Saturday, April 5, 2008

DI MANA KUASA MELAYU - Rencana oleh Noor Azam (Utusan Malaysia)


MENJELANG tengah malam 8 Mac 2008, dengan jatuhnya Pulau Pinang, Perak, Selangor dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke tangan bukan Melayu, dominasi kuasa politik Melayu terhakis dengan ketara sekali. Ini juga jadi titik bermulanya percaturan kuasa politik baru di negara kita.

Perubahan besar ini, sekali gus menyerlahkan bermacam persoalan politik yang sekian lama menghantui kita. Dalam masa dua minggu saja banyaklah terjadi kejutan politik yang belum pernah berlaku.

Tahun lalu, ketika merayakan 50 tahun merdeka, dengan penuh semangat dan kepuasan, Perdana Menteri kita mengatakan: “Sekarang kita memandang dan merancang untuk 50 tahun akan datang!”

Waktu itu terlintas dalam kepala saya: 50 tahun lagi, dominasi atau keutuhan kuasa politik Melayu atau pribumi negara ini, tidak akan ada lagi.

Kira-kira lima bulan yang lalu, ketika ‘kerajaan BN’ sedang hebat berkempen – untuk pilihan raya yang belum lagi ditetapkan tarikhnya - saya berbincang dengan kawan-kawan lama.

Dan setelah melihat realiti politik negara kita, lunturnya semangat kebangsaan – terutama di kalangan pemimpin generasi baru UMNO – dan melihat keterlaluannya BN, terutama UMNO, memperalatkan media miliknya dan meriahnya kerajaan membahagi-bahagikan wang, kami sependapat: Bahawa bukan 50 tahun, tetapi paling lama 20 tahun saja lagi, keutuhan kuasa politik Melayu akan tinggal jadi sejarah.

Rupa-rupanya dugaan kami meleset sekali. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 menunjukkan ia akan jadi kenyataan pada pilihan raya ke-13 – empat atau paling lama lima tahun lagi. Bahkan melihat banyaknya terjadi peristiwa politik yang luar biasa dalam masa tiga minggu selepas pilihan raya ini, bukanlah mustahil, jika dominasi politik Melayu berkubur lebih cepat lagi.

Bersamanya UMNO pun akan ikut berkubur atau akan jadi tidak relevan lagi. Kecuali jika parti Melayu ini, dengan segera dapat diberikan wajah politik yang betul-betul baru dan punya kredibiliti.

Dua puluh lapan tahun lalu Pulau Pinang jatuh ke tangan bukan Melayu, tetapi parti yang menang (Gerakan) segera bergabung dalam BN. Kali ini Pulau Pinang jatuh ke tangan bukan Melayu lagi.

Melihat komposisi dan taburan penduduknya, Pulau Pinang dan Seberang Perai akan kekal diperintah bukan Melayu kerana DAP tak akan mungkin menyertai BN.

Kita tidak akan mungkin ambil balik Pulau Pinang! Dulu kerajaan Kedah ditipu oleh Inggeris untuk ambil Pulau Pinang, kali ini rakyat pula menolak kita. Barangkali tak sampai 20 tahun lagi, Pulau Pinang akan jadi Singapura yang kedua! Rakyat yang majoriti akan membuat pilihan!

Tak munasabah

Sekarang, kita mempunyai Perdana Menteri Melayu, dari negeri yang bukan saja dikuasai bukan Melayu, tetapi juga diperintah oleh parti pembangkang. Bunyinya aneh dan tak munasabah, tetapi benar!

Demikian pulalah Perak dan Selangor – komposisi dan taburan penduduknya dan perubahan semangat dan sikap generasi baru Melayu sendiri – akan menyebabkan sukar sekali untuk menegakkan kembali kerajaan negeri yang dikuasai Melayu.

Lihatlah berapa jumlah wakil rakyat dan Exco Melayu di kedua-dua negeri ini? Dan jika kedua-dua Tuanku Sultan tidak menggunakan kebijaksanaan dan kuasa Perlembagaan negeri, Menteri Besar pun sudah dimiliki bukan Melayu.

Di kedua-dua buah ‘negeri Melayu’ ini, usaha mengembalikan kuasa Melayu akan semakin sukar, apabila kawasan perindustrian atau bandar baru terus bertambah dan membesar. Di mana saja wujud perindustrian dan bandar baru, majoriti penduduknya pastilah bukan Melayu.

Dan kalau ada Melayu pun, adalah ‘Melayu Baru’ yang semangat dan sikap budaya politiknya tidak sama lagi dengan generasi ‘Melayu Lama’.

Sekarang pun ada generasi baru yang mendapat pendidikan tinggi, pangkat dan kedudukan ekonomi yang baik, merasa tidak pernah terhutang budi kepada sesiapa.

Ada pula orang Melayu, terutama generasi muda, yang tiada kisah siapakah yang akan memerintah, asalkan sesuai dengan selera dan kehendak mereka. Bagi mereka, Melayu atau Cina atau India sama saja. Apa guna Melayu jika tidak dapat memenuhi selera dan kehendak mereka!

Petaling Jaya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) syarikat kepunyaan kerajaan negeri Selangor, sekarang majoriti penduduknya bukan Melayu. Maka tidak pernah, dan tidak mungkin akan ada wakil rakyat Melayu dari Petaling Jaya.

Di seberang Taman Tun Dr. Ismail dan Kampung Sg. Pencala, dulunya ladang kelapa sawit, hutan dan kampung Orang Asli.

Sekarang dalam masa kira-kira 10 tahun saja, jadi kawasan perumahan dan perniagaan baru. Majoriti penduduknya bukan Melayu. Maka wakil rakyatnya pun pastilah bukan Melayu.

Demikianlah yang telah, sedang dan akan terjadi di seluruh negara apabila saja ada pembanguan. Akan wujud kawasan majoriti pengundi bukan Melayu dan generasi ‘Melayu Baru’. Dan proses ini sedang berjalan pesat di negeri Perak dan Selangor.

Kesan politiknya telah kita lihat dari pilihan raya 2008 – kehakisan dominasi politik Melayu dan telah tercipta percaturan kuasa politik baru di negara kita. Adakah dan apakah persediaan kita untuk menghadapi realiti politik baru ini?

Kejutan

Di Perlis dan Terengganu telah terjadi kejutan politik yang menyenangkan dan juga menyedihkan. Di kedua-dua ‘negeri Melayu’ ini kita menyaksikan kuasa istana dan Perlembagaan negeri mengatasi kuasa politik ketua parti yang menang dan Perdana Menteri dalam lantikan Menteri Besar. Dan ini berlaku dalam konfrontasi persaingan kuasa yang tegang dan terbuka.

Kita merasa sedih dan malu kerana kekuatan UMNO dicabar secara terbuka dan tewas.

Namun kita senang kerana istana untuk pertama kalinya dalam masa 5o tahun telah menggunakan kuasa dan kebijaksanaan untuk kepentingan negeri dan rakyat – bukan kepentingan parti politik.

Kita tidak tahu apa sebab sebenarnya maka Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Idris Jusoh – yang berjaya mempertahankan negeri masing-masing – tidak diterima perkenan oleh istana.

Pastilah ada sebab-sebab yang besar sehingga kedua-dua sultan begitu gigih mempertahankan keputusan mereka. Alangkah baiknya jika rakyat dapat tahu sebab itu!

Bagaimanapun campur tangan istana yang cukup jelas di empat negeri ini, menjadi salah satu aspek dalam percaturan politik baru negara kita.

Para sultan generasi baru telah memperlihatkan peranan politik yang tegas dan positif. Menjadi bukti bahawa kuasa politik menerusi pilihan raya bukanlah segala-galanya. Sejauh mana dan sampai bilakah kuasa istana ini boleh berperanan untuk kepentingan kuasa politik Melayu?



sumber : www.utusan.com.my (Utusan Malaysia Online)

No comments:

Post a Comment

Jomlah Komen tapi kami tak bertanggungjawab di atas komen2 anda. Sendiri komen sendiri tanggung ye.