Walaupun Malaysia belum lagi menjadi negara maju,
tetapi negara ini berada di kelasnya yang tersendiri sebagai negara yang
berpengaruh dan dihormati. Pendirian
Malaysia yang konsisten dan tegas untuk tidak mencampuri urusan negara lain,
tetapi menyokong dan membantu segala usaha ke arah keamanan membuatkan kita
sering dipilih sebagai rujukan atau pengantara bagi memulihkan keamanan di
negara-negara yang berkonflik.
Pendirian Malaysia adalah konsisten sejak era Tun
Abdul Razak. Pendirian ini mendapat
kekuatan yang ampuh di era Tun Mahathir apabila beliau melonjakkan Malaysia
sepuluh langkah ke hadapan sehingga dikenali sebagai Harimau Asia.
Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib jelas mewarisi
kehebatan bapanya serta kebijaksanaan Tun Mahathir melalui pengalaman bekerja
di era Negarawan tersebut, pantas memperbaharui, meneruskan dan meningkatkan
kekuatan yang sedia ada. Semangat
kedua-dua tokoh tersebut jelas terserlah dalam kepimpinan Dato’ Seri Najib
apabila beliau berjaya menggerakan perjanjian damai antara kerajaan Filipina -
MILF pada Oktober 2012. Dengan
termeterainya perjanjian itu, konflik selama 40 tahun pun berakhir.
Kejayaan tersebut membawa Dato’ Seri Najib ke Gaza
pula, di mana penindasan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Israel
berterusan. Beliau dan anggota
rombongannya termasuk Datin Seri Rosmah tiba di Semenanjung Gaza, Palestin pada
22 Januari bagi memenuhi jemputan rasmi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan
undangan peribadi daripada Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.
Jemputan dari Mahmoud Abbas itu disampaikan kepada
Dato' Seri Najib pada 3 Disember 2012 melalui Timbalan Pesuruhjaya Hubungan
Antarabangsa Al Fatah Palestin, Dr Abdullah M.I. Abdullah. Manakala undangan
daripada Ismail Haniyeh diterima pada 11 Disember 2012.
Sebelum ini, Palestin telah beberapa kali menyuarakan
harapan kepada Malaysia untuk turut membantu membawa keamanan kepada
rakyatnya.
Menghentikan penindasan yang mana tercatat di dalam
AlQuran dalam pesanan mengenai Yahudi, pastinya tidak mudah. Langkah awal yang perlu dilakukan ialah
meningkatkan kekuatan Palestin terlebih dahulu dengan menyatukan rakyatnya yang
berpecah kepada dua, iaitu parti Hamas dan Fatah.
Konflik kedua-dua parti ini bermula pada 2005 selepas
kematian Yasser Arafat pada November 11, 2004.
Punca konflik ini juga begitu ‘klasik’ atau terlalu biasa dan dijangka
iaitu tuduhan atau hasutan kononnya berlaku nepotisme dan rasuah di dalam
kerajaan. Akibatnya, rakyat Palestin
berpecah di mana kedua-dua parti menganggap parti mereka sebagai wakil sah
rakyat Palestin dengan Fatah berkuasa di Palestinian National Authority dan
Hamas di Gaza.
Pertempuran juga sering berlaku antara kedua-dua pihak
ini yang mana menggandakan lagi penderitaan rakyat yang telah sedia tertindas
oleh rejim Israel.
Beberapa perjanjian pernah diusahakan antara kedua-dua
pihak, antaranya di Kaherah pada May 2011 tetapi tidak berjaya memastikan
kedua-dua pihak menurutinya. Perjanjian
Doha kemudiannya ditandatangani oleh Mahmud Abbas (Fatah) dan Haled Mashaal
(Hamas) pada 2012 tetapi dianggap sebagai tergendala dan tiada usaha dibuat ke
arah pilihanraya bersama. Kedua-dua
parti saling tuduh menuduh dan pertelagahan pun berterusan.
Seperti mana-mana konflik yang melibatkan kepentingan
Israel, kedua-dua pihak disyaki menerima bekalan senjata dari Amerika untuk
memastikan mereka terus berpecah dan lemah.
Justeru, harapan yang diletakkan di bahu Dato’ Seri
Najib ialah untuk membantu kedua-dua pihak membantu diri mereka dengan pertama
sekali, bersatu. Apa yang pasti, harapan
agar beliau mengulangi kejayaan di Filipina, di Gaza bukanlah harapan yang
tidak berasas.
Ini kerana, Dato’ Seri Najib terkenal sebagai pemimpin
yang berani di mana beliau pernah melawat ke kawasan tegang di Selatan Thailand
untuk mengusahakan gencatan senjata antara puak pemisah dengan kerajaan
Thai. Beliau juga merupakan antara
penggerak keamanan di Bosnia pada tahun 1993 dan juga Somalia.
Di kala negara-negara lain mengalami kerosakan dan
kemusnahan akibat perang saudara, perpecahan antara kaum dan pemberontakan
menentang kerajaan akibat termakan hasutan, Malaysia yang mempunyai landskap
yang rapuh, bermasyarakat majmuk dan telah berkali-kali menghadapi ‘ugutan’
pemberontakan dari pihak-pihak tertentu, kekal berdiri teguh, aman dan
makmur. Segala provokasi agama,
prasangka kaum dan perbalahan sesama umat Islam yang tercetus dari hasutan secara
berterusan dengan matlamat untuk mencetuskan kekacauan, telah tidak
menjadi.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahwa kebijaksanaan
kepimpinan Dato’ Seri Najib merupakan faktor utama kemampuan Malaysia untuk
menepis ‘serangan’ pihak yang tidak bertanggungjawab itu. Oleh itu, kita tidak ragu-ragu yang Dato’
Seri Najib juga akan dapat membantu Palestin untuk turut ‘menepis’ hasutan ke
arah perpecahan dan melakukan yang terbaik untuk mencapai perpaduan.
No comments:
Post a Comment
Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.