Friday, July 4, 2008

Menarik Dari Akhbar

Politik Anwar hancur Melayu

Oleh Rafidah Mat Ruzki

SHAH ALAM: Politik baru yang dibawakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah satu konsep yang akan hanya mengancam kemakmuran dan keselamatan negara selain menjurus kepada kehancuran masyarakat Melayu.

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Mohamad Ezam Mohd Nor, berkata politik berbilang kaum yang dibawa PKR itu sebenarnya cuma memadam semangat dan prinsip perjuangan pengasas negara ini.

"Atas nama politik baru, berbilang kaum, tetapi pada hakikatnya ia adalah politik yang cuba memadamkan asas (yang dibawa) bapa-bapa perjuangan negara," katanya selepas ceramah bertajuk Politik Baru di seminar pemantapan anjuran Umno Selangor yang dihadiri 100 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu di sini, semalam.

Mohamad Ezam berkata, konsep pelbagai kaum yang cuba dibawa PKR kini sebenarnya sudah lama diperkenalkan dan menjadi asas yang dibawakan pengasas negara ini.

Katanya, walaupun generasi sekarang boleh melakukan perubahan, ia tidak bermakna perubahan itu perlu melanggar semua asas sudah disediakan.

"Kita tidak boleh berkompromi apabila ia melanggar garisan (asas) yang dibentuk pengasas negara. Setiap negara mempunyai pengasas. Macam manapun kita cuba membuat perubahan, kita tidak seharusnya melanggar asas yang sudah ditetapkan itu," katanya.

Sementara itu, di KUALA LUMPUR Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa Dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Pemuda Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, Washington tidak berhak menegur undang-undang negara ini kerana Amerika Syarikat (AS) sendiri tidak mengikut undang-undang dunia apabila melakukan pencerobohan terhadap Iraq dengan menggunakan alasan palsu.

Beliau berkata, tindakan Washington cuba campur tangan dalam urusan negara ini dengan membuat kenyataan berunsur amaran berhubung dakwaan terbaru kes liwat membabitkan Anwar, amat tidak wajar.

"AS tidak punyai hak moral untuk menegur kita mengenai soal undang-undang kerana mereka sendiri melanggar undang-undang dunia dengan penjajahan ke atas Iraq menggunakan alasan palsu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

"Ia langsung tidak mengejutkan saya kerana sebelum ini juga Jabatan Negara AS memberi RM122 juta kepada Foundation of The Future yang diterajui Anwar," katanya.

Isnin lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membidas Washington dan menegaskan tindakan negara itu yang mahu menentang sebarang siasatan atau pendakwaan terhadap Anwar atas alasan kononnya tuduhan itu bermotif politik, adalah prejudis terhadap sistem perundangan negara ini.

Sementara itu, Mahaguru dan Pengasas Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia (PSSLM), Datuk Omardin Mauju berkata, semua ahli dan Majlis Seni Bela Diri Negara (Marcil) mengutuk sekeras-kerasnya tindakan AS yang cuba campur tangan hal ehwal negara ini.

"Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan bertamadun, tidak sepatutnya negara kuasa besar seperti AS bertindak sedemikian kerana kita mampu mentadbir negara sendiri,"katanya.


Sumber : Berita Harian ONLINE




No comments:

Post a Comment

Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.