Followers

Untuk Makluman

Segala pendapat dan pandangan penulis blog adalah pandangan peribadi tidak ada kena mengena dengan sesiapa yang masih hidup atau yang telah pergi dan juga BUKAN MEWAKILI SUARA dan PANDANGAN RASMI PERGERAKAN PUTERI UMNO BAHAGIAN SEGAMBUT DAN PERGERAKAN PUTERI UMNO MALAYSIA.

Wednesday, June 4, 2008

MENARIK DARI AKHBAR

Petrol harga pasaran? - Pengguna bagaimanapun akan terus nikmati subsidi
Oleh SUWARNI MOKHTARdan ARSHAD KHAN

KUALA LUMPUR 3 Jun – Kerajaan berharap dapat menghapuskan kawalan harga petrol dan diesel pada masa depan bagi membolehkan bahan bakar itu dijual di stesen-stesen minyak di negara ini mengikut harga pasaran.

Bagaimanapun, dalam melaksanakannya, kerajaan akan tetap memastikan para pengguna terus menerima subsidi tetapi bukan menggunakan mekanisme yang diamalkan sekarang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad menegaskan, di bawah mekanisme baru subsidi itu akan berlaku kenaikan harga minyak di negara ini selaras dengan harga di pasaran dunia sekarang.

“Tetapi semua pemilik kenderaan persendirian di negara ini masih lagi boleh menikmati subsidi,” kata Shahrir pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pembinaan Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Beliau menambah: “Hanya mereka yang tidak mempunyai kenderaan tidak layak mendapat subsidi minyak.”
Bentuk pemberian subsidi itu, ujar beliau, mungkin berbeza mengikut individu.

“Sebagai contoh, mereka yang menggunakan kenderaan yang mahal mungkin akan mendapat subsidi yang lebih rendah berbanding yang menggunakan kereta kecil.
“Inilah yang kita cuba tentukan dalam mekanisme subsidi minyak yang akan diumumkan nanti,’’ kata beliau. Harga pasaran petrol semasa ialah RM4 seliter tetapi di Malaysia ia dijual pada harga subsidi RM1.92 seliter melibatkan peruntukan subsidi yang dijangka mencecah RM56 bilion (meliputi subsidi petrol, diesel dan gas) pada tahun ini.

Sambil membayangkan kenaikan harga petrol dan diesel bagi mencerminkan realiti harga minyak dunia tidak dapat dielakkan, Shahrir menjelaskan, mekanisme pemberian subsidi bahan api yang akan dilaksanakan Ogos ini mungkin akan diberikan sama ada dalam bentuk kuota atau secara tunai. Beliau memberitahu, pengumuman yang akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi esok mengenai subsidi minyak merupakan langkah pertama ke arah penstrukturan skim subsidi bahan bakar itu.

Bagaimanapun, Shahrir berkata, kenaikan harga minyak tidak akan berkuat kuasa serta-merta seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Sementara itu, penetapan had bulanan tertentu penggunaan petrol dan diesel subsidi berdasarkan pendapatan dan jenis kenderaan pengguna adalah antara cadangan yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom, antara syor yang dipertimbangkan ialah memberikan subsidi minyak kepada pengguna hanya dalam jumlah tertentu.
Katanya, selepas melepasi had penggunaan minyak bersubsidi yang ditetapkan, jika seseorang ingin membeli minyak lagi, mereka perlu membayar petrol atau diesel yang dibeli pada harga pasaran iaitu harga tanpa subsidi.

“Sebagai contoh, jika seorang pengguna yang dibenarkan membeli 100 liter minyak bersubsidi setiap bulan telah melepasi had itu, dia perlu membayar harga normal bagi setiap liter tambahan petrol dan diesel yang dibelinya,” kata Mohd. Zain kepada Utusan Malaysia.
Beliau memberitahu, setakat ini syor itu masih di peringkat pertimbangan. “Jumlah minyak bersubsidi yang dirancang untuk diberikan kepada pengguna masih belum muktamad dan kadarnya tidak semestinya dinikmati oleh semua pihak,” katanya.

Mohd. Zain berkata, setiap pengguna berkemungkinan akan dibekalkan dengan sekeping kad khas yang menetapkan jumlah minyak bersubsidi yang layak dinikmatinya setiap bulan.
Kad itu boleh digunakan untuk membeli bahan api di stesen-stesen minyak tetapi harga minyak yang dijual dirancang ditetapkan mengikut harga pasaran peringkat global.
“Contohnya, jika harga petrol pada masa itu bernilai RM3 seliter, pemilik kenderaan dari luar Malaysia akan membelinya pada harga itu, tetapi rakyat tempatan yang layak boleh membeli jumlah tertentu petrol pada harga subsidi.

“Sekiranya mereka telah melebihi had penggunaan subsidi yang dibenarkan, mereka perlu membayar petrol dan diesel mengikut harga pasaran,” katanya. Cadangan lain yang sedang diberikan pertimbangan oleh kerajaan adalah untuk menarik balik diesel bersubsidi kepada nelayan dan digantikan dengan baucer atau wang tunai untuk membeli minyak.

“Langkah ini difikirkan sesuai dilaksanakan memandangkan kerajaan menerima terlalu banyak aduan berkaitan penyalahgunaan diesel bersubsidi,” kata Mohd. Zain.

Mengikut perbincangan awal, terpulang kepada nelayan untuk menggunakan wang tunai subsidi diesel yang akan diberikan itu.

“Kalau nelayan tidak mahu menggunakan wang itu untuk membeli minyak, itu terpulanglah pada diri masing-masing, namun ini semua masih dalam peringkat perancangan,” ujar beliau
-UTUSAN ONLINE-

UNDILAH BARISAN NASIONAL ### VOTE FOR BARISAN NASIONAL

No comments:

SOAL HATI: ANTARA TUNTUTAN & IDAMAN