2015 merupakan tahun yang mencabar bagi negara selepas beberapa ujian besar dihadapi pada tahun lalu.
Insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 dan pesawat MH17 ditembak jatuh serta bencana banjir di Pantai Timur yang dianggap sebagai malapetaka besar oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar menguji kepimpinan negara dan rakyat.
Kemusnahan dan kehilangan yang dialami berikutan kejadian tersebut bukan sedikit. Solidariti di peringkat pentadbir dan masyarat perlu diperkukuhkan untuk membolehkan negara melalui ujian ini. Maka, 2015 harus menjadi tahun untuk semua pihak memperkuatkan tekad dan usaha bagi membangunkan semula apa yang musnah dan menghadapi kehilangan sama ada harta benda mahupun orang yang tersayang dengan penuh ketabahan dan ketaqwaan.
Pada tahun 2015 ini juga pelbagai pihak khususnya sektor swasta harus memainkan peranan yang lebih besar dalam mendokong usaha kerajaan menghadapi kemusnahan dan kehilangan itu. Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka perlu dipertingkatkan bagi membantu meringankan beban kerajaan dan rakyat. Sektor korporat perlu turut sama membantu membina semula rumah-rumah dan harta benda yang musnah. Mereka yang kehilangan ahli keluarga juga perlu dibantu dengan memberikan sokongan dalam aspek psikologi mahupun material. Jadikan tahun ini sebagai tahun semarakkan program kemasyarakatan.
Meninggalkan tahun 2014 dengan pelbagai dugaan dan perasaan. Musibah, bencana, kekecewaan, kesedihan, rahmat mahupun kebahagiaan sepanjang tahun lalu semuanya bersebab. Dan apa yang bakal dialami pada tahun ini juga bersebab. Maka kita harus berfikir dan merenung sejenak melihat pada diri sendiri, apakah perkara yang kita telah lakukan sehingga ditimpa musibah? Dan apakah pula kebaikan yang dilakukan sehinggakan kegembiraan yang dirasai itu berpanjangan.
Apa pun yang penting, kita harus belajar untuk sedia berubah. Tidak boleh lagi takut untuk berubah. Kita perlu ada keberanian bagi melakukan lonjakan atau sesuatu yang di luar daripada kebiasaaan agar perubahan yang akan dilaksanakan itu memberi impak yang besar. Berhijrahlah untuk kebaikan kerana kita tidak akan berjaya jika terus berada di takuk lama.
'
No comments:
Post a Comment