KUALA LUMPUR, 5 Feb – Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO, Haryaty Hamdzah menganggap Dap tidak layak untuk bercakap soal rasis lantaran mereka sendiri seringkali bersikap sedemikian dalam pelbagai hal.
Ujarnya, apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob mengeluarkan kenyataan yang memberi kepentingan kepada keseluruhan masyarakat telah disalah anggap dan dilabel rasis maka bermakna mereka terbukti berpaksikan kepada agenda peribadi semata-mata.
“Mengapa perlunya tuding jari kepada orang lain kerana diri mereka sendiri sebenarnya yang selama ini bersikap sedemikian malahan banyak perkara yang sememangnya dibuat oleh mereka atas kepentingan politik mereka sendiri sahaja,” katanya kepada UMNO-Online.
Tegasnya, apakah sumbangan Dap kepada rakyat selama ini kerana sememangnya mereka lebih terserlah untuk mendapatkan kuasa hanya dengan bermain persepsi atau memanipulasikan fakta tanpa melaksanakan kerja yang sewajarnya.
“Hal membabitkan harga barang yang tinggi adalah isu seluruh masyarakat tetapi apa sumbangan Dap dalam hal ini kerana mereka langsung tidak memainkan peranan dalam membantu masyarakat berdepan perbelanjaan harian yang membebankan malah buat pula tuduhan rasis untuk sembunyikan sikap mereka sebenar.
“Kalau betul mereka perjuangkan rakyat kenapa tidak turut berkempen dan desak pemborong untuk turunkan harga barangan dalam keadaan harga minyak telah turun tapi sebaliknya mereka manipulasikan isu,” katanya kepada UMNO-Online di sini.
Ujar beliau lagi, sekiranya pemimpin Dap benar-benar bertanggungjawab maka mereka tidak akan berkata demikian.
“Sebelum ini pun Dap juga pernah mengatakan mahu mengurangkan kakitangan awam sekiranya memerintah atau berkerajaan kerana mereka sedar kebanyakan kakitangan awam adalah berbangsa Melayu malahan ucapan ini dikeluarkan kepada masyarakat Cina.
“Apabila kenyataan tersebut dibuat oleh pemimpin Dap maka ini menunjukkan bahawa betapa menyampahnya Dap terhadap orang-orang Melayu dan cara ini digunakan bagi menanamkan semangat kebencian di kalangan anggota mereka kepada bangsa Melayu sendiri.”
Tambah beliau lagi, kerana itulah pembangkang melabelkan UMNO sebagai parti rasis sebagai melindungi kesalahan mereka sendiri yang seringkali menggunakan isu sensitif dan perkauman bagi mempengaruhi rakyat sebagaimana, Ahli Parlimennya dari Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun menggelar penjawat awam sebagai ‘kucing kurap’.
“Dap menjadi pentadbir dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang dan label ‘kucing kurap’ tersebut diberikan kepada kakitangan kerajaan negeri yang berada di bawah pentadbiran mereka maka secara langsung ia menunjukkan sikap kurang ajar pemimpinnya yang tak tahu menghormati apatah lagi untuk menghargai golongan bawahan,” katanya.
Dilaporkan, sebelum ini, Ooi pernah mengeluarkan kenyataan melabelkan beberapa pengawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai ‘kucing kurap’ kerana tidak membawa perangkaan terkini mengenai kedudukan penjaja di Jelutong, selain tidak berpuas hati apabila pegawai kanan yang sepatutnya hadir tiada dalam sesi lawatan itu.
“Bahayanya Dap ini adalah kerana mereka menggunakan agenda perkauman dalam isu politik yang tentunya akan mengundang malapetaka sekiranya dibiarkan berlarutan,” tambahnya lagi. -MediaUMNO
No comments:
Post a Comment