MUNGKIN pemimpin-pemimpin tertentu di dalam Pas boleh
mendabik dada mengatakan apa yang berlaku ke atas Nasharudin Mat Isa tidak akan
menjejaskan parti tersebut.
Malahan bagi sesetengah daripada mereka, penyingkiran
atau lebih tepat lagi pemecatan bekas Timbalan Presiden Pas itu dari kerusi
Majlis Syura Ulama Pas adalah 'satu rahmat'.
Ini memandangkan bagi mereka seperti mana kata seorang
pemimpin Pas kepada penulis, satu lagi halangan besar semakin hampir untuk
dilepasi.
Sememangnya selama ini, mereka melihat Nasharudin
adalah halangan dalam usaha mereka memperkukuhkan kerjasama dengan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.
Segala-galanya bukan kerana Nasharudin menuntut
apa-apa kedudukan atau melakukan tindakan yang boleh menjejaskan imej Pas
tetapi disebabkan Nasharudin mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas, tegas
dalam soal mempertahankan kesucian Islam dan tidak bersedia berkompromi dengan
mana-mana juga pihak yang boleh menjejaskan kepentingan Islam.
Namun malangnya, di dalam Pas sekarang seolah-olah
tidak boleh ada pemimpin yang bersikap demikian. Justeru tidak hairanlah
penulis menerima pelbagai maklum balas daripada penyokong-penyokong tegar Pas
berikutan apa yang berlaku.
''Pemecatan Ustaz Nasharudin dari Majlis Syura bukti
Pas tunduk kepada desakan DAP. Apa dosa beliau? Bagaimana Pas ingin
memperjuangkan Islam jika pemimpin tiada pendirian? Berdosakah mengiringi
Perdana Menteri ke Gaza demi Islam."
Itu antara Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang diterima
oleh penulis daripada penyokong Pas yang melahirkan perasaan tidak puas hati
terhadap apa yang berlaku ke atas Nasharudin.
Selain itu, satu sumber dalaman Pas memberitahu
penulis, ketika ini pemimpin-pemimpin Pas semakin tertekan kerana isu
Nasharudin dikatakan menambahkan lagi beban parti itu selepas mereka dilihat
tidak berupaya menangani isu kalimah Allah.
''Pas bernasib baik kerana ada orang seperti Datuk
Harun Taib dan Datuk Dr. Haron Din yang terus konsisten mempertahankan
pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.
''Tetapi saya tidak fikir mereka berada dalam keadaan
selesa kerana kedua-dua mereka dikatakan sering sehaluan dengan Nasharudin
dalam mempertahankan prinsip perjuangan Pas," kata sumber tersebut ketika
dihubungi di Kuala Lumpur.
Penulis difahamkan apa yang meresahkan
pemimpin-pemimpin Pas kini ialah gejolak di peringkat akar umbi semakin ketara
apabila ada penyokong menganggap masanya sudah tiba untuk mereka memberikan
mesej yang jelas kepada kepimpinan parti itu.
''Selama ini, ahli-ahli Pas bersabar apabila
kepimpinan parti tetap mempertahankan kerjasama dengan PKR dan DAP biar pun
mereka lihat ia lebih banyak rugi daripada untung.
''Tetapi kali ini mereka tidak boleh bertahan lagi
kerana Pas sudah semakin ketara menggadaikan segala-galanya demi mencapai
cita-cita politik dengan kedua-dua parti itu," kata seorang pemimpin muda
Pas ketika menghubungi penulis.
Menurut pemimpin muda itu, kepimpinan Pas juga gagal
memberikan alasan yang kukuh kenapa Nasharudin digugurkan daripada Majlis
Syura, bagi ahli-ahli parti itu alasan kononnya Nasharudin tidak menghadiri
mesyuarat hanyalah alasan semata-mata.
''Sejak awal lagi, apabila Nasharudin sanggup berdepan
dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh di mahkamah, penyokong-penyokong Pas sudah
melihat ada sesuatu yang tidak kena.
''Ini memandangkan tidak ada seorang pun pemimpin Pas
daripada golongan bukan ulama mempertahankan Nasharudin sebaliknya mereka
menganggap itu perbalahan peribadi antara Nasharudin dan Karpal.
''Hujah ini cukup aneh kerana Nasharudin
mempertahankan prinsip dan matlamat perjuangan Pas, bukannya soal peribadi.
Sejak itu, penyokong-penyokong Pas melihat bahawa ada agenda untuk melihat
Nasharudin disingkirkan daripada parti itu," kata pemimpin muda tersebut.
Sementara itu, seorang lagi pemimpin Pas di peringkat
kawasan yang dihubungi penulis mempersoalkan apakah tindakan Nasharudin
mengikut Perdana Menteri ke Gaza adalah satu dosa.
''Sepatutnya Pas berbangga biar pun Nasharudin pergi
atas nama Pengarah Yayasan Al-Quds Malaysia tetapi semua orang tahu beliau
adalah pemimpin Pas, jadi kenapa perlu melihat tindakan beliau satu kesalahan.
''Kalau ada dalam kalangan pemimpin Pas mengatakan
lawatan Perdana Menteri itu hipokrit, saya berpendapat Pas lebih hipokrit
kerana sanggup mengambil tindakan ke atas mana-mana juga pemimpin mereka yang
dilihat berjuang mempertahankan prinsip perjuangan asal Pas," kata
pemimpin Pas itu.
Mungkin Pas akan menganggap bahawa bantahan terhadap
pemecatan Nasharudin hanyalah perkara kecil dan dengan angkuh berkata, tidak
peduli bekas Timbalan Presiden Pas itu hendak menyertai parti mana sekali pun.
Namun percayalah sentimen ini tidak dikongsi oleh sebahagian ahli-ahli Pas di
peringkat akar umbi yang semakin keliru, celaru dan tertanya-tanya apa sudah
jadi dengan parti tersebut.
Sebab itulah, satu kajian menunjukkan 95 peratus ahli
dan penyokong Pas tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti tersebut khususnya
dalam menangani isu kalimah Allah dan dalam soal hubungan dengan PKR dan DAP.
Tidak apalah, jika kepimpinan Pas terus mahu berasa
angkuh, sombong dan mendabik dada kononnya penyokong-penyokong tegar mereka
tidak akan lari dan akan tetap mengundi mereka, namun penentu kemenangan
sesebuah parti bukan bergantung kepada penyokong tegar sahaja tetapi juga
kelompok lain.
Dan dalam isu melibatkan Pas khususnya tindak tanduk
mereka sejak berkawan dengan PKR dan DAP serta nasib yang menimpa Datuk Dr.
Hasan Ali dan Nasharudin, ternyata Pas tidak layak untuk diberikan sokongan
dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti kerana apabila Pas menang, sudah pasti PKR
dan DAP yang senang.
Keadaan itu berlaku kerana semua orang tahu sejauh
mana keupayaan kepimpinan Pas yang ada sekarang melawan kudrat dan kehendak
kedua-dua parti yang cukup kemaruk kuasa tersebut, kesudahannya Pas yang
berhasrat menjadi tulang belakang pakatan pembangkang, hanyalah menggigit
tulang kerana segala isi pasti akan dimamah oleh PKR dan DAP.
Mungkin penyokong-penyokong Pas akan menganggap apa
yang diperkatakan oleh penulis adalah satu lagi usaha memecah belahkan pakatan
pembangkang, kalau begitu desaklah supaya Pas dominan dalam pakatan berkenaan,
jika itu gagal dicapai maka usahlah bermimpi di siang hari untuk menggantikan
UMNO kerana Pas hanyalah pak turut sebab itulah Dr. Hasan dipecat dan
Nasharudin 'dibuang' dari Majlis Syura, apa maksud penulis? Fikirlah sendiri!
sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment
Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.