PENDEDAHAN oleh Zainon Ismail @ Cikgu Non, atau lebih
dikenali sebagai C.N Al Afghani di dalam buku terbarunya Kafirkah Aku?
mencetuskan kembali isu Amanat Hadi Awang 1981.
Desakan C.N Al-Afghan supaya Datuk Seri Abdul Hadi
Awang menarik balik amanat itu dan meminta maaf menarik perhatian ramai.
C.N Al-Afghani bukan calang-calang orang. Dia adalah
ahli Pas seumur hidup. Dia ahli tegar Pas. Dia pernah berjuang dalam peperangan
Afghanistan menentang Rusia, dan dalam konflik Kashmir. Dia seorang mujahidin.
Dia pernah ditahan di bawah ISA.
Sekembali daripada jihad Afghanistan dan Kashmir,
Cikgu Non mengambil tanggungjawab membela dan menjaga kebajikan balu dan
keluarga para syuhada Memali, malah beliau mengahwini salah seorang balu
tersebut.
C.N Al Afghan dikenali sebagai seorang yang sangat
tegas, istiqamah dan ikhlas!
Beliau mendesak Abdul Hadi menarik balik Amanat Haji
Hadi 1981
Saudara-saudara sekalian percayalah, kita menentang
UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana
dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan
perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan
jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita
menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekalian.
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah
jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan
(menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati
kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, kita
tidak perlu masuk Hindu, kita tidak perlu masuk Kristian, tapi kita menjadi
kafir dengan mengamalkan ?politik suku, agama suku?.
Inilah teks apa yang dikenali sebagai ?Amanat Hadi
Awang 1981". Ia sebenarnya adalah sedutan daripada ucapan Presiden Pas itu
di Kampung Banggol Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Abdul Hadi, lahir pada 20 Oktober 1947 pada waktu itu
baru berusia 34 tahun, selepas kembali daripada Universiti Al Azhar, Mesir
(sebelum itu menuntut di Universiti Madinah).
Amanat Hadi Awang 1981" ini telah dicetak dan
disebarkan ke merata pelosok negara oleh Pas. Ia memberi kesan kepada para
pengikut yang taksub. Sejak daripada itu, bermulalah episod UMNO dikafirkan!
Ahli UMNO dikafirkan! Indoktrinasi yang menghalalkan penentangan terhadap UMNO
sebagai jihad, dan mati menentang UMNO adalah syahid per se!
Sembahyang bermakmum dengan imam UMNO tidak sah,
sehingga timbul masalah solat dua imam! Nikah oleh kadi UMNO tidak sah,
sehingga timbul masalah perlunya bernikah semula! Sembelihan orang UMNO haram
dimakan, hingga timbul masalah tidak mahu makan masakan orang UMNO! Kenduri
orang UMNO haram dihadiri, sehingga berlaku peristiwa pulau-memulau! Jenazah
orang UMNO haram disolatkan, sehingga ada imam Pas tidak mahu menyembahyangkan
jenazah ahli UMNO! Bercerai suami isteri! Berpecah kaum keluarga! Berpisah anak
beranak! Hancur rosak perpaduan kampung dan negara!
Kemuncak kepada kafir-mengkafir ini ialah peristiwa
Memali di Baling Kedah pada 19 November 1985. Empat tahun setelah Amanat Hadi
Awang 1981 bertebaran dan bersemadi di lubuk pemikiran ahli Pas, Kampung Memali
digemparkan dengan peristiwa berdarah pada pagi yang hitam itu.
Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud @ Ustaz Ibrahim
Libya, bekas pegawai dakwah Pusat Islam sanggup meninggalkan kerjanya; gaji
ribuan dibuang; bilik kerja air-cond ditinggalkan! Ustaz Ibrahim Libya pulang
ke kampungnya di Memali dengan harapan dan perjuangan untuk menegakkan sebuah
negara Islam yang melaksanakan undang-undang Islam, Amanat Hadi Awang jelas
terpampang di dinding pusat kegiatan Kampung Memali.
Dalam peristiwa berdarah 18 November 1985, empat
anggota polis Melayu-Islam dibunuh. Pasukan keselamatan mengambil tindak-balas
yang berakhir dengan Ustaz Ibrahim Libya terkorban bersama 13 lagi pengikutnya.
Sepantas kilat Ibrahim Libya dan pengikutnya yang
terkorban diisytiharkan mati syahid oleh Pas. Jenazah mereka tidak dimandikan,
tidak dikafankan. Sebaliknya jenazah mereka terus disemadikan di Tanah
Perkuburan Islam Parit Panjang dalam keadaan berlumuran darah!
Apakah yang mendorong Ibrahim Libya mengambil tindakan
nekad bertempur dengan pihak polis! dan membunuh empat anggota polis. Anggota
polis yang Satu Tuhan, Satu Nabi, Satu Kitab, Satu Qiblat dan Satu Akidah
dengan mereka!
Adakah Ibrahim Libya dan pengikutnya terpengaruh
dengan Amanat Hadi Awang 1981, yang menghalalkan jihad terhadap UMNO? Adakah
Ibrahim Libya dan pengikutnya beranggapan polis yang dibunuh adalah polis UMNO
maka halal dibunuh? Adakah Ibrahim Libya dan pengikutnya merasakan bahawa
kematian akibat bertempur dengan polis itu adalah mati syahid? Ini semua adalah
persoalan yang hanya Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya yang
terkorban sahaja boleh menjawab.
Tetapi yang pastinya, dalam bumi Malaysia negara umat
Melayu-Islam ini, ada 14 jenazah umat Melayu-Islam yang tidak dimandikan, tidak
dikafankan kerana dikatakan syahid! Adakah umat Melayu-Islam gagal melaksanakan
fardhu kifayah? Siapa yang wajar menanggung semua ini di hadapan Allah nanti?
Persoalannya, apakah yang mendorong Abdul Hadi membuat
Amanat 1981 tersebut?
Saya yakin Abdul Hadi berpaksikan kenyataan itu kepada
kepercayaan kononnya Perlembagaan Malaysia, undang-undang dan peraturan yang
diamalkan di negara ini adalah Perlembagaan, undang-undang dan peraturan
jahiliah, penjajah dan kafir!
Kerana apa? Kerana kononnya tidak meletakkan al-Quran
dan sunah sebagai sumber utama undang-undang. Kerana kononnya ia Perlembagaan,
undang-undang dan peraturan yang menolak al-Quran dan hadis! Dan yang paling
utama, kerana perundangan jinayat hudud, qisas dan takzir tidak dilaksanakan!
Maka timbullah dakyah dan tohmah konon Malaysia bukan
Negara Islam! Malah ditakfirkan Malaysia dan Kerajaan BN pimpinan UMNO. Inilah
yang sering dijaja oleh para penceramah, ustaz-ustaz, dan ahli-ahli tegar Pas!
Persoalannya, betulkah dakwaan itu? Betulkah Perlembagaan
Malaysia Perlembagaan kafir? Benarkah tidak melaksanakan hudud, qisas dan
takzir itu membawa kepada kekafiran? Adakah benar Perlembagaan Persekutuan
tidak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam?
Kita tidak perlu pergi jauh. Kita tengok kembali
ucapan Abdul Hadi sendiri pada 18 Januari 2003 dalam satu ucapan yang dipanggil
Amanat Perdana Pemangku Presiden bertajuk ?Pilihan Raya ke-11: Formula
Kemenangan.?
Ucapan sepanjang 13 muka surat itu dibuat sewaktu
beliau memangku jawatan Presiden Pas selepas kematian Allahyarham Datuk Fadhil
Noor pada 23 Jun 2002 akibat sakit jantung.
Pada waktu itu, Abdul Hadi juga adalah Menteri Besar
Terengganu selepas Pas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-10. Pas memenangi DUN
Terengganu dalam pilihan raya itu selepas persekongkolan dengan DAP dan Anwar
Ibrahim yang baru dipecat daripada UMNO. Tetapi persekongkolan itu menghadapi
masalah besar terutama dengan DAP.
Dalam menuju PRU-11 (2004 apabila Kerajaan Pas
Terengganu tumbang), Pas mencari formula untuk mengekalkan kemenangan dan
meluaskan kejayaan pilihan raya.
Maka Pas membuat perkiraan politik bahawa kerjasama
dengan DAP adalah wajib; persekongkolan dengan Anwar adalah perlu. Maka demi
mencapai formula kemenangan itu, Abdul Hadi berkata di muka surat 10; ?Justeru
kerana isu Negara Islam dan perlaksanaan Hudud dan syariat menjadi punca
perpecahan Barisan Alternatif (DAP-PKR-Pas) dahulu, maka Pas perlu membuat satu
pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan Negara Islam
dan pelaksanaan hudud di peringkat persekutuan. Peruntukan mengenai Islam
adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini. Seandai menang dalam pilihan raya
akan datang, pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di
peringkat Pusat, yang akan mendokongi Perlembagaan Persekutuan sedia ada!"
Cuba teliti betul-betul petikan ucapan Amanat Hadi
Awang 2003 ini dengan Amanat Hadi Awang 1981. Nampak perbezaan fundamentalnya?
Kedua-duanya menyentuh tentang satu perkara: status
Perlembagaan Persekutuan.
Dalam Amanat Hadi Awang 1981, Perlembagaan Persekutuan
(berserta undang-undangnya) dilabel sebagai ?kafir, jahiliyah, berbaur
penjajah", yang oleh kerana label itu UMNO dikafirkan!
Dalam Amanat Hadi Awang 2003, disebut jelas
?peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub di
dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan di peringkat
Persekutuan"!
Kedua-duanya mengupas perkara yang sama tetapi
bercanggah satu sama lain! Adakah kekafiran itu sudah boomerang?
Atas alasan ini sahaja pun sudah cukup untuk Abdul
Hadi wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981, kerana ternyata beliau sendiri
sekarang menyanggah dan membatalkan Amanat Hadi Awang 1981 itu melalui Amanat
Hadi Awang 2003!
Kedua, adakah tidak melaksanakan hudud, qisas dan
takzir itu membawa kepada kekufuran? Adakah tidak mendirikan Negara Islam itu
membawa kepada kekafiran?
Kita tidak perlu pergi jauh. Abdul Hadi sendiri pada
20 Disember 2009 menandatangani Memorandum Persefahaman Pakatan Pembangkang di
Shah Alam Convention Center. Bersama dengan Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng,
Memorandum Persefahaman itu langsung tidak menyentuh tentang perlaksanaan hudud
dan penubuhan sebuah Negara Islam.
Ini kemudiannya diikuti dengan penerbitan Buku Jingga,
dan diperkuatkan dengan pelancaran manifesto Pakatan Pembangkang pada
08.09.2011 yang jelas tidak memasukkan pelaksanaan hudud dan penubuhan Negara
Islam sebagai agenda.
Malah Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan
Karpal Singh tetap konsisten dengan kenyataan bahawa pelaksanaan hudud dan
penubuhan sebuah Negara Islam langsung tidak termasuk dalam persefahaman
pakatan pembangkang, dan tidak menjadi agenda mereka jika ditakdirkan
(na?uzubillah) memenangi PRU-13 dan memerintah Malaysia (na?uzubillah
minzalik).
Malah yang lebih jelas ialah kenyataan Abdul Hadi
sendiri semasa Muktamar Tahunan Pas 2011 yang jelas menyatakan bahawa ?Pas
mengubah dasar kepada negara kebajikan, itu ada dalam Quran. Negara Islam dia
(al-Quran) tidak sebut"! Maknanya Negara Islam tidak ada dalam al-Quran.
Negara Islam bukan lagi perjuangan Pas. Melaksanakan hudud tidak lagi menjadi
agenda Pas bersama rakan sekongkolannya DAP-PKR! Perjuangan menubuhkan Negara
Islam dilongkangkan!
Nah, tidakkah itu bercanggah sama sekali dengan Amanat
Hadi Awang 1981! Adakah kekafiran itu sudah boomerang?
Yang jelasnya, dengan pendirian yang kini bercanggah
dengan amanatnya sendiri, Hadi Awang wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981
itu!
Apa yang jelas, Amanat Hadi Awang 1981 adalah satu
kesilapan besar! Kesilapan yang mencetuskan krisis akidah yang serius kepada
umat Melayu-Islam, kesilapan yang menimbulkan perpecahan kepada perpaduan dan
ukhuwah umat Melayu-Islam! Kesilapan yang menyebabkan ramai yang merana,
sengsara dan menghadapi penderitaan. Kesilapan yang menyebabkan 14 jenazah
tidak dimandikan dan dikafankan!
Sebelum meninggalkan kupasan persoalan ini, elok juga
kalau ditanya soalan kepada Abdul Hadi:
1. Adakah kafir kerajaan Mesir (negara di mana Abdul
Hadi mendapat pendidikan Islamnya) yang kini diperintah oleh Ikhwanul Muslimin
dengan Presiden Mursi kerana masih mengekalkan undang-undang penjajah, dan
tidak menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud?
2. Adakah kafir kerajaan Indonesia, negara umat Islam
terbesar di dunia, kerana masih mengekalkan undang-undang Belanda dan tidak
menubuhkan sebuah negara Islam dan melaksanakan hudud?
3. Adakah kafir Turki, negara umat Islam terbesar
dalam Pakatan NATO yang kini diperintah oleh Parti AKP di bawah pimpinan Reccep
Tayyib Erdogan yang masih mengekalkan status sekularnya dan tidak menubuhkan
negara Islam dan melaksanakan hudud?
Adakah wajib memerangi orang Mesir, Turki dan
Indonesia? Adakah jihad menentang mereka? Adakah syahid jika mati bertempur
dengan mereka? Adakah mereka musuh Islam yang wajib ditentang?
Jawapannya kita semua tahu, TIDAK! Mesir negara Islam!
Indonesia negara Islam! Turki negara Islam!
Kalau Mesir, Indonesia, Turki dan negara seumpamanya
Islam; mengapa Malaysia ditohmah tidak Islam, malah dikafirkan?
Kalau Mesir, Indonesia, Turki dan kerajaan seumpamanya
tidak kafir, mengapa Kerajaan Malaysia dikafirkan?
Kalau Mesir, Indonesi, Turki dan wilayah seumpamanya
tidak wajib diperangi dan ditentang, mengapa harus pula menentang, malah
berjihad terhadap Kerajaan Malaysia?
Tepok dada tanyalah iman masing-masing!
Sebab itu saya menegaskan bahawa Abdul Hadi Awang
wajib melakukan 4 perkara berikut:
1. Wajib menarik balik Amanat Hadi Awang 1981! Beliau
wajib membuat pengumuman itu bukan sahaja secara terbuka kepada semua ahli dan
penyokong Pas, malah beliau wajib membuat pengumuman itu kepada seluruh umat
Melayu-Islam dan rakyat Malaysia!
2. Abdul Hadi wajib bertaubat; kerana Amanat Hadi
Awang 1981 telah menyebabkan krisis akidah dan perpecahan umat Melayu-Islam
yang serius! Ramai yang telah terpesong akibatnya. Abdul Hadi wajib menyesali,
memohon keampunan dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan itu!
3. Abdul Hadi wajib meminta maaf kepada seluruh ahli
dan penyokong taksub Pas, seluruh umat Melayu-Islam dan rakyat Malaysia.
Khususnya beliau wajib meminta maaf kepada keluarga dan waris yang telah
terkorban, suami isteri yang telah bercerai-berai, anak yang berpisah daripada
keluarga, adik beradik yang bermusuhan, penduduk kampung yang berpecah, para
imam yang diaibkan dan dimalukan; pendek kata sesiapa juga yang pernah menjadi
korban dan mangsa akibat Amanat Hadi Awang 1981!
4. Setelah itu, Abdul Hadi wajib mengadakan roadshow
dan ceramah besar-besaran untuk memperbetulkan semula kesan negatif yang telah
berlaku akibat Amanat Hadi Awang 1981. Beliau wajib memperbetulkan semula
mentaliti ahli dan penyokong tegar Pas yang rosak akibat amanat itu
UNDILAH BARISAN NASIONAL ### VOTE FOR BARISAN NASIONAL