperti yang dididik agama.
Pertama ilmu, kedua kebijaksanaan dan ketiga adalah sabar. Ketiga-tiga
pendekatan ini harus beradaptasi mengikut situasi. Tanpa ilmu, kebijaksanaan
tidak akan lahir, dan tanpa sabar, fitnah akan menyalakan api kemusnahan,
membakar seluruh isi perjuangan.
Sidang perwakilan sekalian,
Puteri ingin berada di saf paling hadapan, menangkis
tohmah dan fitnah pembangkang. Fitnah yang membentuk persepsi dalam minda
masyarakat akan ditentang habis-habisan. Tetapi, Puteri dengan berani akan
katakan kepada semua. Persepsi lawannya bukan persepsi, persepsi lawannya bukan
emosi. Sebaliknya persepsi akan dipatahkan dengan hujah, persepsi akan
dipatahkan dengan ilmu, persepsi akan dipatahkan dengan fakta.
Ini jalan kita.
Pembangkang secara terang-terangan cuba membentuk
persepsi buruk dengan membuat pelbagai tuduhan palsu.
Mereka gigih berusaha untuk menggambarkan kepada
rakyat bahawa UMNO dan BN yang memerintah negara, adalah parti yang tidak
bertanggungjawab dan tidak menjaga kebajikan rakyat.
Mereka bermati-matian menolak tema Sambutan
Kemerdekaan Negara ke-55, ‘Janji Ditepati’ yang telah BN laksanakan.
Kerana apa hadirin sekalian? Kerana mereka tahu apa
yang kita kata, kita kota. Apa yang kita janji, kita tepati.
Sedangkan mereka mengabaikan tanggungjawab, mungkir
janji yang dibuat dan khianati kepercayaan rakyat.
Kita ambil contoh negeri yang paling mereka
bangga-banggakan kononnya paling berjaya melipatgandakan pendapatan, iaitu
negeri Selangor. Dalam manifesto 2008, mereka tabur seribu satu janji untuk
rakyat negeri ini.
Janjikan elaun bulanan untuk ibu tunggal, tapi tidak
ditunaikan. Janjikan bantuan anak muda mendirikan rumahtangga, tapi tidak
ditunaikan. Janjikan bantuan anak kecil ke pusat asuhan, tapi tidak ditunaikan.
Janjikan bantuan pendidikan prasekolah, tapi tidak ditunaikan. Kalau di negeri
Selangorpun mereka gagal mengotakan apa yang mereka janji, adakah kita yakin
mereka akan tunaikan janji untuk negara jika diberi kuasa? Jawapannya pasti
tidak.
Jangan kita gadaikan negara untuk mereka mengecap
kuasa, akhirnya rakyat yang jadi mangsa. Katakan pada mereka, cukuplah sekali,
rakyat tak akan ditipu lagi! Tidak seperti mereka, UMNO akan terus membela
rakyat. Asas perjuangan kita pada huruf Alif, Ba dan Ta akan kita pertahankan.
Alif untuk agama. Ba untuk bangsa, dan Ta untuk tanah air. Ini sumpah setia dan
janji kita. Islam akan dimartabat, Melayu akan diangkat dan negara akan
didaulat.
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
UMNO bukan seperti PAS yang berpakaian agama untuk
menghalalkan segala-galanya demi memuaskan nafsu politik. Sirah telah mengajar
kita, Nabi junjungan mulia, Muhammad Bin Abdullah S.A.W. tidak pernah menghina
sesiapa. Nabi tidak pernah mendoakan keburukan dan kemusnahan walaupun pernah
dizalimi Yahudi, sebaliknya mendoakan kesejahteraan dan hidayah buat yang
memusuhinya. Inilah sunnah sebenar yang wajar diikuti.
Sayang sekali sebuah parti yang mengaku memperjuangkan
Islam, dengan menjerit mendoakan kemusnahan sesama umat Islam. Demi politik,
segala keterlanjuran mereka, difatwakan sebagai benar dan kononnya itulah
ajaran agama. Itu kaedah perjuangan mereka, itu bukan cara kita.
RESAM
CABARAN
Ketahuilah, sejarah bukan sekadar susunan aksara yang
hanya perlu untuk dilafaz, ia juga bukan sekadar susunan kata yang hanya perlu
untuk dihafaz. Sebaliknya, setiap kisah sejarah yang dibaca, perlu untuk kita
hadam nilainya, perlu untuk kita faham maksudnya. Ia perlu ditafsir dengan hati
dan minda yang terbuka bagi membina masa depan yang lebih baik dari sebelumnya.
Kefahaman berhubung kisah dan sejarah silam ini
merupakan sesuatu yang fundamental untuk kita jadikan tauladan dan sempadan.
Sabda Rasulullah S.A.W :
“Tidak selayaknya seorang mukmin itu dipatuk ular dari
lubang yang sama dua kali”
Seharusnya intipati hadis ini perlu untuk kita
terapkan dalam diri, perlu kita sematkan dalam hati dan sanubari setiap ahli
gerakan. Tsunami politik pada PRU ke-12 memberi mesej yang jelas untuk kita
sama-sama merealisasikan sebuah transformasi perjuangan secara besar-besaran.
Jangan biarkan ular lidah bercabang, hidung belang terus mengapur rakyat dengan
janji temberang.
Sahabat Pakatan Rakyat dia boleh kelentong tetapi
dengan rakyat jangan nak bohong.
Rakyat adalah aspirasi Puteri. Janji perlu ditepati,
bukan hanya tahu bertelingkah merebut jawatan Perdana Menteri.
Selaras dengan slogan transformasi tampuk pemerintahan
Dato’ Sri Presiden, formula baru perlu wujud dalam setiap gerakan yang diatur.
Sebelum siap-siaga berperang tempur. Asas utama dalam perjuangan yang murni ini
perlu ditunjangi dengan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi. Kesetiaan ini
bukan bersifat sembrono.
Kesetiaan yang kita mahukan dari setiap ahli adalah
kesetiaan yang bertunjangkan ilmu dan agama. Bukan kesetiaan Pak Turut yang
hanya tahu mengikut perintah yang dituntut. Kesetiaan itu perlu diterjemahkan
dalam bentuk perbuatan demi kepentingan parti yang kita sayangi.
Mari kita ambil iktibar dari beberapa kisah pada zaman
Rasulullah S.A.W. di mana wanita sebagai benteng kepada perjuangan sepertimana
yang disebut dalam kitab dan sirah. Contohnya wanita bernama Nusaibah binti
Kaab yang begitu setia mempertahan dan melindungi Rasulullah. S.A.W. dalam
peperangan Uhud. Peristiwa lebih 14 kurun ini, sudah pasti menjadi pengajaran
penting kepada kita, bahawasanya Puteri mampu dan sanggup berkorban hatta
menggadai nyawa sekalipun untuk menyatakan kesetiaan kepada panji yang telah
kita bawa. ‘Semangat Nusaibah’ mesti membara dalam diri setiap ahli puteri hari
ini.
Kesetiaan kita mesti disatukan, kekuatan kita mesti
dipadukan, kepimpinan kita mesti didisiplinkan, agar ia menjadi tenaga yang
mampu menerjah dan mempertahankan kedudukan kita. Kerana itu kita Puteri tidak
pernah dan perlu rasa gentar walau halilintar membelah bumi, walau badai
melanda lautan, walau ribut meruntuhkan belantara, walau taufan melanda desa,
namun perjuangan parti tetap kita teruskan. Puteri sedia berkorban apa saja
demi agama, bangsa dan negara.
Sidang perwakilan sekalian,
Kombinasi yang perlu hadir bersama kesetiaan ini
adalah kebijaksanaan dalam melaksanakan perjuangan. Metod perjuangan perlu
selari dengan peredaran zaman. Kita semua sedar dan tahu, PAS dan PKR, dua
parti yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan dan dendam. Sebab itu perjuangan
mereka didasari fitnah dan hasad dengki.
Mengajak rakyat berhimpun mendoakan kebinasaan manusia
seagama, menuduh slogan 1Malaysia yang jelas murni idea dari Yahudi, mengajak
rakyat sertai demonstrasi dan lakukan kerosakan, itu semua cara perjuangan
mereka yang jelas terpesong dari adab susila manusia! Perjuangan yang sama
sekali ditolak rakyat kita! UMNO tidak lahir atas dasar kecewa, dengki, dendam,
benci dan berjuang untuk tujuan peribadi.
Tetapi UMNO tertubuh atas rasa tanggungjawab kita
membela bangsa. UMNO adalah parti tulen dan parti sejati orang Melayu. Jangan
kita hancurkan empayar yang telah kita bina ini dengan fitnah. Perjuangan kita
perlu selari dengan keperluan rakyat. Yang rakyat inginkan adalah kebajikan
mereka dijaga bukan fitnah sebagai halwa telinga.
Sebagai penggerak, Puteri harus bijak dalam mendekati
rakyat. Rakyat perlukan suara mereka didengari, bukan mendengar caci-maki.
Contoh terbaik yang boleh dipraktikkan adalah sepertimana kepimpinan junjungan
besar Nabi Muhammad S.A.W. Sikap kepimpinan yang fleksibel membuatkan para
sahabat sentiasa berasa senang untuk mendampingi baginda baik untuk mengadu
masalah mahupun mendapat penjelasan berhubung sesuatu hukum.
Contoh kepimpinan beginilah yang seharusnya kita
teladani.
Mobiliti dan akauntabiliti sentiasa ada bagi
memastikan setiap aduan didengari, bukan hanya sekadar pandai menabur janji.
Tugas Puteri hari ini bukan lagi sebagai sisipan,
tetapi pemain utama di dalam arus perdana. Masyarakat perlu mempunyai persepsi
yang matang dalam politik untuk memastikan survival perjuangan masa depan terus
terbela.
Inilah tugas penting yang harus dipikul Puteri.
Mendidik rakyat supaya matang dalam mentafsir senario politik negara. ‘Action
Plan’ yang jitu telah diperkenalkan Dato’ Sri Presiden.
Pelbagai platform telah disediakan melalui program
transformasi kerajaan untuk membolehkan aspirasi ini dicapai.
Kita semua menjadi saksi keberjayaan program yang
telah dijalankan. Daripada GTP hingga ETP, daripada NKRA hingga NKEA, daripada
RTP hingga PPP semua dilaksanakan bagi menjaga kebajikan, kesejahteraan dan
kelangsungan wadah perjuangan.
Sebagai jentera, Puteri seharusnya bertindak sebagai
pemberi maklumat berhubung segala usaha dan kejayaan program yang telah
dilaksanakan kerajaan kepada rakyat.
Saya percaya, dengan adanya usaha ini, ia secara
automatik akan memberikan satu persepsi baru kepada masyarakat berhubung
keseriusan kerajaan dalam membantu rakyat. Inilah kematangan yang kita
perlukan. Menilai kejayaan perlaksanaan, bukan banyak mana janji yang telah
ditaburkan.
PILIHAN
RAYA UMUM KE 13
Sidang perwakilan sekalian,
Peperangan dalam pilihan raya umum (PRU) ke-13,
pastinya akan menjadi peperangan pilihan raya yang paling sengit dan mencabar
dalam sejarah demokrasi di malaysia.
Kemenangan tipis pada PRU yang lalu, serangan-serangan
provokatif para petualang, ditambah pula dengan strategi-strategi populis
menjadi senjata yang menopang, pastinya menzahirkan pilihan raya kali ini
sebagai medan tempur sejarah yang tidak boleh dipandang mudah.
Pengalaman PRU12 ini adalah contoh yang paling ketara
dan paling dekat di jiwa. Bukti jika kita terlalu leka dan selesa dengan
kedudukan yang kita ada, semuanya bias hancur dan hilang sekelip mata sesingkat
awan menjadi hujan, api menjadi abu dan pasir menjadi debu. Itulah nilai sebuah
kejatuhan.
Azimat dari kisah ini, jawapannya satu, kita harus
kembali pada asas perjuangan. Asas yang dipasak dengan semangat dibenam dengan
hakikat betapa yang menghimpunkan kita dalam garis perjuangan ini adalah asas
yang membuatkan kita dipercayai dan dihormati. Asas yang melahirkan kita
Pergerakan Puteri dalam parti yang kita sayangi.
Kesatria-kesatria Puteri sekalian,
Ombak pilihan raya sudah benar-benar menghampiri. Bisa
sahaja menjadi badai atau bayu yang membelai. Saat ini, jika kita masih
berpeluk tubuh kita berdosa pada parti.
Jika segarkan rasa iri hati, dengki dan menuding jari,
kita berdosa pada parti. Jika kita tidak berpangkat, tidak berjawatan, tidak
berkedudukan, kita biarkan hanya mereka yang mendapat mandat sahaja yang
menyusun aturan, kita berdosa pada parti. Jika kita pura-pura di depan bikin
kerja tapi di belakang bikin cerita, kita berdosa pada parti.
Di saat saudara kita berjuang, kita canang kononnya
mereka petualang, kita berdosa pada parti. Jika kita dendam tak bertepi cemburu
membita tuli, kita berdosa kepada parti. Dari sekian dosa yang yang kita lakar
tanpa sedar, kitalah pengkhianat dan petualang sebenar.
Jadilah seperti Sumayyah, tanpa pangkat pun masih
tegar mempertahankan agama. Jadilah seperti Mashitah, kezaliman Firaun tidak
pernah melunturkan iman di dada.
Jadilah Khalid al-Walid, dari apa jua pangkat dan
kedudukan, hidup matinya untuk pasukan.
Hari ini kita berdiri kerana sayangnya kita pada
agama.
Sayangnya kita pada negara.
Dan sayangnya kita pada M E L A Y U.
Bangsa.
Perjuangan yang bukan bermaharkan harta dan
berdulangkan kuasa. Perjuangan seikat lidi yang perlu bertahan sesama sendiri
agar tidak mudah dipatahkan oleh sesiapa.
Hari ini Puteri bukan lagi hulubalang biasa. Puteri
harus bangun sebagai pahlawan, Puteri harus bangun sebagai perwira Puteri harus
bangun sebagai laksamana yang ternama. Sesungguhnya, Puteri yakin dan percaya
bahawa peperangan kali ini bukan soal siapa yang kuat dan siapa yang hebat.
Ingat. Kekalahan pilihan raya ini bukan sekadar membawa maksud kalahnya parti
kita. Tetapi kekalahan ini, akan menjadikan asbab matinya seluruh perjuangan
dan kita pasti akan dikuburkan pada pusara yang tidak akan lagi dikenang. Jika
kita gagal, maka segala perit jerih kita membela rakyat dan membina negara selama
ini akan bernoktah di sini.
Sesungguhnya Melayu itu kaya falsafahnya, kias kata
bidal pusaka, akar budi bersulamkan daya, gedung akal laut bicara, pemimpin itu
perlu dihormati, andai ada salah secara hemah teguran diberi. Kayakan jiwa kita
dengan keikhlasan dalam berjuang.
Sesungguhnya detik dan ketika ucapan ini ditutur,
Puteri telah bersiap-siaga untuk turun bertempur. Sepatutnya juga, ketika
ucapan ini ditutur, sikap sudah kemas dilentur. Nilai-nilai positif ini
sepatutnya sudah sebati dalam jiwa, sudah tersemat di minda, sudah menjadi
budaya yang tidak akan terpisah selamanya. Kerana kini, kita sudah berada di
fasa untuk bertindak, yang sekarang masih perlahan bergerak.
Andai kita rebah di medan perang, itu satu malapetaka
yang cukup malang. Rebahnya kita bukan dek kuatnya lawan, tapi kerana lalai dan
leka dalam meniti arus perjuangan. Jika ditakdirkan ini berlaku, jawapan apa
untuk kita berikan kepada anak cucu kita semua? Tatkala kita sedang berkuasa,
apa yang kita lakukan? Tatkala amanah diberi kepada kita, apa kita laksanakan?
Tatkala kita diberi kepercayaan, kita bacul dan khianat.
Jangan kita izinkan dalam ukiran sejarah pada zaman
hadapan, Puteri tumbang kerana kita leka, Puteri tumbang kerana kita alpa,
Puteri tumbang kerana kita terlalu selesa, Puteri tumbang kerana kita kejar
kuasa.
Biarlah dalam nukilan yang dibaca anak cucu kita,
Puteri bangkit demi bangsa, Puteri berjuang pertahankan agama, Puteri berkorban
kerana cintakan Negara. Puteri benar-benar jelmaan Nusaibah, berjiwa besar dan
tidak sesekali gentar. Andai dibunuh sekalipun, Puteri mati dengan bangga.
Kepada para Puteri, ayuh kita sama-sama berdiri teguh
di atas satu azam perjuangan yang kukuh. Ingatlah, betapa lahirnya Puteri bukan
untuk dimanja, bukan juga untuk dipuji dan dipuja namun percayalah betapa
lahirnya Puteri adalah untuk berjuang sama merasai perit jerih membela nasib
rakyat dan bangsa. Degup jantung Puteri adalah degup jantung rakyat, jiwa
Puteri adalah jiwa rakyat dan hidup mati Puteri adalah untuk menabur bakti
kepada seluruh rakyat.
Marilah bersama-sama kita berdiri. Kita berikrar dan
bersetia. Parti ini adalah nyawa kita. Parti ini adalah nyawa orang Melayu.
Parti ini lahir dari darah, keringat dan kudrat pejuang terdahulu.
Puteri berikrar, biarpun perit kita akan bangun
mempertahankan maruah parti, Puteri berikrar, biarpun jerih Puteri akan bangun
mempertahankan jalan juang parti, Puteri berikrar biarpun sakit Puteri akan
tetap mempertahankan parti pusaka ini sampai mati.
Puteri berjanji kita akan lawan mereka yang membakar
parti dengan fitnah. Kita akan tentang mereka dalam parti yang suka mencucuk
dan mencanang. Kita akan pertahankan parti dari dibunuh pengkhianat dan
petualang.
Kita akan ketepi soal peribadi, kita akan ketepikan sikap
yang merosakkan parti. Kita akan tanam dan kapankan rasa dengki dan iri hati.
Puteri berikrar, akan menumpahkan segala kesetiaan,
mengerah segala kudrat dan kekuatan serta berpadu merapatkan barisan demi
memastikan kita menang dalam pilihan raya yang akan datang. Puteri akan lakukan
apa jua demi bangsa, agama dan negara.
Maka akhirnya dalam politik bukan semuanya tentang
untung sabut timbul untung batu tenggelam, juga bukan rezeki secupak takkan
jadi segantang. Tapi politik semuanya tentang berpantang maut sebelum ajal,
membujur lalu melintang patah. Dengan seluruh tekad dan keringat.
Seluruh jiwa dan raga kita. Hanya untuk parti. Kita
akan terus percaya di saat sakit, jerih dan perih, Puteri berdiri bukan kerana
takdir, tetapi kerana seruan juang pada agama bangsa dan negara. Hingga
sekiranya ditanya. Sebagai pejuang, sanggupkah kita membayar perjuangan dengan
nyawa kita sendiri? Katakan bahawa kita sanggup. Katakan kita mahu, kita mampu,
kitalah pejuang-pejuang itu! Selamat berjuang untuk semua yang bersidang.
UNDILAH BARISAN NASIONAL ### VOTE FOR BARISAN NASIONAL