Tindakan terdesak YB Nurul
Izzah mahu menyaman Utusan Malaysia, Berita Harian dan beberapa
buah blog bolehlah dilihat sebagai satu langkah terakhir seorang yang tiada
jalan keluar lagi.
Ketelanjuran beliau
mengutarakan kenyataan sensitif di hadapan pengundi-pengundi yang majoritinya
bukan beragama Islam dapat kita lihat sebagai satu lagi bukti betapa manisnya
mulut ahli-ahli politik Pakatan dengan janji-janji dan retorik mereka.
Utusan Malaysia hanya
memetik kata-kata Nurul Izzah yang turut dilaporkan dalam portal
pro-pembangkang Malaysiakini hanya menjadi mangsa politik kebencian
yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Walaupun jelas Utusan Malaysia tidak
bersalah kerana ia hanya melaporkan apa yang ditulis di dalam Malaysiakini,
Nurul Izzah terus mengkaburi fikiran rakyat bahawa kononnya Utusan
Malaysia telah menfitnah dan menganiaya diri beliau.
Apabila dipanggil oleh Jabatan
Agama Islam Negeri Selangor (Jais) untuk menjelaskan kenyataan beliau, Nurul
Izzah dengan bongkak berkata “Ya saya harap Jais panggil Utusan Malaysia
sekali sebab dia keluarkan kenyataan fitnah akidah tersebut.” (Seperti yang
dilaporkan oleh portal Free Malaysia Today).
Keras sekali perkataan fitnah,
namun perkataan inilah yang sering mewarnai politik Pakatan Rakyat sejak
sedekad yang lalu. Taktik menyalahkan orang lain ini telah terlalu kerap
digunapakai sehingga sudah menjadi satu klise yang basi. Fitnah dan Saman sepatutnya
menjadi slogan Pakatan Rakyat, bukannya Demi Rakyat.
Apa yang pasti, memang jelas
beliau telah mengeluarkan kenyataan yang berbunyi:
"Apabila anda
bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama...bagaimana seseorang itu boleh
berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan
Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata."
Bukan setakat laporan dan
liputan dari pelbagai blog, bukti video juga telah tersebar luas di internet.
Kita boleh lihat dan dengar betapa kenyataan kontroversi beliau itu telah
disambut dengan tepukan gemuruh dari hadirin yang memenuhi forum “Negara
Islam: Versi yang Mana; Siapa Bertanggungjawab?" di Gereja Full Gospel
Tabernacle, Subang Jaya pada 3 November lepas, seolah-olah mereka mahu
orang Melayu Islam di negara ini diberikan kebebasan memilih agama mereka
sendiri.
Persoalan yang bermain dalam
fikiran ramai orang adalah kenapa Nurul Izzah hanya menyalahkan akhbar Utusan
Malaysia dan Berita Harian, sedangkan portal Malaysiakini adalah
media pertama yang melaporkan perkara tersebut? Jelas Nurul Izzah mengamalkan
amalan selective prosecution.
Liputan tentang kenyataan Nurul
Izzah itu juga telah disiarkan dalam portal berita Free Malaysia Today
dan laman web 1Christians. Bukankah sepatutnya beliau juga menyaman Malaysiakini,
Free Malaysia Today dan iChristians juga? Sikap jumud sebegini
jelas menjadi modus operandi dalam kalangan mereka dalam Pakatan Rakyat.
Peguam dari Majlis Peguam yang
bertanyakan soalan itu kepada beliau juga telah mengeluarkan kenyataan dan
mengakui bahawa memang benar Nurul Izzah telah mengeluarkan kata-kata itu.
Malahan peguam tersebut merasa
kecewa kerana Nurul Izzah seolah-olah tidak mengakui apa yang beliau sendiri
kata selepas berita ini menjadi sensasi dan Nurul Izzah menerima kecaman
hebat dari setiap sudut termasuk dalam kalangan penyokong PAS dalam Pakatan
Rakyat.
Sikap hipokrit dan menuding
jari yang sering dibawa oleh ahli-ahli politik Pakatan ini harus segera
dibendung. Mereka bermain persepsi dan sedar bahawa orang ramai amat mudah
terpengaruh.
Mereka hanya perlu menafikan
apa yang telah mereka buat atau kata, dan kemudiannya menyalahkan orang lain.
Walaupun ada bukti-bukti video atau rakaman, mereka tetap akan menegakkan
benang yang basah.
Paling menyedihkan sekali,
masih ramai lagi orang yang mempercayai kata-kata mereka dan bermati-matian
mempertahankan idola-idola mereka ini.
Sudah tiba masanya kita sedar
terhadap permainan politik merbahaya yang dibawa oleh Pakatan Rakyat. Memang
jelas perbezaan objektif yang dibawa oleh tiga buah parti dalam Pakatan
Rakyat tidak mungkin akan dapat membawa negara ini ke arah kemakmuran.
Apa yang mereka bawa hanyalah
retorik, masalah-masalah moral masing-masing serta perbalahan dalaman antara
mereka sendiri. PAS yang selama ini tegas menegakkan syiar Islam sudah boleh
kita lihat sebagai sebuah parti yang semakin liberal dan tunduk kepada
desakan-desakan DAP dan PKR demi sebuah penyatuan yang salah.
Siapa lagi yang harus
menegakkan Islam kalau bukan orang Islam sendiri? Fahaman pluralisme yang
dibawa oleh Anwar Ibrahim kini jelas telah merebak ke anak beliau. Adalah
kita patut berdiam diri sahaja dan duduk memerhatikan bagaimana nilai-nilai
Islam semakin terhakis dalam kalangan masyarakat kita?
|
No comments:
Post a Comment
Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.