KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir
Mohamad menyifatkan memberi undi kepada pembangkang sama seperti mengundi
George Soros iaitu penyangak mata wang yang kejam.
Beliau menegaskan, Soros menggunakan wang beliau bagi
meletakkan calon pilihannya untuk memerintah negara-negara yang disasarkan.
Bagi Malaysia, katanya, Soros memilih pemimpin
pembangkang seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melakukan pertukaran rejim
dengan menjatuhkan kerajaan sedia ada.
''Mungkin sesetengah orang masih ingat Datuk Seri
Anwar Ibrahim begitu gemar dengan 'masyarakat sivil' ketika berada dalam
kerajaan dan beliau juga masih bercakap tentang perkara itu sekarang. Persamaan
idea antara Soros dengan Anwar adalah penting," katanya dalam satu rencana
yang ditulis untuk akhbar New Sunday Times hari ini.
Dr. Mahathir secara jelas menunjukkan pembabitan Soros
melalui Open Society Institute dalam menukar pemerintah sesebuah negara seperti
yang berlaku di Georgia.
Sebelum ini, Suara Rakyat Malaysia (Suaram) juga
didakwa turut menerima sumbangan daripada Open Society Institute.
Dr. Mahathir turut melontar persoalan mengapa Soros
membiayai Malaysiakini, sebuah portal berita propembangkang.
''Jelas sekali, tindakan itu adalah untuk menjayakan
perubahan rejim dengan meletakkan calon-calon pilihannya sebagai Perdana
Menteri dan menteri-menteri di dalam kerajaan Malaysia.
''Apa yang kerajaan itu akan lakukan nanti ? jika
tidak melaksanakan hasrat Soros," katanya.
Tegas beliau, Malaysia adalah salah satu sasaran
Soros.
''Sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang ingin
dijajah semula, itu adalah pilihan mereka. Tetapi saya percaya rakyat Malaysia
tidak mahu menjadi tali barut asing," katanya.
Menurut Dr. Mahathir, tindakan Soros itu terbukti
berjaya menjatuhkan rejim di Georgia, Ukraine dan Hungary.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment