Sekali lagi Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat
cuba mencuci tangan dengan memutar belitkan fakta apabila menuduh UMNO sebagai
punca berlakunya perpecahan sesama orang Melayu Islam di negara ini.
Katanya, perpecahan orang Melayu Islam masa kini
bukannya disebabkan oleh PAS sebaliknya berpunca dari UMNO yang didakwanya
mengetepikan dasar Islam dan lebih selesa dengan semangat kebangsaan.
Hujah Menteri Besar Kelantan itu bukan sahaja
menampakkan kedangkalan pemikirannya malah menunjukkan ketaksubannya yang
melampau terhadap PAS.
Nik Aziz mungkin lupa, namun sejarah hakiki tidak
mungkin dapat dipadamkan bahawasanya kewujudan PAS itu sendiri adalah hasil
dari ketamakan kuasa. Dek kerana gagal merebut jawatan Yang Dipertua UMNO maka
dari situlah wujudnya PAS hingga ke hari ini.
Kewujudannya pula bukan atas nama perjuangan Islam
sebaliknya bertitik tolak dari dasar dendam kekalahan yang kemudian merebak
kepada perpecahan orang Melayu Islam.
Sedar dengan kelemahan itu maka pemimpin PAS berbohong
pula kepada rakyat konon penubuhannya adalah hasil dari protes terhadap judi
loteri yang dikaitkan dengan UMNO.
Walhal jika itu alasannya kenapa tidak sekarang PAS
menjauhkan diri dari PKR dan DAP yang memerintah Selangor dan Penang, yang mana
di negeri-negeri itu lesen judi ekor dan lumba kuda masih diluluskan oleh
Kerajaan Negeri.
Hatta lesen kedai arak, rumah urut yang tak berlesen
pun tumbuh mengalahkan cendawan selepas hujan di negeri yang diperintah oleh
rakan-rakan sekedudukan dengan PAS itu.
Atau mungkinkah semua senario di negeri-negeri yang
diperintah PR itu menepati dasar Islam yang dituntut oleh PAS, maka kerana
itulah PAS masih setia bersama PR?
Sudah menjadi lumrah mana-mana pemimpin PAS gemar
memalitkan tuduhan semberono untuk memperlihatkan pada penyokongnya bahawa UMNO
adalah parti yang tidak Islamik, manakala PAS pula didendangkan sebagai parti
pejuang Islam.
Dengan berbuat demikian PAS percaya para penyokongnya
akan terus setia dengan perjuangan PAS sekalipun sejarah membuktikan punca
perpecahan ummah antara penyebab utamanya ialah PAS.
Sekitar tahun 1960 hingga 1980-an banyak perpecahan
sesama penduduk sekampung dan sesama keluarga berlaku disebabkan perbezaan
fahaman politik gara-gara taksub pada hasutan kepartian yang dibawa oleh
pemimpin PAS.
Sembahyang dua imam dalam satu kariah, mendoakan
kehancuran sesama Islam serta memboikot kenduri kendara orang Melayu Islam yang
condong bersama UMNO, segalanya sudah sinonim dengan watak dan pembawaan PAS
dan penyokongnya.
Namun disebalik semua itu, PAS tidak kekok untuk
menerima dasar sekularisme dan pluralisme yang diamalkan oleh PKR, malah tidak
canggung untuk berpeluk sakan dengan DAP yang akidahnya adalah sosialisme.
Islam bagi PAS hanya sekadar label dan jenama untuk
mengabui mata khalayak semata-mata, namun gerak laku dan praktikal yang
diamalkan oleh pimpinan PAS langsung tidak mencerminkan sikap Islamik.
No comments:
Post a Comment