Tuesday, August 19, 2008

CHONG WEI IKRAR TEBUS KEKALAHAN (Ref: UTUSAN MALAYSIA)

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

Lee Chong Wei diapit oleh ibunya, Khar Kim Shooi (kanan) dan kakaknya, Lee Mei Ching sejurus tiba di KLIA semalam.

SEPANG - Pemain perseorangan nombor satu negara, Lee Chong Wei berikrar menebus kegagalan di Sukan Olimpik Beijing dengan mencapai kejayaan cemerlang di Kejuaraan Dunia yang akan diadakan pada tahun depan.

Katanya, Kejuaraan Dunia akan menjadi pengubat terbaik kepada dirinya setelah gagal beraksi dengan baik di China.

"Saya akan berehat selama seminggu selepas Sukan Olimpik Beijing. Selepas itu, saya akan kembali menjalani latihan dan akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk menghadapi Kejuaraan Dunia," katanya pada sidang akhbar sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Beijing semalam.

Sepanjang pertembungan kedua-dua pemain sejak empat tahun lalu, Lin Dan berjaya memperoleh kemenangan sebanyak 10 daripada daripada 15 pertemuan.

Mengulas lanjut, Chong Wei berkata, sasaran menjuarai Kejuaraan Dunia adalah matlamat utamanya dan dia berhasrat menjadi atlet badminton pertama negara ini yang memenangi kejuaraan tersebut.

Sehubungan itu katanya, dia masih mengharapkan sokongan padu rakyat Malaysia untuk dirinya dan dia juga memohon maaf di atas kegagalannya membawa pulang pingat emas Sukan Olimpik Beijing.

"Saya tidak mahu memberi banyak alasan di atas kegagalan di China. Apa yang boleh saya katakan, Lin Dan bermain dengan baik sekali pada malam perlawanan akhir itu dan saya amat kecewa kerana tidak dapat memperoleh pingat emas untuk negara.

"Saya kini lebih bersemangat untuk berlatih bagi menghadapi Kejuaraan Dunia tahun depan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai persembahan Dan, Chong Wei berkata, dia tidak menyangka Dan mempunyai kekuatan luar biasa dan beraksi dengan cemerlang.

Malah katanya, Dan turut menyatakan bahawa dia sendiri terkejut dengan persembahan bertenaga yang dipamerkan olehnya itu.

Diusik mengenai jumlah ganjaran sebanyak RM300,000.00 daripada kerajaan akan digunakan olehnya untuk berkahwin, Chong Wei hanya tergelak dan menegaskan bahawa dia ingin memberi tumpuan kepada kerjaya sukan terlebih dahulu.



SP:- Sekalung tahniah buat Chong Wei di atas kejayaan meraih pingat perak di Sukan Olimpik Beijing. Bukan mudah untuk mencapai kejayaan seperti apa yang telah dicapainya di Beijing. Semoga kejayaan Chong Wei menjadi pembakar semangat kepada atlet2 lain untuk terus mengharumkan nama MALAYSIA. MALAYSIA BOLEH!!

No comments:

Post a Comment

Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.