PEKAN: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pindaaan perlembagaan parti itu berkaitan pemilihan pucuk pimpinan pada perhimpunan Agungnya Oktober depan, dilihat amat penting bagi memastikan Umno akan lebih demokratik, bersih dan memberi kuasa kepada anggota-anggotanya untuk memilih.
Perdana Menteri berkata perhimpunan agung 2009 yang dijadualkan pada 13 hingga 16 Oktober itu juga akan memutuskan sama ada 60,000 anggota di peringkat bahagian atau lebih 3 juta anggotanya diberikan hak untuk memilih pucuk pimpinan.
"Sama ada pemilihan Umno dibuat di peringkat bahagian meningkat kepada 60,000 ahli (berbanding hanya 2,500 perwakilan sebelum ini) atau (kita) buat secara terbuka dimana setiap ahli Umno (iaitu seramai lebih) 3 juta ahli, ada hak mengundi, kita (akan) putuskan dalam perhimpunan agung akan datang," katanya ketika berucap pada sesi penggulungan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Pekan di sini, hari ini.
Najib yang juga Ketua Umno Bahagian Pekan berkata apa yang penting ialah pindaan itu bertujuan untuk memastikan pimpinan yang dipilih kelak benarbenar bersih dan dapat diterima rakyat bagi meneruskan kelangsungan kepimpinan negara.
"Yang penting, kita tidak beri ruang kepada politik wang yang membudaya di dalam Umno," katanya. "Sistem pemilihan parti perlulah dapat menghentikan sama sekali proses pemilihan yang ada sebarang unsur politik wang atau apaapa cara yang tidak sihat yang menyebabkan rakyat di luar parti melihat Umno sebagai tidak bersih atau parti yang melalui proses pemilihan yang sukar diterima rakyat," kata Najib.
Beliau berkata semua pimpinan dan anggota parti perlu sedar bahawa Umno bukanlah sebuah parti yang kebal dan mereka perlu melihat sejarah parti-parti lain di dunia yang sebelum ini pernah berkuasa tapi akhirnya tidak lagi mendapat sokongan rakyat.
"Apa yang berlaku kepada parti-parti berkenaan (yang pernah berkuasa di negara tertentu), kita perlu ambil sebagai pengajaran dan kita jangan terbuai-buai dengan kedudukan yang ada," katanya.
Beliau juga mahu semua pimpinan dan anggota Umno membuat persiapan yang lebih awal untuk menghadapi pilihan raya umum ke13 nanti.
"Kita perlu lihat perspektif pilihan raya umum ke-13, kita perlu buat persiapan, perancangan, strategi, pelaksanaan yang lebih teratur dan tersusun untuk kita menghadapinya," katanya.
Seramai 582 perwakilan hadir pada mesyuarat berkenaan. Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Ishak Muhamad.
Sumber dari : BERNAMA
No comments:
Post a Comment