UNTUK mengatakan bahawa Malaya ditadbir secara
demokratik di bawah pemerintahan British adalah kurang bijak.
Dan, untuk mengeluarkan dakwaan 'terbaharu' hanya
lima hari sebelum negara menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 kononnya - asas
kemerdekaan itu bermula apabila British memerdekakan negara-negara jajahan
mereka di Afrika dan ia diperluaskan kepada negara-negara jajahan mereka yang
lain - juga kurang cerdik.
Tiada tanah jajahan waktu sebelum era merdeka yang
boleh mengharapkan tanggapan seperti ini, walaupun di negeri-negeri Kesultanan
Melayu yang lebih dikenali sebagai naungan British dan bukannya tanah jajahan
secara terang-terangan.
Demokrasi menjadi laungan perjuangan orang Melayu
hanya selepas mereka menyedari betapa pentingnya pemerintahan sendiri melalui
pengalaman semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kejayaan Sukarno dan Hatta di
Indonesia yang membebaskan negara mereka daripada pemerintahan Belanda pada
1948 menjadi inspirasi sehingga UMNO berandaian, mencorakkan bendera parti
mengikut susunan warna yang sama dengan Sang Saka Merah Putih Indonesia akan
membawa petanda yang baik.
Kegagalan Rancangan MacMichael untuk mewujudkan
Malayan Union pada 1946 mencetuskan nasionalisme Melayu yang berkobar-kobar
merebak ke kawasan luar bandar. Pada 1 Mac tahun berkenaan, suatu kongres
besar-besaran diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur melibatkan 38
parti Melayu, bilangan paling besar pernah dikumpulkan dengan suatu matlamat -
menentang cadangan kerajaan Malayan Union yang baru.
Wakil-wakil entiti dari seluruh pelosok negara jauh
dan dekat, termasuk dari Singapura dan masyarakat Kaum Darat Selangor meluahkan
pandangan mereka. Cadangan Malayan Union dibahaskan dan diputuskan sebagai
tidak berperlembagaan berhubungan kedaulatan Raja-raja Melayu.
Perancangan itu berlawanan dengan kehendak rakyat
dan juga bertentangan dengan Piagam Atlantik, dan hanya dengan mengembalikan
kedaulatan Negeri-Negeri Melayu sahaja menjadi penyelesaiannya.
Semasa UMNO secara rasmi diperkenalkan oleh Tengku
Mahkota Johor pada 11 Mei 1946 di perkarangan Istana Besar, hasrat pemerintahan
sendiri telah mula membara dan tidak dapat dibendung lagi. Pihak berkuasa
British menyedari hakikat ini dan secara beransur-ansur mula melonggarkan
ikatan penjajahannya.
Rakyat Malaya waktu itu cukup maklum bahawa Malaya
telah dilahirkan di dalam pemerintahan darurat dan masalah ketenteraman awam
yang berpanjangan. Permasalahan Gee Hin dan Hai San dalam siri kegiatan samseng
mencetuskan Enakmen Kediaman Terhad 1933 (RRE) manakala keganasan pemberontakan
gerila komunis terpaksa dihadapi dengan Ordinan Darurat 1948.
Antara kejadian yang paling huru-hara semasa
darurat ialah pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi, Sir Henry Gurney pada 6 Oktober
1951 dalam serangan hendap oleh pengganas komunis berhampiran Kuala Kubu Bharu,
Selangor. Kematian Gurney mencetuskan kebimbangan penduduk tempatan dan
penjajah dan sesuatu yang drastik dilakukan dengan pengganti mendiang
mewujudkan Rancangan Briggs.
Dalam Rancangan Briggs, kampung-kampung baru untuk
orang Cina didirikan di beberapa bahagian Semenanjung terutama di Perak,
Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang. Kampung-kampung ini dikategorikan sebagai
kawasan keselamatan berisiko oleh kerajaan kolonial. Urusan keluar dan masuk tertakluk
kepada pemeriksaan teliti ke atas bekalan makanan, pakaian dan senjata yang
boleh disalurkan kepada pengganas.
Walaupun Rancangan Briggs terbukti berkesan dalam
mengurangkan bantuan kepada pengganas, rancangan itu juga ada 'impak' yang lain
dan 'terkesan' sehingga hari ini - mewujudkan polarisasi perkauman iaitu bangsa
Melayu dan Cina terutamanya telah dipisahkan.
Orang Cina diletakkan di bandar-bandar, Melayu di
kampung-kampung dan India di ladang-ladang getah dan kaman, iaitu berek-berek
buruk untuk buruh-buruh yang sebahagian besarnya bekerja di bawah Jabatan Kerja
Raya (JKR).
Sehingga merdeka pada 1957, fungsi Majlis
Perundangan Persekutuan banyak menumpukan kepada strategi dan tindakan terhadap
'bandits', satu istilah seni bagi menggambarkan pengganas dan penyokong mereka.
'Bandits' terus menentang pihak berkuasa British selepas berakhirnya Perang
pada 1945 atas anggapan bahawa mereka adalah kesinambungan rejim penjajahan dan
pencerobohan selepas rejim Jepun.
Dan menjelang 1948 apabila pemberontakan komunis di
kemuncaknya, pihak British menunjukkan kesediaan mereka untuk memberi Malaya
pemerintahan sendiri pada suatu masa yang sesuai.
Perjanjian Persekutuan Malaya 1948 (FMA) menjadi
dokumen yang berperanan penting ke arah kemerdekaan yang pada ketika itu adalah
kira-kira sembilan tahun lagi.
UMNO merupakan penggerak utama dalam jentera
politik kemerdekaan ini. Orang Cina di bawah Persatuan Cina Malaya (MCA) pada
1948 dan India di bawah Kongres India Malaya (MIC) pada 1951, menyertai
perjuangan bersama iaitu Malaya untuk orang-orang Malaya. Mereka bergabung
membentuk Perikatan sebelum Pilihan Raya Umum Malaya pertama pada 1955.
Perkembangan yang membawa kepada pilihan raya
pertama itulah yang kemudian dimenangi oleh Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan
Perikatannya menjadi satu renungan menarik. Ini terutamanya pada tahun-tahun
permulaan di mana Tunku dan kawan-kawan setia beliau berunding dengan pihak
British dalam pelbagai aspek untuk pemerintahan sendiri.
Seorang sarjana ekspatriat terkemuka dengan jelas
menggambarkan keghairahan kemerdekaan sebagai 'mengharumkan udara Kuala Lumpur
dan minda penduduk untuk berhari-hari lamanya' berikutan 31 ogos 1957 dan
pembentukan Kabinet Merdeka Tunku Abdul Rahman yang dinanti-nantikan pada 10
September 1957.
Tunku, masih sempat berjenaka dalam keadaan yang
agak sukar ketika itu dengan mengatakan walaupun pihak British banyak mengalah
kepada permintaan beliau, tetapi beliau tidak diberikan kemudahan perumahan
sebagai Ketua Menteri.
Gaji bulanan seorang Ketua Menteri hanyalah sekitar
3,000 ringgit setiap bulan dan elaun keraian secara pukal sebanyak 2,500
ringgit. Sesuatu yang memeranjatkan ialah para menteri beliau juga menerima
gaji bulanan yang sama.
Demikian sejarah kemerdekaan negara 1957 tertulis
dengan faktanya dan tidak tergapai dengan mudah.
No comments:
Post a Comment
Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.