Wednesday, October 31, 2012

BR1M Vol 2: Perlu Pendaftaran Semula @umbkl






KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang bertukar alamat atau kematian ketua isi rumah perlu mendaftar semula untuk membolehkan mereka menerima bantuan pusingan kedua yang akan diagihkan awal tahun depan.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan di sini Selasa berkata mereka yang terlibat serta pemohon baru boleh mendaftar secara atas talian atau secara manual dengan mengisi borang permohonan BR1M 2.0 apabila pendaftaran dibuka 1 Nov nanti.

Bagaimanapun, penerima BR1M sedia ada yang lain tidak perlu mendaftar semula.

Menurut kenyataan itu, borang permohonan boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan serta agensi kerajaan atau dimuat turun melalui laman sesawang www.hasil.gov.my.

Kenyataan itu turut menerangkan kriteria penerima BR1M yang layak memohon bantuan RM500 iaitu ketua isi rumah (lelaki atau perempuan) berpendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah.

Ia merangkumi individu yang telah berkahwin, termasuk yang tinggal bersama ibu bapa; ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah serta individu bujang yang mempunyai tanggungan berumur 20 tahun ke bawah di dalam rumah yang sama.

Warga emas sebatang kara berumur 60 tahun ke atas (lahir 1953 atau sebelumnya) dengan pendapatan kasar bulanan RM3,000 ke bawah juga layak memohon.

Bantuan tunai RM250 pula layak dipohon individu bujang termasuk balu, janda atau duda berumur 21 tahun ke atas (lahir 1992 atau sebelumnya), tidak mempunyai tanggungan dengan jumlah pendapatan kasar bulanan RM2,000 ke bawah.

Pengumuman pusingan kedua BR1M dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 Sept lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.