BERSIH 3.0 benar-benar membuka mata rakyat Malaysia sehingga memaksa mereka yang sebelum ini hanya menjadi pemerhati juga mula mengambil bahagian membincangkannya di laman-laman sosial. Majoritinya meluahkan perasaan geram dan hairan kenapa ada manusia yang sanggup menghuru-harakan negara yang aman makmur ini.
Jika benar niatnya adalah untuk memperjuangkan pilihanraya bersih maka kenapa perlu menolak tempat yang ditawarkan kerajaan? Kenapa perlu melanggar undang-undang, berarak dan apa perlunya merempuh polis untuk masuk ke Dataran Merdeka, iaitu kawasan yang dilarang? Kita bukan dalam keadaan berperang di mana perusuh perlu menawan kubu penting musuh. Justeru, apa pentingnya Dataran Merdeka untuk dijadikan tapak perjuangan? Kenapa perlu mengambil risiko tercedera, tergadai nyawa, terjejas masa depan mengambil risiko dibuang kerja atau dibuang universiti kerana telah melanggar undang-undang yakni semata-mata untuk menawan Dataran Merdeka?
Jika sekadar ingin duduk bantah dan mempamerkan sokongan yang ramai, maka duduk sajalah di dalam stadium di mana para wartawan boleh membuat liputan dengan mudah dan aman serta menunjukkan kepada dunia jumlah sokongan yang diperolehi oleh BERSIH.
Mungkinkah kerana ingin menutup jumlah sokongan yang terlalu sedikit, maka BERSIH perlu membuat huru-hara?
Apapun tujuan dan alasannya, apa yang pasti ialah pemimpin-pemimpin BERSIH jelas menyifatkan penyokong-penyokong mereka sebagai manusia yang tiada nilai langsung.
Pemimpin-pemimpin BERSIH telah dengan sengajanya menyuruh atau membiarkan peserta melanggar undang-undang walaupun tahu bahawa tindakan itu akan membawa padah. Seolah-olah nyawa peserta BERSIH, iaitu penyokong mereka tidak ada harga langsung!
Dan apabila mereka dikritik dan dipersoal tentang penyokong mereka yang diluar kawalan, mereka langsung tidak ingin memikul tanggungjawab. Malah Ambiga secara terang-terangan, meletakkan kesalahan 100% ke atas penyokong-penyokongnya dengan alasan beliau tidak pernah mengarahkan mereka untuk bertindak ganas. Pemimpin-pemimpin pembangkang pula hanya menafikan sambil menuduh pihak polis sebagai menyamar dan memukul rakan sendiri.
Sedangkan bukan mereka tidak tahu bahawa dalam mana-mana demonstrasi pasti ada kemungkinan berlaku keganasan dan kecederaan. Jika tidak, kenapakah dalam setiap demonstrasi di mana-mana negara di dunia, kerajaan akan menugaskan polis dan pasukan anti rusuhan untuk bersedia.
Pasukan polis punya kuasa dan hak untuk menggunakan kekerasan bagi mengawal perusuh yang tidak mematuhi undang-undang. Sekiranya perusuh bertindak ganas, polis juga bertanggungjawab mengikut undang-undang untuk ‘menundukkan’ perusuh. Dan dalam kes BERSIH 3.0 ini, peserta demo telah dengan nyata merusuh, melanggar undang-undang dan mengganas seperti yang dijangka.
Ini bukan mengejutkan dan bukan juga perkara baru, maka tindakan Ambiga enggan bertanggungjawab atas keganasan yang sememangnya telah dijangka mengesahkan yang beliau tidak pernah mempunyai sedikit pun rasa prihatin terhadap penyokong-penyokongnya.
Beliau melihat penyokong-penyokongnya bagaikan lembu yang boleh dicucuk hidung dan dikorbankan bila-bila perlu. Nyawa lembu-lembu ini tiada harga dan tiada kaitan dengannya.
Ambiga juga langsung tidak bertanya siapa dan berapa ramai mereka yang terdera dan bagaimanakah nasib mereka selepas perhimpunan itu.
Selesai BERSIH 3.0, Ambiga, Anwar, Kit Siang, Hadi semuanya pulang berlenggang sambil mengibas-ngibas tangan melepaskan segala tanggungjawab terhadap kekotoran, kemusnahan, kecederaan dan kesan perbuatan mereka kepada ekonomi dan imej negara.
Fikirlah, jika penyokong sendiri yang sanggup mati kerana mereka juga mereka sanggup ‘lembukan’, maka sekiranya mereka memerintah negara ini, pastinya rakyat juga akan mereka anjingkan.
No comments:
Post a Comment
Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.