Saturday, February 14, 2009

PILIHANRAYA KECIL BUKIT GANTANG DAN BUKIT SELAMBAU

PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak dan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah kawasan Bukit Selambau, akan diadakan serentak pada 7 April ini, demikian ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya hari ini.Penamaan calon bagi kedua-duanya pula akan diadakan pada 29 Mac, demikian yang diumumkan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof pada satu sidang akhbar di sini selepas mempengerusikan mesyuarat khas selama hampir dua jam bagi membincangkan tarikh pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan tersebut.
Kerusi Bukit Gantang kosong ekoran kematian penyandangnya, Roslan Shaharum, daripada PAS pada 9 April akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Bukit Selambau dikosongkan oleh V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.Tarikh writ dan notis pilihan raya masing-masingnya akan dikeluarkan pada 16 Feb dan 17 Feb ini.Katanya daftar pemilih yang akan digunakan bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu ialah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2007 yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan (DPT) Suku Tahun Pertama 2008, Suku Tahun Kedua 2008 dan Suku Tahun Ketiga 2008, selaras dengan peruntukan 25(5), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.
Katanya bagi kawasan Parlimen Bukit Gantang terdapat 55,562 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 55,426 pemilih biasa dan 136 pemilih pos manakala bagi DUN Bukit Selambau terdapat 35,140 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 35,125 pemilih biasa dan 15 pemilih pos.Beliau berkata daftar pemilih pilihan raya kecil bagi kedua-dua kawasan tersebut akan mula dijual pada 21 Feb ini (tanpa saluran mengundi) dan pada 25 Feb (dengan saluran).
Katanya pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang melibatkan 32 pusat mengundi dengan 111 saluran mengundi manakala DUN Bukit Selambau membabitkan 22 pusat mengundi dengan 64 saluran mengundi.Beliau berkata SPR memutuskan tempat penamaan calon dan pusat mengira undi bagi Parlimen Bukit Gantang di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Taiping manakala bagi DUN Bukit Selambau di dewan Sekolah Menengah Teknik Satu, Sungai Petani.Pengundi boleh membuat semakan melalui laman web SPR di www.spr.gov.my dan melalui SMS bermula 25 Feb ini dengan menaip SPR No. Kad Pengenalan dan hantar kepada 15888. Semakan juga boleh dibuat dengan menghubungi Ibu Pejabat SPR di Putrajaya dan pejabat-pejabat pilihan raya negeri Perak dan Kedah.
*Sumber berita dari BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.