Desas-desus mengenai satu lagi demonstrasi jalanan
bakal diadakan oleh puak pembangkang kini semakin jelas kedengaran. BERSIH 4.0 dikatakan sedang digerakkan
sebagai membantah persempadanan semula sekiranya dilakukan tanpa pembersihan
daftar pemilih.
Ambiga, Tian Chua, Mahfuz, Tukar Tiub dan
Malaysiakini kini sedang sibuk mempromosi BERSIH 4.0. Di masa yang sama, kita yakin mereka sedang
mencongak-congak sambutan penyokong mereka bagi memastikan ‘bencana’ yang
berlaku dalam Black505 tidak berulang.
Dalam Black505 yang sepatutnya menjadi kemuncak
bantahan ‘rakyat’ terhadap keputusan PRU-13, Pakatan Rakyat hanya mampu
menggerakkan sekitar 5,000 orang sahaja.
Jumlah ini amatlah memalukan jika dibandingkan dengan sasaran 1 juta.
Lebih memalukan ialah selepas penyokong mereka
berguling-guling di dalam jerebu membantah keputusan PRU-13, esoknya juga
pemimpin pembangkang mengangkat sumpah menerima keputusan PRU yang sama.
Oleh yang demikian, Black505 dengan tidak
semena-mena menjadi bahan ketawa seluruh rakyat Malaysia.
Mungkin kerana itu, pembangkang yang tidak berpuas
hati, merasakan perlu untuk mengadakan demonstrasi lagi. Mereka berazam untuk memastikan BERSIH 4.0
menyaksikan kehadiran yang lebih ramai.
Dengan menggunakan alasan persempadanan semula dan dakwat kekal, BERSIH
terus memburuk-burukan imej SPR.
Hairan sekali kenapa BERSIH tidak memanjangkan isu
pengundi hantu dan ‘blackout’ dalam himpunan
kali ini?
Walhal, di waktu PRU berjalan dan beberapa hari
selepasnya, kedua-dua isu ini dimainkan dengan begitu giat siap dengan gambar
dan bukti-bukti kotak-kotak undi yang ‘hilang’. Tetapi, entah kenapa mereka-mereka yang
mempunyai bukti-bukti ini tidak pula membuat laporan dan tidak pula
memasukkannya dalam petisyen. Mungkin
SPR sendiri perlu memulakan siasatan menjejaki semua yang menyebarkan
‘bukti-bukti’ ini bagi membersihkan namanya.
Sebagai pemerhati, kita melihat PR bakal berhadapan
dengan tekanan hebat untuk memastikan BERSIH 4.0 dapat mengumpul lebih ramai
peserta dari himpunan-himpunan yang lepas.
Kali ini, tiada lagi alasan jerebu bagi menjustifikasi kehadiran yang
memalukan.
Jika dilihat dari ‘mood’ peserta-peserta Black505,
kita mendapati kebanyakan mereka bosan dan ramai juga yang pulang separuh
jalan. Mereka juga kedengaran merungut
kerana ceramah yang panjang serta membuang masa.
Dari rungutan itu, kita dapat memahami bahawa
sebahagian besar dari mereka inginkan ‘aksi’ iaitu cabar-mencabar dan
pertempuran dengan polis. Manakala, sebahagian
lagi pula benar-benar menjangkakan himpunan aman dan santai sehingga berani
membawa anak-anak kecil menyertainya.
Di sini saja sudah cukup untuk membuktikan bahawa
penyokong PR keliru dengan pendekatan yang ingin diambil oleh kepimpinan
mereka. Ada yang terpedaya bahawa PR
benar-benar inginkan himpunan aman, dan ada yang berpegang kepada desakan untuk
mencetuskan anarki.
Di penghujung drama komedi ‘slapstick’ Black505,
kita melihat segelintir dari peserta telah memilih untuk ‘berjuang ke titisan
darah terakhir’ dengan cuba merempuh Parlimen.
Tetapi akhirnya mereka membuat keputusan untuk berbaring saja di atas
jalan beramai-ramai, mungkin cuba menghilangkan keletihan dan mengantuk akibat
dihalau dari khemah jam 4.00 pagi oleh DBKL.
Dan apa yang tercatat dalam sejarah kini ialah
Black505 berakhir dengan Anwar bergelak ketawa mesra dengan Perdana Menteri di
dalam Parlimen.
Berdasarkan apa yang berlaku, bagaimana PR boleh
yakin akan mendapat penyertaan yang lebih ramai dalam BERSIH 4.0? Dan agak-agak, berapa ramaikah agaknya
penyokong mereka masih tidak sedar atau tidak serik menjadi bodoh? Atau, berapa kali gandakah upah perlu
dinaikkan bagi mendapatkan peserta yang sanggup membodohkan diri sekali lagi?
No comments:
Post a Comment