By Dr. Mahathir Mohamad on August 7, 2009
1. Apabila sahaja saya dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1974, maka Anwar Ibrahim pun mula menghasut penuntut universiti untuk mengadakan tunjuk perasaan jalanan. Isunya apa saya sudah lupa.
2. Walaupun Anwar bukan pengasas demonstrasi jalanan tetapi sejak dia memasuki politik, taktik memperalat orang untuk menjayakan dirinya melalui demonstrasi jalanan kerap diguna olehnya. Dianya memuncak apabila disingkir daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tiap minggu demonstrasi diadakan.
3. Budaya demonstrasi datang dari luar. Memang dalam keadaan terlalu tersepit dan tidak ada cara lain untuk memperjuangkan sesuatu, demonstrasi jalan terpaksa diadakan. Demikian semasa melawan Malayan Union, orang Melayu berdemonstrasi.
4. Tetapi apabila cara lain terbuka luas demonstrasi tidak sepatutnya menjadi pilihan.
5. Sebabnya ialah orang yang menjadi mangsa bukan Kerajaan sahaja. Yang jadi mangsa ialah peniaga, terutama peniaga kecil yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Bagi mereka ini demonstrasi adalah mala petaka yang lebih buruk daripada hujan lebat. Barangan jualan terutama makanan sudah disiap dan tidak boleh disimpan. Kerugian sehari tidak dapat ditampung dengan keuntungan 10 hari atau lebih.
6. Peniaga lain juga akan tanggung kerugian. Tetapi kerugian yang terbesar ialah pembangunan negara untuk rakyat. Kita sedar bahawa pembangunan negara membawa banyak nikmat kepada seluruh rakyat. Banding sahaja pendapatan per kapita sebelum Malaysia dibangun dengan selepas kemajuan dicapai.
7. Apabila demonstrasi jalanan diadakan, pelabur samada tempatan atau asing akan curiga untuk melabur. Dengan itu peluang untuk kontraktor, pembekal barangan, khidmat pengangkutan, pekerja dan penjual makanan untuk pekerja - semua peluang ini akan hapus.
8. Polis terpaksa ambil tindakan. Gas pemedih mata dan belantan diguna. Kegunaan cara keras ini biasanya diumpan oleh pendemonstrasi. Imej polis dan negara jadi buruk. Ini sangat menggembirakan Anwar kerana inilah ceritanya kepada orang luar negeri. Malaysia katanya adalah tidak demokratik, zalim, tidak ada kebebasan bagi rakyat, dan lain-lain. Demonstrasi bukan untuk mengugut kerajaan sahaja tetapi untuk tunjuk kepada dunia betapa buruknya Negara sendiri. Secara tidak langsung tujuan demonstrasi ialah supaya dianya memerintah Negara ini. Na'uzubillah.
9. Ada negara-negara di mana demonstrasi kerap diadakan. Di rantau ini pun ada. Apakah negara-negara ini berjaya?
10. Demokrasi mengizinkan demonstrasi. Samada demokrasi menguntungkan pengamal bergantung kepada pengamal. Jika pengamal tidak faham cara mengguna demokrasi, kebaikan dan keuntungan tidak akan tercapai.
11. Ada orang di sebelah sana, di Barat yang amat gembira apabila kita tidak dapat bangunkan Malaysia. Nama mereka adalah seperti Wolfowitz, Cohen dan lain-lain yang menjadi sahabat karib DSAI.
MSM : Sebenarnya demonstrasi lebih banyak memberi keburukan daripada kebaikan. Bayangkanlah pemberita dari luar yang membuat liputan demonstrasi baru-baru ini, tidak 100% berita yang dilaporkan adalah tepat. Sudah pasti ada bahagian yang sengaja disensasikan dengan tujuan-tujuan tertentu. Secara tidak langsung keadaan ini akan menjejaskan ekonomi negara apabila pelabur-pelabur asing mula merasa curiga dengan keadaan politik yang tidak stabil. Oleh itu, kita sebagai warganegara Malaysia haruslah menghindarkan diri dari menyertai demonstrasi yang tidak menguntungkan ini. Fikirlah tentang masa depan anak cucu kita. Jangan gadaikan masa depan mereka disebabkan kebodohan kita sekarang. Seharusnya kita bangsa melayu yang beragama islam ini bersatu padu untuk membangunkan dan menjaga kepentingan bangsa kita dari terus dirompak dan diceroboh.
No comments:
Post a Comment