Saya tertarik dengan kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang yang mendesak diberi ruang selama satu jam bersiaran secara langsung
untuk memberikan penjelasan mengenai isu Amanat Haji Hadi yang mencetuskan
kontroversi berikutan pendedahan pengikut taksub dan ahli seumur hidup Pas, CN
Al-Afghani melalui bukunya Kafirkah Aku!.
Desakan Abdul Hadi turut disokong oleh Datuk Seri Nik
Abdul Aziz Nik Mat yang menyandarkan hujahnya kepada hukum Islam yang
mewajibkan semua pihak diberi hak bersuara dan membela diri.
Saya tidak menafikan syariat Islam mewajibkan
mana-mana pihak diberi hak membela diri dan bersuara dalam mana-mana isu yang
membabitkan dirinya. Malah hak asasi kemanusiaan juga menuntut seseorang diberi
hak membela diri dan hak bersuara.
Apa yang saya pertikaikan ialah amalan politik dua
alam, cakap tak serupa bikin dan demokrasi hipokrit amalan pembangkang.
Contohnya, mengapa semasa Pas membat keputusan memecat
Datuk Dr. Hasan Ali, beliau langsung tidak diberi hak membela diri dan hak
bersuara.
Malah, Hasan Ali langsung tidak diberi notis tunjuk
sebab atau alasan tindakan memecat akan diambil terhadap beliau. Sehingga hari
ini Hasan Ali tidak tahu apa sebab beliau dipecat!
Mana suara Nik Aziz atau Abdul Hadi semasa itu. Bukan
sahaja mereka tidak memberi hak bersuara itu kepada Hasan Ali, malah mereka
turut bersekongkol dalam tindakan memecat Hasan Ali tanpa diberi sebab, tak
diberi hak bela diri, tak diberi hak bersuara, malah tak diberi notis!
Tetapi bila terkena batang hidung sendiri, dengan
segera segala ayat al-Quran dan hadis serta hukum Islam dicedok dan digali
untuk melapik tuntutan serta desakan mereka!
Ini pada saya adalah amalan politik jijik dan kotor
kerana mempergunakan syariat Islam hanya untuk kepentingan politik peribadi!
Kedua, Abdul Hadi perlu ingat, beliau ada ruang di
Harakah dan media-media portal pembangkang yang lain untuk memberi penjelasan.
Apatah lagi dengan dunia Internet, beliau boleh merakam sendiri penjelasannya
dan disiarkan tanpa tapis di Youtube dan media lain. Malah beliau boleh buat
rakaman dalam bentuk CD/DVD dan disebarkan kepada orang ramai.
Dalam keadaan ruang cukup luas yang ada untuk beliau
memberikan penjelasan, Abdul Hadi memilih untuk mendesak satu jam siaran
langsung di RTM! Tidakkah ini menimbulkan keraguan tentang niat sebenar beliau?
Selanjutnya, Abdul Hadi perlu ingat yang membongkar
dan mencetuskan isu kesan Amanat Haji Hadi 1981 itu ialah seorang pengikut
taksub dan bekas ahli seumur hidup Pas.
CN Al-Afghani bukan calang-calang orang. Beliau pernah
duduk dipimpinan Pemuda Pas Negeri. Malah Naqib usrah beliau ialah arwah Ustaz
Fadzil Mohd Noor, bekas Presiden Pas! Beliau juga pejuang mujahidin di
Afghanistan dan Kashmir. Malah beliau pembela balu syuhada Memali dan tinggal
bersama mereka! Dan beliau pernah ditahan ISA kerana menjadi Ketua Kumpulan
Mujahidin Malaysia (KMM)!
Beliau yang membongkar kesan Amanat Haji Hadi 1981
melalui bukunya Kafirkah Aku!.
Beliau turut menceritakan bagaimana beliau sendiri
menjadi begitu taksub dengan Amanat Haji Hadi itu sehingga mengkafirkan ahli
keluarganya sendiri yang menjadi ahli atau penyokong UMNO!
Berikutan pendedahan beliau, ramai lagi pengikut
taksub Pas yang terpengaruh dengan Amanat Haji Hadi tampil ke depan mendedahkan
bagaimana mereka melalui kehidupan yang sangat menyesatkan akibat amanat itu.
Kita dengar mereka menceritakan tentang nikah kali
kedua, sembelihan keluarga sendiri daripada kalangan UMNO dianggap bangkai, ada
imam yang enggan solatkan jenazah umat Islam daripada UMNO, solat dua imam,
boikot masjid dan macam-macam onak mehnah akibat Amanat Haji Hadi.
Jadi pada saya, Abdul Hadi tidak perlu beri penjelasan
kepada umat Islam berbangsa Melayu dan rakyat Malaysia. Kami semua sudah faham
bahawa amanat itu sesat dan bercanggah dengan akidah/ syariat Islam. Malah para
ulama, mufti dan ahli agama telah memberikan fatwa dan pendapat yang jelas
membuktikan Amanat Haji Hadi itu sesat dan bercanggah dengan syariat Islam.
Jadi umat Islam bangsa Melayu serta rakyat Malaysia
tidak perlu dengar dan faham penjelasan Abdul Hadi kerana kami sudah tahu.
Malah kami tidak pernah mengikut pun Amanat Haji Hadi itu.
Yang perlu tahu, dan yang perlukan penjelasan ialah
para pengikut taksub Pas dan Abdul Hadi yang sehingga ke hari ini tidak
menyedari tentang kesesatan Amanat Haji Hadi tersebut. Sehingga hari ini ada
yang masih mengkafirkan saudara seagama dan sama akidah hanya kerana amanat
itu.
Malah semasa berbual dengan beberapa sahabat daripada
Baling, mereka menyatakan kerisauan tentang status 'mati syahid' Allahyarham
Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang lain yang mati terbunuh dalam Peristiwa
Memali.
Kalau Amanat Haji Hadi itu tidak betul, bagaimana
keadaan jenazah mereka yang tidak dimandi dan dikafankan! Terus dikuburkan
dalam keadaan berlumuran darah kerana dikatakan mati syahid. Malah empat anggota
polis yang satu akidah turut dibunuh kononnya halal kerana 'Polis UMNO'!
Apa nasib mereka ini semua?
Kepada mereka ini yang Abdul Hadi wajib berikan
penjelasan. Mereka mahu tahu benarkah UMNO kafir kerana kononnya mengekalkan
dan melaksanakan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan kafir serta
jahiliyah!
Kalau begitu kedudukannya, mereka mahu tahu mengapa
pada 18 Januari 2003, Abdul Hadi membuat 'Amanat Hadi' yang menyatakan
peruntukan mengenai Islam cukup seperti dalam Perlembagaan!
Mereka juga mahu tahu kenapa perjuangan negara Islam
dibuang, diganti dengan negara kebajikan!
Mereka mahu tahu benarkah negara Islam tiada dalam
al-Quran? Kalau benar, mengapa Abdul Hadi melancarkan Dokumen Negara Islam pada
tahun 2004?
Mereka mahu tahu apa kedudukan Dokumen Negara Islam
yang digubal oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din? Apakah
Dokumen Negara Islam itu kini bercanggah dengan al-Quran memandangkan Negara
Islam rupanya tiada dalam kitab suci itu?
Mereka juga mahu tahu adakah Mesir yang masih
mengekalkan undang-undang penjajah walaupun diperintah oleh Presiden Mursi
daripada Ikhwanul Muslimin juga adalah negara kafir?
Kalau Mesir masih kafir, bagaimana kelulusan dan
ijazah Abdul Hadi dan ramai ustaz dalam Pas yang mendapatnya daripada Mesir?
Adakah kelulusan dan ijazah mereka tidak mengikut syariat kerana dikeluarkan
oleh negara kafir?
Mereka juga mahu tahu adakah Turki juga kafir kerana
bukan sahaja mengekalkan undang-undang penjajah, tetapi meneruskan status
sekularisme mereka walaupun kini diperintah oleh Reccep Tayyib Erdogan daripada
Parti AKP!
Mereka juga mahu tahu adakah Indonesia, negara umat
Islam terbesar di dunia kafir kerana masih mengekalkan undang-undang penjajah
Belanda dan meletakkan Pancasila sebagai prinsip rukun negara Indonesia! Malah
amalan homoseks bukan kesalahan jenayah di Indonesia! Apakah Indonesia kafir?
Kalau mengambil Amanat Haji Hadi sebagai kayu
pengukur, maka Mesir, Turki dan Indonesia adalah negara kafir, dan kerajaannya
kafir kerana masih mengekalkan Perlembagaan, undang-undang dan peraturan
penjajah!
Kalau Mesir, Turki dan Indonesia tidak kafir, mereka
mahu tahu mengapa Malaysia dan kerajaannya kafir?
Sebenarnya banyak persoalan yang pengikut taksub dan
ahli serta penyokong Pas mahu tahu. Bukan kepada umat Melayu-Islam di Malaysia
sebab kami sudah tahu dan kami memang menolak Amanat Haji Hadi.
Jadi tidak perlu Abdul Hadi memberi penjelasan melalui
RTM, TV3 atau Utusan Malaysia.
Cukup kalau Abdul Hadi memberi penjelasan melalui
Harakah dan media pembangkang, juga melalui Youtube dan media alternatif yang
lain.
Awang Hadi juga boleh kerahkan semua ahli, penyokong
dan pengikut taksub Pas mengadakan perhimpunan besar di Stadium Kota Bharu,
Kelantan untuk tujuan itu. Kalau perlukan bantuan, Abdul Hadi boleh minta
bantuan Ambiga Sreenavasan untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.
Boleh begitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang?
DATUK Zulkifli Noordin ialah Ahli Parlimen
Kulim-Bandar Baharu, Kedah.
Petikan daripada Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment
Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.