Apakah Pakatan Rakyat sebenarnya merancang tawaran manifesto ini dengan
rapi atau tergesa-gesa untuk mengumumkannya semata-mata untuk mendahului
BN?
Bahagian 1
SHAH ALAM: Pakatan Rakyat berjaya mengumumkan manifestonya lebih awal
daripada Barisan Nasional (BN). Dari segi strategi politiknya ini
mungkin satu langkah ke hadapan, kerana jika BN umumkan dahulu manifesto
dan seandainya ada persamaan tawaran manifesto, BN mungkin akan
memainkan isu Pakatan Rakyat meniru manifesto BN.
Kini tekanan pada BN untuk mengumumkan tawaran manifestonya menjelang
pilihan raya umum ke-13 nanti tetapi mestilah ada kelainan dan
perbezaan aspek tawaran itu sendiri. Jika tidak BN pula akan dicop
meniru manifesto Pakatan Rakyat.
Tetapi apakah Pakatan Rakyat sebenarnya merancang tawaran manifesto
ini dengan rapi atau tergesa-gesa untuk mengumumkannya semata-mata untuk
mendahului BN?
Kelantan, Terengganu dan Pahang terlepas pandang?
Kepincangan pertama terserlah apabila ahli parlimen Kuala Selangor,
Dr Dzulkefly Ahmad (PAS) dalam laporan sebuah portal berita tempatan,
yang merupakan salah seorang ahli jawatankuasa dasar dan manifesto
Pakatan Rakyat yang merangka manifesto tersebut mengaku bahawa Pakatan
Rakyat terlepas pandang dalam tawaran menaikkan bayaran dari lima
peratus kepada 20 peratus royalti petroleum kepada Sabah dan Sarawak.
Di mana di dalam buku manifesto yang diedarkan, malah ketika
manifesto dikemukakan di dalam Shah Alam Convention Center, tawaran
kenaikan bayaran royalti petroleum ini tidak menyebut negeri Kelantan,
Terengganu dan Pahang.
Bagaimanapun mengikut laporan portal itu, Dr Dzulkefly menjelaskan
kesilapan itu telah dikenalpasti lebih awal dan pihaknya telah
memaklumkan kepada pencetak buku manifesto tersebut. Tetapi entah macam
mana ianya terlepas pandang ketika cetakan terakhir.
Agak menarik jika benar kesilapan berlaku ketika cetakan buku
Manifesto mengapa ‘softcopy’ ‘slideshow’ ketika pembentangan Manifesto
turut tidak menyebut Kelantan, Terengganu dan Pahang?
Mengapa ketika pembentangan manifesto dibuat, nama Kelantan,
Terengganu dan Pahang tidak disebut oleh beliau atau Pengarah Strategik
PKR, Rafizi Ramli atau Naib Presiden DAP, M Kulasegaran?
Bagaimana kesilapan itu terlebih dahulu berlaku sedangkan exco kanan
kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa yang lantang menuntut royalti
petroleum dibayar kepada Kerajaan Kelantan merupakan salah seorang ahli
jawatankuasa dasar dan manifesto Pakatan Rakyat.
Husam juga harus menjelaskan bagaimana tawaran bayaran royalti
petroleum kepada Kelantan, Terengganu dan Pahang dari lima peratus
kepada 20 peratus tidak disebut ketika pembentangan manifesto Pakatan
Rakyat.
Apakah isu kritikal peneroka Felda juga terlepas pandang?
Jika tawaran kenaikan royalti petroleum lima peratus kepada 20
peratus untuk Kelantan, Terengganu dan Pahang diberi alasan kerana
kesilapan cetakan atau terlepas pandang, apakah alasan kepimpinan
Pakatan Rakyat yang turut ‘terlepas pandang’ isu-isu kritikal yang
berkaitan dengan peneroka Felda?
Manifesto Pakatan Rakyat tidak menawarkan apa-apa harapan untuk
peneroka Felda dan generasi kedua Felda (anak peneroka Felda) berhubung
tuntutan perumahan untuk generasi kedua, pemansuhan Felda Plantations,
menyerahkan caruman wang tanam semula kepada peneroka yang mengusahakan
sendiri ladang getah dan kelapa sawit tanpa syarat, mengkaji semula
hutang tanam semula dan meminda Akta GSA 1960 yang berat sebelah.
Tawaran Pakatan Rakyat dalam manifesto secara spesifik hanya
menyatakan mahu merombak pegangan Felda Global Ventures (FGV) dengan
matlamat kembalikan operasi dan pemilikan tanah Felda ke tangan peneroka
dan kakitangan serta menyemak semula kadar perahan gred (KPG) yang
merupakan salah satu tuntutan kritikal peneroka Felda dan generasi kedua
Felda.
Manifesto tidak banyak tumpu pada wanita
Dalam
laporan sebuah akhbar tempatan semalam, Ketua Wanita PKR dan ahli
parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin melahirkan rasa terkilan beliau
kerana pembentangan manifesto tidak banyak beri tumpuan kepada peranan
wanita.
“Kita tahu kaum wanita adalah pengundi penting dalam pilihan raya.
Sebelum ini, memang kita sudah mengadakan perbincangan mengenai agenda
wanita yang akan dimasukkan dalam manifesto, tetapi mungkin perlu
dikembangkan lagi.
“Sehubungan itu, satu konvensyen Wanita Pakatan Rakyat akan diadakan
dalam masa terdekat untuk memantapkan pengisian manifesto,” Zuraida
dipetik berkata demikian dalam akhbar harian tersebut.
Justeru itu persoalan yang bermain ialah apakah manifesto Pakatan
Rakyat di deraf tanpa mengambil kira ‘input’ dari semua pemimpin yang
berkaitan?
Apakah cadangan pemimpin wanita Pakatan Rakyat dan pemimpin biro
Felda (PKR) serta lajnah tanah (PAS) tidak diambil kira atau ditolak
kerana barangkali mereka yang memuktamadkan manifesto itu merasakan
ianya tidak perlu dan bukan satu agenda yang penting untuk rakyat dalam
ketegori tertentu?
Kenyataan Zuraida yang Wanita Pakatan Rakyat akan mengadakan satu
Konvensyen Wanita Pakatan Rakyat dalam masa terdekat untuk memantapkan
pengisian manifesto menimbulkan tanda tanya, apakah satu lagi versi
manifesto Pakatan Rakyat akan dilancarkan?
Kenyataan Zuraida memberi bayangan bahawa banyak agenda untuk wanita tidak dimasukkan ke dalam manifesto Pakatan Rakyat.
Jika agenda wanita dititik beratkan oleh jawatankuasa dasar dan
manifesto Pakatan Rakyat, sudah tentu Wanita Pakatan Rakyat tidak perlu
mengadakan satu konvensyen khas untuk membincangkan semula perkara
tersebut.
Nampak sangat pembentangan manifesto Pakatan Rakyat ini mencipta suasana kelam kabut.
Di kala majoriti kandungan manifesto Pakatan Rakyat sudah ‘cantik’,
tetapi disebabkan ketidakpekaan orang-orang yang duduk dalam
jawatankuasa dasar dan manifesto Pakatan Rakyat , maka terserlahlah
kepincangan dalam manifesto Pakatan Rakyat.
sumber: FREE MALAYSIA TODAY
No comments:
Post a Comment
Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.